LEICESTER (England): Dua pemain Manchester United, Rasmus Hojlund dan Alejandro Garnacho, akhirnya menamatkan kemarau gol mereka.
Bruno Fernandes pula sekali lagi menjaringkan gol dalam kemenangan 3-0 mereka menentang Leicester yang sedang bergelut dalam zon penyingkiran dalam Liga Perdana England (EPL) pada 16 Mac.
Berbekalkan harapan untuk memenangi dua perlawanan berturut-turut buat pertama kali sejak Januari, United menjaringkan gol pertama pada minit ke-28 menerusi menerusi Hojlund – jaringan pertama beliau sejak pertengahan Disember.
Pasukan tuan rumah tidak memberi ancaman untuk menyamakan kedudukan.
Garnacho pula menjaringkan gol pada minit ke-67 – kali pertama pemain antarabangsa Argentina itu menjaringkan gol sejak akhir November dalam semua pertandingan.
Fernandes menambah dengan gol ketiga yang cemerlang pada lewat perlawanan yang mengangkat pasukan Ruben Amorim ke tangga ke-13.
“Saya rasa anda dapat melihat sedikit kemajuan,” kata Fernandes kepada Sky Sports. “Tetapi ia perlu berterusan. Kami mempunyai perlawanan penting.”
“Saya mahu menjaringkan sebanyak mungkin gol dan perlu membantu rakan sepasukan saya. Saya perlu berada di luar kotak penalti dan menjaringkan gol kerana itu adalah salah satu kualiti saya.
“Sangat gembira dan sangat penting untuk menyelesaikan tugas hari ini.”
United turun ke gelanggang untuk menyelamatkan maruah daripada kempen yang mengecewakan, yang menyaksikan mereka berada di separuh bawah liga. Leicester adalah lawan yang membolehkan mereka berbuat demikian.
United memulakan perlawanan dengan baik, dengan sepakan melengkung Christian Eriksen mengenai tiang gol sebelum gol pertama menerusi Hojlund.
Garnacho menjaringkan golnya pada awal separuh masa kedua tetapi pengadil membatalkan jaringannya kerana ofsaid.
Namun, pemain berusia 20 tahun itu tidak perlu menunggu lama untuk gol pertamanya dalam 24 perlawanan di semua pertandingan selepas menerima hantaran Fernandes.
Fernandes menjaringkan gol baik pada lewat perlawanan untuk memberi penyokong United satu lagi sebab bersorak, setelah beliau menjaringkan hatrik dalam kemenangan 4-1 Liga Europa ke atas Real Sociedad pada 13 Mac.
Bagi Leicester, penyingkiran nampaknya sukar dielakkan dengan mereka menjadi pasukan pertama dalam sejarah EPL yang kalah tujuh perlawanan berturut-turut di tempat sendiri tanpa menjaringkan gol.
Mereka berada di tangga kedua terbawah dengan 17 mata daripada 29 perlawanan – ketinggalan sembilan mata daripada zon selamat.
“Saya rasa di kedua-dua kotak (serangan), perbezaan kualiti jelas kelihatan,” kata pengurus Leicester, Ruud van Nistelrooy.
“Kecekapan dalam menyudahkan peluang, dan juga mempertahankan detik-detik penting dalam permainan.
“Secara keseluruhan, jika anda melihat metrik permainan, tidak banyak perbezaannya. Tetapi jelas ada kecekapan itu.” – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg