Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kembar Alani, Amani seronok aksi di pentas gusti

Harapan penampilan mereka dapat ubah persepsi masyarakat mengenai wanita dalam sukan lasak seperti gusti
Jun 5, 2025 | 3:32 PM
Wanita dalam sukan lasak, gusti
Kembar seiras, Nadirah Amani Hirwandy (depan) dan adiknya, Nadiah Alani Hirwandy, memilih bidang gusti sebagai hobi yang mereka ceburi bersama kerana sering menonton sukan itu bersama ayah mereka sejak kecil. - Foto GRAPPLEMAX

Gusti bukanlah sukan lasak yang sinonim dengan wanita, apatah lagi wanita bertudung.

Namun kembar seiras, Nadiah Alani Hirwandy dan kakaknya, Nadirah Amani Hirwandy, sedang giat mengubah persepsi itu.

Dikenali dengan nama ‘gelanggang’ mereka, Alani dan Amani, pasangan kembar berusia 23 tahun – dengan jarak kelahiran 14 minit – baru sahaja membuat penampilan sulung dalam dunia gusti profesional tempatan.

Alani baru menamatkan pengajian dalam jurusan Sains Sukan dan Pengurusan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), manakala Amani baru menamatkan pengajiannya dalam bidang Psikologi dari Universiti Murdoch, Australia, dan kini bekerja sebagai perunding kewangan.

Minat mereka terhadap gusti bermula sejak kecil apabila mereka sering menonton sukan itu bersama ayah mereka.

“Kami siap bergusti sesama sendiri di rumah. Ayah kami jadi pengadil,” kongsi Alani tentang minat mereka terhadap sukan tersebut.

‘Permainan’ zaman kanak-kanak itu kini berkembang menjadi impian bersama yang mereka ceburi secara serius, walaupun ia kekal sebagai hobi buat masa ini.

Jadual latihan mereka mencerminkan komitmen tersebut – dua kali seminggu di Grapple MAX, sekolah gusti utama di Singapura, termasuk sesi khas untuk wanita.

Walaupun mereka ingin berlatih lebih kerap, mereka memilih untuk menjaga keseimbangan dengan masa bersama keluarga – nilai yang kekal penting dalam kehidupan mereka.

Alani, yang mempunyai latar belakang dalam judo dan gusti gaya bebas, mengulas tentang dinamik mereka sebagai pasangan kembar:

“Sebab tinggal serumah, kami boleh berlatih di rumah juga. Saya kadang-kadang uji gerakan judo saya dengan Amani.”

Amani pula, yang aktif dalam hoki dan sukan angkat berat semasa di sekolah, menambah:

“Kami sering fikir benda yang sama, jadi senang untuk buat gerakan yang seragam sebagai satu pasukan.”

Selain aspek fizikal, aspek emosi dan mental turut memainkan peranan.

Alani akur sering bergelut dengan keyakinan diri.

“Tapi saya luahkan pada kembar saya. Amani banyak beri saya semangat untuk teruskan. Saya tak boleh bayangkan melakukan ini seorang diri,” akui Alani.

Walaupun pasangan kembar itu baru melalui satu perlawanan, prestasi mereka di gelanggang menunjukkan potensi besar.

“Tiada kesilapan besar sewaktu dalam perlawanan dan semuanya berjalan lancar,” kata Alani.

“Apa yang paling menggembirakan ialah dapat lakukannya di depan ibu bapa kami.

“Mereka tahu ini impian kami sejak kecil, jadi dapat tunjukkan bahawa kami benar-benar mampu melakukannya amat bermakna.”

Dari segi gaya gusti dan persona di gelanggang, pasangan kembar itu juga berkata mereka masih dalam proses membina identiti.

“Buat masa ini, kami agak serupa. Tapi saya nak belajar lebih banyak gerakan udara (high-flying) nanti,” kata Amani.

Menurutnya, latar belakang judo Alani akan membezakan mereka dari segi gerakan.

Walaupun baru berjinak-jinak dalam sukan gusti, adik-beradik kembar itu turut bercita-cita ke pentas antarabangsa.

“Tipulah kalau saya kata perkara itu tidak pernah terlintas dalam fikiran.

“Tapi saya juga seorang yang realistik. Kami masih baru dan datang dari negara kecil.

“Tapi Studio Grapple MAX (studio latihan Gusti Profesional) ada beri peluang latihan luar negara kepada anggota mereka.

“Kalau ada rezeki dan peluang itu datang, pasti kami mahu cuba, sekurang-kurangnya untuk menimba pengalaman,” ujar Amani.

Di luar gelanggang, masing-masing ada cita-cita tersendiri.

Alani bakal menamatkan pengajian Julai ini, manakala Amani baru memulakan kerjaya dan merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang psikologi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg