Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

PANDANGAN: BOLA SEPAK SETEMPAT

Kelab lain harus bangkit beri saingan pada Sailors

Feb 25, 2022 | 05:30 AM



SATU lawan tujuh.



Begitulah persaingan yang dijangkakan antara lapan kelab yang bertanding dalam Liga Perdana Singapura (SPL) musim ini.



"Kapal mewah" juara bertahan Lion City Sailors kelihatan akan berlayar jauh di depan dalam perlumbaan bagi trofi kejuaraan liga tahun ini, meninggalkan tujuh "perahu kecil" lain.



Sailors berbelanja besar untuk membawa masuk lima rekrut baru yang berkualiti sekali gus memberi amaran kepada yang lain bahawa kelab bola sepak paling kaya di Singapura itu berada di dalam kelasnya yang tersendiri.



Skuad Sailors, yang merangkumi ramai pemain nasional Singapura, dirangsang musim ini dengan ketibaan pemenang dua kali Liga Juara-Juara AFC (ACL) Kim Shin-wook - yang telah membuktikan kehebatannya selepas dua gol beliau membantu pasukan menjuarai Piala Perisai Masyarakat minggu lalu - selain pertahanan asal Brazil Pedri Henrique dan bekas pemain antarabangsa belia Belgium, Maxime Lestinne.



Bahkan pemain tempatan baru yang ditandatangani juga bukan calang-calang.



Penjaga gol Izwan Mahbud dan pemain midfield M Anumanthan kedua-duanya memiliki pengalaman luas bermain di peringkat antarabangsa untuk Singapura dan di liga rantau ini.



Justeru, kejuaraan tahun ini jelas dalam genggaman Sailors, yang turut bersaing dalam ACL buat pertama kali April ini.



Bagaimanapun, kekuatan skuad mungkin tidak cukup untuk menjuarai liga, menurut kapten Sailors Hariss Harun, yang menyatakan mentaliti pasukan akan menjadi kunci kejayaan bagi mereka musim ini.



"Kami perlu sentiasa kekal tenang dan menunjukkan bahawa kami adalah pasukan terbaik di padang. Pasukan lain akan mahu bersungguh-sungguh mengalahkan kami.



"Jadi, kami perlu bersedia dari segi mental untuk menghadapi cabaran akan datang, dan itu akan membantu kami memenangi perlawanan secara konsisten," kata beliau.



Ketua jurulatih Sailors Kim Do-hoon juga tidak mahu mengambil ringan kelab SPL lain, yang juga telah berusaha menguatkan skuad masing-masing musim ini.



"Kelab SPL lain telah meningkatkan pasukan mereka musim ini, dan kami menjangkakan bahawa mereka akan memberikan cabaran yang hebat seperti mana yang mereka lakukan musim lalu.



"Dan kami, dengan skuad yang diperkuatkan kami, akan cuba sedaya upaya untuk mempertahankan kejuaraan," jelas warga Korea Selatan itu.



Antara kelab itu ialah Albirex Niigata, yang bertindak balas kekecewaan musim lalu sebagai naib juara, dengan membawa masuk semula Kazuaki Yoshinaga sebagai ketua jurulatih.



Albirex mendahului liga sepanjang 19 perlawanan pertama musim lalu, tetapi terpaksa menggigit jari setelah mengakhiri musim itu dua mata di belakang Sailors.



Yoshinaga, 53 tahun, membimbing Albirex ke kejuaraan liga pada 2017 dan 2018 dan juga dinobat sebagai Jurulatih Terbaik dalam kedua-dua musim itu.



Pasukan White Swans juga memperkukuhkan lagi skuad mereka musim ini dengan menandatangani bekas pemain antarabangsa Jepun, Tadanari Lee.



Yoshinaga menganggap Sailors sebagai pesaing terbesar mereka.



"Mereka (Sailors) akan menyertai dalam ACL dan ia adalah kelab yang boleh dikatakan sebagai kelab besar yang menonjol dalam semua aspek dalam liga ini," kata warga Jepun itu



"(Tapi) kami mahu menang semua trofi kejuaraan. Saya akan berusaha gigih setiap hari dengan pasukan untuk menjadikan mereka pasukan yang layak bergelar juara."



Selain Albirex, kelab seperti Hougang United, Tampines Rovers, Tanjong Pagar United, Geylang International dan Balestier Khalsa tidak terkecuali sibuk membentuk skuad kuat musim ini.



Pendatang baru dalam kelab seperti Andre Moritz (Hougang), Christopher van Huizen (Tampines), Mirko Sugic (Tanjong Pagar), Vincent Bezecourt (Geylang) dan Ryoya Taniguchi (Balestier) semuanya berupaya menimbulkan kejutan menentang lawan.



Justeru, persaingan di pertengahan tangga liga dijangka sengit, dengan lima kelab Singapura ini akan bergelut untuk memburu tiket ke Piala AFC tahun depan.



Pasukan tempatan terbaik dalam liga akan mewakili Singapura di ACL, sementara dua kelab Singapura terbaik seterusnya akan bersaing di Piala AFC.



Tampines dan Hougang akan mewakili Singapura di Piala AFC musim ini.



Perhatian juga akan tertumpu pada kedua-dua pasukan ini untuk melihat sama ada bilangan pemain dalam skuad mampu memenuhi permintaan bersaing di liga domestik dan pertandingan rantau.



Hougang dianggotai skuad seramai 25 pemain, dengan bangku simpanan yang berpengalaman diisi pemain seperti Shahril Ishak, Sahil Suhaimi dan Shahfiq Ghani.



Sementara itu, Tampines, yang beraksi dalam ACL musim lalu, hanya mendaftar 20 pemain dalam pasukan untuk bertahan dalam semusim yang merangkumi sekurang-kurangnya 31 perlawanan.



Lapan pemain adalah pemain di bawah 23 tahun.



Pasukan Tampines kendalian Gavin Lee itu mengalami kesukaran ketika bertanding dengan kelab gergasi Asia di ACL musim lalu.



Malah, prestasi mereka menjunam teruk selepas pertandingan tersebut dan Tampines terpaksa berpuas hati menduduki tangga keempat liga pada 2021.



Ia menarik untuk melihat sama ada detik pahit itu akan berulang buat Lee dan anak buahnya ketika mereka berdepan musim yang dianggap sibuk ini.



Lantaran itu, memiliki skuad dengan bilangan pemain yang cukup dan berkualiti merupakan cabaran utama bagi kelab-kelab tempatan yang bersaing di liga domestik yang semakin kompetitif dan pertandingan luar negara.



Apatah lagi, dengan pandemik Covid-19, perjalanan ke luar negara tidak akan menjadi mudah.



Kes positif bagi Covid-19 dalam pasukan dijangka berlaku.



Ini tidak termasuk kecederaan yang boleh menimpa pemain, yang bukan hanya perlu memenuhi permintaan perlawanan liga yang semakin kompetitif tetapi juga jumlah perlawanan yang dinaikkan musim ini.



Pasukan akan menentang setiap pasukan empat kali musim ini, naik satu pusingan berbanding musim lalu.



Piala Singapura juga akan membuat kemunculan semula musim ini.



Kejohanan itu akan dimainkan di akhir musim pada 25 Oktober.



Selain itu, pemain nasional akan turut dipanggil mewakili Singapura dalam temasya sukan utama seperti Sukan SEA, Sukan Asia, Kelayakan Piala Asia dan beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa tahun ini.



Justeru, antara "kapal mewah" dan "perahu kecil", hanya satu pasukan yang jelas mampu mengatasi angin ribut serta ombak kuat di lautan bola sepak domestik untuk merangkul kejuaraan SPL tahun ini.



BOLA SEPAK SETEMPAT PANDANGAN




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >