Topik diikuti
Pergi ke BHkuKelab Inggeris belanja $2.9b untuk beli pemain antarabangsa pada 2022
Kelab Inggeris belanja $2.9b untuk beli pemain antarabangsa pada 2022
Kelab Inggeris belanja $2.9b untuk beli pemain antarabangsa pada 2022
LONDON: Kelab-kelab di England membelanjakan £1.78 bilion ($2.9 bilion) untuk membeli pemain bola sepak antarabangsa pada tahun lalu, menurut data yang dikongsi oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Jumlah ini lebih tiga kali ganda berbanding jumlah yang dibelanjakan di negara-negara lain.
Kelab-kelab di Italy pula adalah yang kedua berbelanja secara lumayan. Mereka membelanjakan sejumlah £543 juta pada 2022.
Menurut Fifa, 10 pemindahan pemain yang termahal merangkumi 12.5 peratus daripada jumlah perbelanjaan keseluruhan £5.24 bilion untuk membeli pemain.
Enam daripada senarai ini melibatkan pemain berpindah ke kelab-kelab di England.
Namun perpindahan Aurelien Tchouameni dari Monaco ke Real Madrid adalah yang paling mahal.
Manchester United, yang membeli Antony dari Ajax dengan harga £82 juta dan pemain midfield Casemiro dari Real Madrid dengan harga £70 juta adalah kelab Eropah yang paling mewah berbelanja.
Barcelona pula berada di tempat kedua, diikuti Liverpool di tempat ketiga.
Kelab-kelab Liga Perdana England merangkumi lima daripada tujuh tempat teratas dalam senarai ini.
Newcastle berada di tempat kelima, diikuti West Ham di tempat keenam dan Wolverhampton Wanderers di tangga ke tujuh.
Juara bertahan EPL, Manchester City berada di tangga ke sembilan.
Wang yang dibelanjakan oleh Liverpool untuk membeli Darwin Nunez dari Benfica - £64 juta, yang boleh meningkat kepada £85 juta - adalah yang kedua tertinggi dikeluarkan oleh sebarang kelab.
City, yang mengeluarkan £51.2 juta untuk mendapatkan pemain depan Erling Haaland, berada di tangga ketujuh.
Sejumlah 5,910 pemain meninggalkan Ukraine menyusuli tindakan Russia menyerang negara itu.
Kelab yang paling banyak kehilangan pemain ialah Shakhtar Donetsk dari Ukraine.
Seramai 51 pemainnya meninggalkan kelab itu.
Dalam pada itu, jumlah rekod £2.7 juta, iaitu satu kenaikan 62 peratus berbanding tahun sebelumnya, dibelanjakan untuk membeli pemain antarabangsa dalam bola sepak wanita.
Pemain midfield England, Keira Walsh yang berpindah dari Manchester City ke Barcelona mendahului senarai pemain paling mahal dalam sejarah, selepas kelab dari Sepanyol itu membelanjakan sekitar £400,000 untuk mendapatkan khidmatnya.
Dalam bola sepak amatur pula, Fifa berkata hampir 50,000 pemain bukan profesional menyertai kelab-kelab di serata dunia pada tahun lalu.
10 pemindahan lelaki termahal pada 2022
1. Aurelien Tchouameni (Monaco > Real Madrid)
2. Darwin Nunez (Benfica > Liverpool)
3. Antony (Ajax > Manchester United)
4. Casemiro (Real Madrid > Manchester United)
5. Matthijs De Ligt (Juventus > Bayern Munich)
6. Ferran Torres (Manchester City > Barcelona)
7. Erling Haaland (Borussia Dortmund > Manchester City)
8. Alexander Isak (Real Sociedad > Newcastle United)
9. Luis Diaz (Porto > Liverpool)
10. Raphinha (Leeds United > Barcelona)
