Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Kusumawati hargai masa bersama keluarga selepas bersara

Penjaga gol skuad wanita S’pura tidak tolak kemungkinan
sertai bola sepak kelab atau jadi jurulatih
Nov 10, 2023 | 02:50 PM



Sudah sebulan beliau bersara daripada skuad kebangsaan, namun bagi bekas penjaga gol Singapura, Noor Kusumawati Rosman, ia bagaikan satu perkara aneh dapat pulang ke rumah sebelum matahari terbenam.

Selama 12 tahun lalu, Kusumawati, 33 tahun, kerap pulang malam disebabkan latihan mahupun perlawanan bola sepak.

Meninggalkan skuad bola sepak wanita selepas bertahun-tahun lamanya bersama mereka bukanlah satu perkara mudah bagi dirinya.

Namun begitu, Kusumawati, kini bekerja sebagai pembantu urus tadbir, berkata kehidupan selepas kerjaya bola sepak merupakan sesuatu yang beliau alu-alukan.

“Rasanya berbeza apabila anda dapat pulang awal selepas bekerja tetapi inilah kehidupan saya sekarang. 

“Saya gembira kerana mempunyai lebih banyak masa bersama suami dan keluarga, jadi itu adalah satu perkara baik yang saya tidak dapat miliki sejak beberapa tahun lalu,” katanya dalam wawancara bersama The Straits Times.


Dengan 51 penampilan dalam pasukan kebangsaan, bekas penjaga gawang utama Singapura itu bersara sebagai pemain wanita kedua paling banyak membuat penampilan bagi perlawanan antarabangsa, hanya di belakang pemain pertahanan Ernie Sontaril, 34 tahun, yang mempunyai 58 penampilan.

Namun begitu, ketika masih kecil, Kusumawati tidak terbayang suatu hari beliau akan dapat mewakili pasukan negara. Permulaannya dalam sukan itu merupakan sesuatu yang tidak diduga.

Sebelum ini, beliau pernah mewakili sekolah dalam bola jaring sejak di sekolah rendah, hinggalah beliau melangkah ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej East, dengan beliau diundang mencuba nasib sebagai pemain bola sepak pasukan sekolah itu.

Kusumawati yang pernah menonton Piala Dunia bersama bapanya yang gemarkan bola sepak, mengambil keputusan mencuba sukan tersebut.

Beliau pernah bermain di posisi berlainan termasuk sebagai penyerang, namun bakatnya terserlah sebagai penjaga gawang.

Beliau akur, pada mulanya ia sukar.

“Ia tidak mudah bagi saya pada mulanya kerana kami sering tewas dan apabila gol anda dibolosi, anda akan berasa sedih.

“Tetapi, selepas itu ia memberi saya semangat untuk berlatih lebih gigih supaya tidak melakukan kesilapan sama,” katanya.

Daripada mewakili sekolah, Kusumawati kemudian menyertai kelab sebelum dipanggil mengikuti latihan bersama pasukan negara pada 2011. 

Beliau membuat penampilan sulungnya bagi negara di Kejohanan AFF Wanita pada 2011.

Meski bola sepak wanita di sini masih berkembang, Kusumawati percaya ia telah mencapai kemajuan dalam sedekad lalu, dengan adanya skuad muda yang telah menunjukkan potensi.

Beliau memberi contoh kemenangan 1-0 ke atas Laos pada temasya Sukan SEA Hanoi pada 2022, apabila skuad wanita mencatat kemenangan pertama mereka pada acara dwitahunan itu sejak 1985.

“Itu merupakan satu pencapaian besar bukan sahaja bagi saya, malah untuk pasukan. Kami menunjukkan betapa beraninya kami, betapa kami benar-benar mahukan kemenangan itu,” tambahnya.

“Persembahan kami telah menyaksikan peningkatan sejak beberapa tahun lalu dan detik Sukan SEA itu, dan kemenangan itu adalah detik membanggakan untuk semua orang.”

Disebabkan ingin terus beraksi bersama pasukan negara dalam pertandingan itu, Kusumawati sanggup menangguhkan persaraannya. 

Selepas mendirikan rumah tangga pada awal 2022, beliau telah mempertimbangkan untuk bersara, tetapi daya tarikan untuk bersaing di Sukan SEA – yang pertama sejak 2003 – terlalu kuat.

Walaupun telah bersara daripada pasukan kebangsaan baru-baru ini selepas Sukan Asia 2023, beliau tidak menolak kemungkinan meneruskan kerjaya dalam bola sepak kelab atau menyertai laluan kejurulatihan.

Satu perkara yang dirindui penjaga Lion City Sailors itu, yang telah merangkul kejuaraan Liga Perdana Wanita berturut-turut, ialah rakan sepasukannya.

Beliau berkata: “Ia seperti satu keluarga, bola sepak adalah keluarga kedua saya. Kami saling menyayangi – kami berlatih bersungguh-sungguh, kami sering memberikan semangat antara satu sama lain untuk tidak pernah berputus asa.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >