SPH Logo mobile
Langgan|

Laavinia Jaiganth pecah rekod 50 tahun lari 400m bawah 20 tahun S’pura

Laavinia Jaiganth pecah rekod 50 tahun lari 400m bawah 20 tahun S’pura

Aug 30, 2024 | 12:27 PM

Laavinia Jaiganth pecah rekod 50 tahun lari 400m bawah 20 tahun S’pura

Pelari pecut Singapura, Laavinia Jaiganth, mencatat masa 54.66 saat pada Kejohanan Atletik Sedunia Bawah 20 tahun di Lima, Peru. Walaupun gagal mara ke separuh akhir, namun beliau memecah rekod nasional yang telah bertahan selama 50 tahun.
Pelari pecut Singapura, Laavinia Jaiganth, mencatat masa 54.66 saat pada Kejohanan Atletik Sedunia Bawah 20 tahun di Lima, Peru. Walaupun gagal mara ke separuh akhir, namun beliau memecah rekod nasional yang telah bertahan selama 50 tahun. - Foto FABIAN WILLIAMS

Atlet balapan remaja, Laavinia Jaiganth, kini bergelar pelari bawah 20 tahun terpantas dalam sejarah Singapura bagi jarak 400 meter.

Laavinia, 18 tahun, mencatat masa 54.66 saat di Kejohanan Atletik Sedunia Bawah 20 tahun di Lima, Peru pada 28 Ogos – memecah rekod nasional milik, Chee Swee Lee, yang telah bertahan selama 50 tahun.

Chee mencatat rekod lama 55.08 saat di Sukan Asia 1974 di Teheran, Iran.

Jaiganth muncul sebagai pelari keenam terbaik dalam kalangan sembilan peserta saringan keenam di Estadio Atletico de la Videna, dan gagal mara ke separuh akhir.

Semasa bercakap bersama The Straits Times, Jaiganth berkata beliau dan jurulatihnya, Fabian William, mempunyai matlamat jelas dalam perlumbaan itu, iaitu mencatat masa terbaik peribadi.

Pelajar jurusan perniagaan Politeknik Ngee Ann itu berkata: “Kami berlatih ke arah itu sepanjang kem latihan di Ecuador dan semasa berangkat ke Peru, adalah jelas saya berada dalam keadaan baik untuk mencatat masa peribadi terbaik.

“Saya juga ingin mengawal emosi dan menjadi lebih yakin dalam pertandingan antarabangsa. Saya rasa kami mencapai matlamat itu.”

Jaiganth menambah bahawa memecah rekod yang bertahan begitu lama sangat bermakna baginya.

“Saya berasa hebat… moga ada peluang mencatat lebih banyak rekod pada masa depan.”

Beliau melayakkan diri ke pertandingan itu menerusi laluan ‘sejagat’, iaitu sebagai atlet bawah 20 tahun terbaik. Masa peribadi terbaik yang pernah dicatatnya, iaitu 56.8 saat, adalah di Terbuka Singapura pada April.

Ini adalah kali kedua dalam musim ini pelari pecut Singapura memecahkan rekod nasional.

Ratu pecut, Shanti Pereira, memecah rekod 400 meter nasional apabila beliau mencatat masa 53.76 saat di kejohanan Florida Relays pada 30 Mac.

Rekod lama, 54.18 saat, milik Dipna Lim-Prasad, yang mencatatnya pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Rekod nasional bawah 20 tahun paling lama kekal milik, Mirnigar Begum, yang mencatat masa 4 minit 41.8 saat bagi acara 1,500 meter pada Sukan SEA Semenanjung pada 1973

Pengurus besar Atletik Singapura, Shalindran Sathiyanesan, berkata persatuan yang mewakili atlet padang dan balapan di Singapura itu amat berbangga dengan pencapaian Jaiganth.

“Kami berharap beliau akan terus berjaya dan mencapai kejayaan lain pada tahun-tahun hadapan.”

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg