Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemarau gol Singa akan berakhir: Nishigaya

Jurulatih baru skuad negara kekal positif di ambang pimpin pasukan harungi cabaran kelayakan Piala Asia mulai 8 Jun
Jun 4, 2022 | 5:30 AM
PUAS HATI DENGAN PRESTASI PASUKAN: Jurulatih baru Singa, Takayuki Nishigaya (kanan), gembira melihat pasukannya merintis beberapa peluang jaringan semasa perlawanan ujian dengan Kuwait, namun beliau menggesa para pemain supaya meningkatkan tahap kecergasan mereka. - Foto FAS
PUAS HATI DENGAN PRESTASI PASUKAN: Jurulatih baru Singa, Takayuki Nishigaya (kanan), gembira melihat pasukannya merintis beberapa peluang jaringan semasa perlawanan ujian dengan Kuwait, namun beliau menggesa para pemain supaya meningkatkan tahap kecergasan mereka. - Foto FAS -

GOL akan 'tiba', tegas jurulatih baru pasukan Singa, Takayuki Nishigaya, selepas penampilan sulung beliau bersama skuad negara berakhir dengan kekalahan 0-2 di tangan Kuwait dalam satu perlawanan persahabatan pada Rabu lalu.

Singapura yang menduduki tangga ke-158 dalam ranking Fifa menghasilkan beberapa peluang jaringan ketika menentang lawannya yang berada di kedudukan ke-146 sewaktu perlawanan yang diadakan di Stadium Al Nahyan di Abu Dhabi.

Meskipun begitu, mereka tidak dapat mempertahankan gawang sendiri daripada tandukan Fahad Alreshidi pada minit ke-39 dan rembatan Yousef Alsulaiman pada minit ke-87.

Ini merupakan perlawanan persediaan terakhir Nishigaya dan Singa sebelum mereka memulakan saingan kelayakan Piala Asia.

Skuad negara berangkat ke Bishkek, ibu kota Kyrgyzstan, semalam sebelum mereka bertemu pasukan tuan rumah pada 8 Jun, Tajikistan (11 Jun) dan Myanmar (14 Jun).

Singapura bersaing untuk mendapatkan tempat dalam kejohanan Piala Asia buat kali pertama sejak 1984, sewaktu mereka menjadi tuan rumah.

Enam pemenang kumpulan dan lima pasukan terbaik di tangga kedua akan mara ke pusingan akhir tahun depan.

Mengulas tentang kekalahan itu, Nishigaya, 49 tahun, berkata:

"Kami mencipta banyak peluang dalam perlawanan itu... sesuatu yang saya gembira. Tetapi kami tahu bahawa kami perlu menjaringkan gol.

"Saya yakin terhadap penyerang kami, jika kami mampu mendapatkan peluang (semasa kelayakan) seperti yang kami lakukan ini, mereka boleh mendapatkan gol kami. Saya yakin."

Singapura belum mampu menjaringkan banyak gol apabila berdepan dengan pasukan dari Timur tengah mahupun Asia tengah.

Dalam 10 perlawanan terakhir mereka menentang lawan dari rantau tersebut sejak Oktober 2019, skuad negara hanya menjaringkan empat gol.

Termasuk perlawanan terbaru ini, mereka hanya mampu meraih satu kemenangan, satu keputusan seri dan lapan kekalahan.

Bagaimanapun, Nishigaya tetap yakin kerana pemainnya masih mampu mencipta peluang-peluang jaringan.

Beliau berkata pasukan kendaliannya itu mampu mengikuti arahannya untuk meningkatkan tekanan (di bahagian atas padang) agar dapat menyerang dengan segera selepas berjaya merampas bola.

Namun begitu, beliau memerhatikan bahawa kecergasan pemain masih menjadi satu isu.

Nishigaya menambah: "Pemain melakukan apa yang saya arahkan dan walaupun saya tidak berpuas hati dengan keputusan itu, secara keseluruhan ia adalah persembahan yang positif.

"Namun saya lihat tahap kecergasan pemain... mereka belum bersedia untuk bermain 90 minit (antara perkara yang dikehendaki dari pemain).

"Kami perlu meningkatkan kecergasan perlawanan mereka secepat mungkin. Selepas 70 minit, pemain mula menunjukkan keletihan dan ini menjejas prestasi mereka."

Penjaga gawang veteran negara Hassan Sunny, yang membuat penampilannya yang ke-95, berkata berkongsi sentimen jurulatihnya itu.

Beliau berkata: "Memandangkan kami hanya diberikan dua latihan penuh dengan Nishigaya sebagai satu pasukan, saya mampu katakan beliau mengendalikan pasukan ini dengan baik.

"Kami mempunyai banyak peluang terutama ketika separuh masa pertama, namun kami kurang tajam.

"Jika dilihat dari sudut positif, kami banyak mencipta peluang dan berada pada posisi yang baik.

"Keputusan ini tidak mencerminkan perlawanan sebenar. Namun, ia satu petanda yang baik melihat kami dapat mengawal permainan dan kami akan bekerja keras dalam beberapa hari akan datang sebelum turun beraksi dalam kelayakan."

Kelayakan Piala Asia akan menjadi ujian pertama buat Nishigaya selepas mengambil alih 'kerusi panas' daripada Tatsuma Yoshida pada 25 April lalu.

Dalam perlawanan pertamanya, beliau melakukan tiga pertukaran daripada perlawanan terakhir Singa - kemenangan 2-0 menentang Filipina dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada Mac lalu ketika Nazri Nasir menjadi jurulatih sementara.

Mengekalkan formasi 3-5-2 yang digunakan Yoshida, Nishigaya menampilkan pemain tengah Yasir Hanapi, pemain bek sayap kiri Iqram Rifqi serta pemain tengah berusia 22 tahun, Shah Shahiran, dalam kesebelasan utamanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg