BUDAPEST: Pengurus Liverpool Jurgen Klopp berkata beliau tidak boleh dikaitkan dengan jawatan sebagai pengurus Jerman kerana beliau masih diikat kontrak dengan kelab di England itu.
Persatuan Bola Sepak Jerman mengumumkan kelmarin pengurus pasukan nasional Joachim Low, yang telah memimpin pasukan bola sepak negaranya sejak 15 tahun yang lalu, akan berundur selepas Kejohanan Eropah pada musim panas nanti.
"Adakah saya terbuka untuk mengisi jawatan itu pada musim panas ini? Tidak," kata Klopp.
"Ada orang lain yang akan mengisi jawatan itu dan dengan jumlah pengurus Jerman yang ramai, saya tahu FA Jerman akan mencapai huraian yang baik."
Klopp, 53 tahun dilantik sebagai pengurus Liverpool pada Oktober 2015 dan telah memimpin kelab itu menjuarai Liga Juara-Juara Eropah pada 2019 dan Liga Perdana England pada 2019-20.
Namun, juara bertahan di England itu telah terkial-kial untuk mencari 'form' kemenangan musim ini, dan kini berada di tangga kelapan dalam liga, tujuh mata dari posisi kelayakan Liga Juara-Juara.
Klopp berkata: "Saya tidak boleh dianggap sebagai jurulatih Jerman yang baru kerana saya masih mempunyai kontrak tiga tahun dengan Liverpool. Perkara ini mudah. Saya menandatangani kontrak dan akan mematuhi kontrak itu, sebagaimana saya mematuhi kontrak di kededua Mainz dan Dortmund."
Klopp berkata demikian di sidang media sebelum Liverpool bertemu RB Leipzig awal pagi tadi (3.55 pagi), dalam perlawanan kedua pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.
Liverpool mempunyai kelebihan agregat 2-0, tetapi persembahan pasukan yang tidak menentu bermakna kedudukannya itu boleh digugat, terutama perlawanan dimainkan di Arena Puskas di Budapest, kerana sekatan Covid-19.
Dalam pada itu, pemain midfield dari Belanda Georginio Wijnaldum berkata beliau akan berdukacita jika terpaksa meninggalkan kelab itu.
Kontrak Wijnaldum dengan Liverpool luput pada musim panas ini dan buat masa ini, tiada sebarang berita dari kededua pihak tentang rancangan melanjutkan kontrak itu. - Agensi berita.