KALI terakhir Singapura menjulang Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) ialah 10 tahun lalu, pada 2012.
Masa semakin suntuk untuk lebih separuh daripada 23 pemain Singa merasakan kemanisan kejayaan di kejohanan berprestij Asia Tenggara itu - sekurang-kurang 13 pemain daripada mereka berusia 30 tahun dan ke atas.
Kejuaraan AFF yang sedang berlangsung mungkin peluang terakhir mereka.
Singapura adalah pasukan paling tua dalam kalangan 10 pasukan dalam Piala AFF 2022, dengan usia purata skuad Singa ialah 28.6 tahun.
Ini diikuti oleh Thailand (28.3 tahun), Brunei (27.9 tahun) dan Vietnam (26 tahun), menurut satu pos di laman Facebook Asean Football.
Laos mempunyai skuad termuda, dengan usia purata 22.1 tahun.
Apakah kumpulan Singa 'otai' masih bertaring tajam untuk membaham pasukan lain dan membawa pulang Piala AFF kelima Singapura?
Mengapa tidak?
Persembahan Lionel Messi dan Argentina dalam Piala Dunia 2022 boleh dijadikan bukti dan dicontohi.
Penyerang Paris Saint-Germain itu memenangi Piala Dunia sulungnya di Qatar pada usia 35 tahun, sekali gus membantu Argentina merangkul gelaran dunia ketiga mereka selepas 36 tahun.
Skuad Albiceleste itu pasukan ketiga tertua bersama Brazil dalam Piala Dunia Qatar, dengan usia purata 27.9 tahun, selepas Iran (28.9 tahun) dan Mexico (28.5 tahun).
Mentelah dalam skuad Piala AFF 2022 Singapura terdapat beberapa pemain yang pernah menjuarai kejohanan ini.
Penjaga gol Hassan Sunny, 38 tahun, menjulang Piala AFF berturut-turut pada 2004 dan 2007.
Ini kempen Piala AFF kesembilan penjaga gol Albirex Niigata itu - satu rekod.
Tiga lagi pemain dalam skuad Singa - kapten Hariss Harun, 32 tahun; Shahdan Sulaiman, 34 tahun; dan Zulfahmi Arifin, 31 tahun - adalah antara pemain yang memenangi piala itu bagi Singapura pada 2012, walaupun ia yang terakhir.
Hafiz Nor, 34 tahun, dan Faris Ramli, 30 tahun, juga berpengalaman, pernah beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC ketika menyarung jersi kelab Lion City Sailors.
Jelas bahawa para pemain berusia ini dipilih bukan setakat untuk melengkapkan jumlah pemain.
Sebaliknya, mereka membawa ke dalam skuad Singapura kematangan dan pengalaman, ciri bernilai yang boleh menjadi kunci kejayaan.
Ia satu kelebihan memandangkan banyak pasukan gergasi dalam kejohanan ini ketiadaan pemain berpengalaman mereka.
Juara bertahan Thailand tanpa bintang Chanathip Songkrasin, yang terikat pada komitmen kelabnya dalam Liga-1 Jepun.
Penyerang Vietnam Nguyen Cong Phuong terlepas beraksi disebabkan urusan peribadi.
Malaysia juga tanpa beberapa 'harimau' utamanya, termasuk Dion Cools, Matthew Davies, Akhyar Rasid dan Arif Aiman.
Tidak kurang penting ialah ini kali pertama jurulatih baru Singapura, Takayuki Nishigaya, membimbing pasukan Singa dalam Piala AFF.
Beliau pastinya memerlukan pengalaman semua Singa 'otai' itu untuk mengaum, menerkam dan menggigit dalam kejohanan ini.
Dapatkah Singapura mengikuti jejak langkah Argentina?
Hanya masa penentunya, tetapi Singa lapar 10 tahun jangan diajak berlawan...


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg