PERSATUAN Bola Sepak Singapura (FAS) mengumumkan pengarah teknikal Joseph Palatsides telah bersetuju melanjutkan kontraknya selama dua tahun hingga 2023.
Palatsides, 55 tahun, dilantik pada Mei 2019 dengan kontrak dua tahun beserta pilihan tambahan dua tahun.
Dalam satu kenyataan kelmarin, FAS berkata setelah membuat komitmen untuk kekal di Singapura, Palatsides akan memainkan peranan penting dalam projek Unleash The Roar, selain terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk menggembleng ekosistem bola sepak Singapura dan meningkatkan mutu bola sepak tempatan di semua peringkat.
Projek Unleash The Roar ialah sebahagian matlamat FAS melayakkan pasukan kebangsaan ke Piala Dunia FIFA 2034. Ia diumumkan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong, pada Ogos 2019, sewaktu memegang jawatan naib presiden FAS.
Sebelum datang ke sini Palatsides merupakan ketua akademi kelab liga Australia Melbourne City.
Beliau ditugaskan memantau perkembangan bola sepak Singapura, yang meliputi perkembangan pasukan bola sepak negara di pelbagai peringkat usia, akar umbi dan pasukan bola sepak wanita, serta memperkukuh lagi pembangunan pemain muda dan struktur kejurulatihan.
Palatsides percaya masih "banyak perlu dilakukan".
"Saya menyertai FAS kerana saya tertarik pada keinginan sebenar pertubuhan ini melabur dalam bola sepak, dan saya yakin akan potensi bola sepak Singapura terus berkembang dan mencapai tahap lebih tinggi," katanya.
"Masih banyak harus dilakukan dan saya sangat berterima kasih atas sokongan yang ditunjukkan oleh jawatan eksekutif dan pentadbiran FAS sepanjang dua tahun lalu dan kepercayaan mereka terhadap saya bagi dua tahun akan datang."
Presiden FAS Lim Kia Tong berkata badan bola sepak Singapura telah melihat "kemajuan baik dan petunjuk menjanjikan setakat ini" semasa tempoh Palatsides memikul tanggungjawabnya.
Beliau berkata: "Sejak menyertai kami pada 2019, Joseph telah berusaha memperkukuh lagi asas bola sepak Singapura untuk meningkatkan mutu kita, terutama dalam bidang seperti pembangunan pemain muda elit (lelaki dan perempuan) serta pembangunan jurulatih.
"Kami telah melihat kemajuan baik dan petunjuk menjanjikan sejauh ini, terutama dengan struktur yang disediakan dalam jabatan teknikal FAS oleh Joseph, yang melengkapkan hasil yang diinginkan daripada pemain muda berbakat yang beralih ke pasukan bola sepak senior."
Di bawah kepemimpinan Palatsides, jabatan teknikal FAS mengambil langkah baru mengadakan percubaan terbuka bagi pemain daripada peringkat usia berbeza.
Ujian itu akan menilai bakat berpotensi sekali gus memperluas lagi kumpulan pemain muda.