Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

LIGA JUARA-JUARA EROPAH

Keluhan sesia Rangnick... Man United tersingkir

Mar 17, 2022 | 05:30 AM



MANCHESTER: Pengurus sementara Manchester United, Ralf Rangnick, mengecam Atletico Madrid di atas "telatah membuang masa" mereka semasa perlawanan selepas pasukannya disingkirkan oleh juara Sepanyol itu dalam Liga Juara-Juara Eropah kelmarin.



Gol tandukan Renan Lodi pada minit ke-41 menghasilkan kemenangan 1-0 bagi Atletico di Old Trafford yang menjadikan keputusan agregat 2-1 sekali gus membawa mereka ke suku akhir kejohanan antara kelab terunggul Eropah itu.



"Ia sukar untuk bermain dalam babak kedua. Permainan sentiasa terganggu," kata Rangnick.



"Sentiasa ada pemain yang terbaring di padang. Saya juga tertanya-tanya mengenai beberapa keputusan pengadil. Saya tidak akan mengatakan ia adalah tegas tetapi sekurang-kurangnya dia (pengadil) terlalu kerap termakan oleh telatah membuang masa (pemain Atletico) dan empat minit bagi masa tambahan adalah sesuatu yang tidak masuk akal bagi saya," tambahnya.



United memulakan pertarungan dengan baik, menguasai permainan tetapi gawang mereka dibolosi melalui satu serangan balas kilat Atletico. Pasukan tuan rumah cuba menyerang selepas rehat namun gagal mengatasi benteng teguh kelab Sepanyol itu.



"Saya fikir kami bermain dengan baik pada babak pertama - seperti mana yang kami mahu bermain dengan tahap tenaga yang tinggi tetapi kami tidak dapat menyempurnakan peluang untuk menjaringkan satu atau dua gol," kata jurulatih asal Jerman itu.



"Kami mempunyai beberapa detik yang baik di mana kami sepatutnya menjaring gol tetapi kami tidak melakukannya. Gawang dibolosi gol melalui serangan balas itu sebelum rehat menyukarkan tugas kami," tambahnya.



United kini berdepan ujian besar untuk kembali bersaing dalam Liga Juara-Juara musim depan dengan skuad yang dibintangi ramai nama besar kurang menyerlah dan kini menduduki tangga kelima Liga Perdana England.



Jurulatih Atletico, Diego Simeone, pula memuji komitmen anak didiknya.



"Pasukan ini akan menyelami dalam ke kolam renang... tidak kira jika ada air di dalamnya atau tidak," katanya.



"Apabila pasukan bekerjasama seperti ini, ia membuat saya teruja. Kami kompetitif sepanjang pertarungan. Gol (pasukan) memberikan kami kelebihan dan dalam babak kedua, ia adalah usaha kolektif yang cemerlang, antara yang terbaik musim ini. Ini membuat saya rasa gembira," tambahnya.



Dalam pada itu, penyerang Darwin Nunez menanduk gol kemenangan pada minit ke-77 untuk menyingkirkan Ajax Amsterdam yang beraksi di hadapan penyokong sendiri.



Kemenangan itu memberikan kelab Portugal itu kemenangan agregat 3-2 selepas persaingan terikat 2-2 dalam pertemuan pertama di Lisbon.



"Sudah tentu saya sangat gembira. Ia perlawanan yang sukar, kami tahu kami harus bekerja keras baik bertahan mahupun semasa menyerang," kata Nunez.



"Kami menentang pasukan yang bermain dengan cemerlang. Kami tahu cabarannya besar tapi pasukan kami berikan segala-galanya." - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >