LONDON: Jude Bellingham dan Levi Colwill menarik diri daripada pasukan bola sepak England bagi perlawanan kelayakan Euro 2024 menentang Malta dan Macedonia Utara.
Kedua-duanya, Bellingham, pemain tengah Real Madrid, dan Colwill, pemain pertahanan Chelsea, mengalami kecederaan bahu.
Lima pemain kini telah menarik diri daripada pasukan England kendalian pengurus Gareth Southgate untuk perlawanan menentang Malta pada 18 November dan Macedonia Utara pada 21 November.
Pada Isnin, pemain tengah Chelsea, Cole Palmer; pemain pertahanan Aston Villa, Ezri Konsa; dan pemain pertahanan Manchester City, Rico Lewis; menggantikan pemain tengah Tottenham Hotspur, James Maddison; penyerang Newcastle United, Callum Wilson; dan pemain pertahanan Brighton & Hove Albion, Lewis Dunk; yang cedera.
Ini bermakna ketiga-tiganya, Palmer, Konsa dan Lewis, dipanggil menyertai pasukan England buat kali pertama, dengan Palmer dan Lewis dinaikkan daripada pasukan Bawah 21 Tahun England kepada pasukan senior.
Sementara itu, penyerang Manchester United, Marcus Rashford, dan pemain tengah Manchester City, Kalvin Phillips, akan menyertai pasukan England lewat minggu ini atas sebab peribadi.
Southgate tidak akan menambah pemain lagi kepada pasukannya untuk perlawanan menentang Malta di Stadium Wembley dan Macedonia Utara di tempat lawan.
England telah pun layak ke Kejohanan Eropah pada musim panas 2024, dengan satu lagi kemenangan akan memastikan mereka menduduki tempat teratas Kumpulan C. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg