LONDON: Kemenangan 2-1 ke atas Aston Villa dirai ibarat satu keputusan yang amat besar buat Tottenham Hotspur pada malam 3 Mei.

Kemenangan itu berjaya mengeluarkan Spurs keluar daripada zon penyingkiran Liga Perdana England (EPL), sekali gus mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut buat kali pertama sejak 23 Ogos 2025.

Dengan baki tiga perlawanan sahaja sebelum musim EPL 2025/26 melabuhkan tirai, nampaknya persaingan untuk mengelak daripada tersingkir akan berlarutan sehingga ke minggu terakhir.

Wolves dan Burnley sudah pun disahkan tersingkir ke Liga Kejuaraan (Championship) bagi musim depan, namun satu lagi slot penyingkiran masih belum ditentukan.

Kemenangan Brentford ke atas West Ham 3-0 pada 2 Mei membuka laluan untuk Spurs keluar daripada kedudukan tiga pasukan terbawah, dan anak didik Roberto De Zerbi memanfaatkan peluang itu dengan sepenuhnya.

Bekas pemain pertahanan Manchester City, Micah Richards, memuji semangat Spurs di siaran BBC Match of the Day:

“Ini adalah keputusan yang sangat besar buat Spurs. Saya tidak menjangkakan perkara ini berlaku.

“Prestasi Villa memang hambar, namun Spurs benar-benar memanfaatkan kelemahan itu dengan bersungguh-sungguh dan penuh intensiti. Cara mereka mengatur strategi sangat luar biasa, mereka menonjolkan keberanian mereka.

“Spurs mungkin sudah mendapat sedikit momentum dan telah menetapkan penanda aras mereka. De Zerbi layak mendapat pujian tinggi. Semua anak didiknya tampil ke hadapan dan beliau telah memberikan mereka keyakinan itu.”

Bekas penyerang England, Alan Shearer, menambah bahawa Spurs berjaya memenangi setiap asakan, setiap second ball dan mereka bijak mengatur strategi dengan tidak menyerang dari barisan pertahanan dalam situasi yang tertentu.

“Anda memerlukan setiap pemain memberikan komitmen sepenuhnya apabila berada dalam kesukaran terdesak, dan Spurs memiliki kualiti itu untuk bangkit.”

Dengan Spurs dapat menarik nafas lega sekalipun kedudukannya dalam EPL belum lagi terjamin, tumpuan kini pada West Ham dan Nottingham Forest dalam persaingan tiga penjuru bagi elak diturunkan dari EPL musim ini.

Forest berada di tangga ke-16 dengan kelebihan satu perlawanan berbanding West Ham dan Spurs, dan mampu meraih jurang enam mata daripada zon penyingkiran jika mereka mengatasi Chelsea pada malam 4 Mei.

Leeds berada di kedudukan ke-14 dengan 43 mata, manakala Crystal Palace berada di bawah Leeds menerusi perbezaan jaringan tetapi mempunyai kelebihan satu perlawanan.

Nottingham Forest (39 mata di tangga ke-16)

Meskipun saingan sengit mengelak penyingkiran, Forest dilihat berada dalam kedudukan yang paling ‘selesa’.

Anak didik Vitor Pereira belum tewas dalam enam perlawanan EPL terakhir, dengan mencatatkan tiga kemenangan.

Namun, Forest juga perlu mengalihkan perhatian kepada saingan melayakkan diri ke final Liga Europa – berbeza daripada Spurs dan West Ham.

Forest kini mengorak selangkah dekat ke final Liga Europa setelah menewaskan Villa 1-0 dalam perlawanan pertama separuh akhir pada 1 Mei.

Bagaimanapun, beraksi dalam peringkat akhir Liga Eropah di Istanbul pada 20 Mei mungkin bukan persiapan terbaik buat mereka, memandangkan mereka perlu mengharungi perlawanan EPL yang wajib dimenangi hanya empat hari kemudian.

Tottenham Hotspur (37 mata di tangga ke-17)

Prestasi Spurs merosot secara mendadak sejak awal 2026, dengan rekod 15 perlawanan tanpa kemenangan, sehingga bekas ketua jurulatih sementara, Igor Tudor, hilang jawatannya.

Kemudian, kekalahan 0-1 ketika menentang Sunderland dalam aksi sulung pelantikan De Zerbi menyaksikan Spurs jatuh ke zon penyingkiran buat kali pertama.

Spurs bagaimanapun berjaya bangkit menundukkan kelab corot Wolves untuk kemenangan EPL pertama mereka bagi sepanjang tahun ini (2026).

Keputusan itu sekali gus memberi sinar harapan kepada penyokong mereka melihat pasukan itu kekal bertahan dalam EPL musim hadapan.

West Ham (36 mata di tangga ke-18)

West Ham telah mendapat momentum sejak tamat tempoh rehat antarabangsa menerusi kemenangan ke atas Wolves dan Everton, serta keputusan seri menentang Crystal Palace.

Bagaimanapun, kekalahan 0-3 di tangan Brentford pada 2 Mei mungkin menghancurkan harapan mereka untuk terus kekal di EPL.

Selain rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan terakhir, nasib West Ham bertambah buruk apabila mereka jatuh semula ke zon penyingkiran, susuli kemenangan Spurs ke atas Villa.

West Ham kini berdepan ujian mental yang getir menentang pendahulu EPL, Arsenal, namun tetap menaruh harapan untuk bangkit berdasarkan semangat juang tinggi yang dipamerkan setakat ini. – Agensi berita.