Subuh
5:57
Syuruk
7:14
Zuhur
1:18
Asar
4:28
Maghrib
7:19
Isyak
8:29
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

ANALISIS BERITA: REVIU SIRI TIGA NEGARA FAS

Lalui tempoh tak menentu tapi Singa tunjuk semangat, keserasian

Pujian ke atas jurulatih sementara Nazri; pasukan di landasan betul sebelum ketibaan jurulatih tetap baru bulan depan
Mar 31, 2022 | 05:30 AM



DALAM tempoh yang tidak menentu selepas peletakan jawatan mengejut bekas ketua jurulatih pasukan nasional Tatsuma Yoshida menyusuli Piala Suzuki AFF lewat Disember lalu, pasukan Singa sepanjang seminggu ini membuktikan bahawa mereka tidak perlu tergesa-gesa untuk menekan 'butang panik'.



Bahkan, Singapura kelihatan dipandu dalam mode terkawal, sekali gus berada di landasan yang tepat dalam perjalanan mereka menghadapi saingan kelayakan Piala Asia AFC 2023 pada Jun ini.



Singapura diundi dalam Kumpulan F bersama-sama tuan rumah Kyrgyzstan, Myanmar dan Tajikistan.



Di siri perlawanan persabahatan 'A' Tiga Negara Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) 2022 yang diadakan di Stadium Negara, pasukan Singa, yang dipimpin jurulatih sementara Nazri Nasir, merakam dua kemenangan yang menyakinkan berdepan dua lawan yang menduduki ranking lebih tinggi, Malaysia dan Filipina.



Sabtu lalu, Singa, pasukan nombor 161 dunia, mengaum semasa mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas musuh tradisi, Harimau Malaya (pasukan ke-154 dunia), sebelum menumpaskan The Azkals (pasukan ke-129 dunia) 2-0 kelmarin.



Keputusan ini mampu diraih meskipun Singapura tanpa tokoh bola sepak yang berpengalaman dan ulung di 'kerusi panasnya'.



Malaysia dibimbing ketua jurulatih baru mereka, Kim Pan-gon, yang merupakan bekas pengarah teknikal jawatankuasa penyeliaan pasukan nasional Korea Selatan.



Sementara itu, warga England, Scott Cooper, yang dikenali menguruskan beberapa kelab di rantau ini, mengendalikan Filipina di siri perlawanan persahabatan itu.



Pengumuman pelantikan ketua jurulatih baru Singa dijangka dibuat bulan depan.



Warga Korea Selatan dan bekas jurulatih Home United (yang kini dikenali sebagai Lion City Sailors), Lee Lim-saeng, dan warga England dan bekas jurulatih pasukan nasional India, Stephen Constantine, difahami antara calon utama bagi jawatan itu.



Sejak awal tahun ini, perbualan mengenai siapa yang layak menyandang jawatan penting itu hangat dibincangkan.



Namun, di siri Tiga Negara FAS, perbualan itu kurang menjadi tumpuan dengan persembahan positif skuad Singa membayangi ketiadaan seorang ketua jurulatih tetap dalam pasukan.



Adakah ia bermakna Singapura tidak perlu ketua jurulatih berkaliber dalam pasukan? Tidak.



Ia masih penting untuk memiliki 'Pep Guardiola' atau 'Juergen Klopp' versi Singa yang sendiri.



Tapi, apa lebih utama adalah untuk Singapura mencari identiti bola sepaknya. Ini melalui pembentukan skuad pemain yang kukuh dan gaya permainan yang mantap.



Dan ketara, dalam dua perlawanan baru-baru ini, Singapura telah menemui kedua-dua perkara itu.



Sistem permainan 3-4-1-2, yang turut digunakan Yoshida di Piala Suzuki ketika Singapura berjaya mara ke separuh akhir buat pertama kali sejak 2012, pastinya menonjolkan kekuatan pasukan negara.



Kapten Hariss Harun, pemain midfield yang kemudian diubah menjadi bek tengah, memimpin pasukan dari nadi pertahanan, seakan mirip kapten Liverpool, Virgil van Dijk, yang teguh mempertahankan benteng pasukan di samping berperawakan hebat.



Bersama Irfan Fandi dan Safuwan Baharudin, Hariss membentuk 'dinding bata merah' yang stabil di depan gawang 'Menteri Pertahanan' Hassan Sunny.



Shahdan Sulaiman, dengan pengalamannya, menjadi tunggak midfield dan mampu mengawal permainan tidak kira siapa beliau digandingkan di tengah padang.



Song Ui-young pula tidak kekok mengatur serangan balas walaupun baru sahaja menyertai pasukan Singa Ogos lalu.



Dan 'senjata' bernama Ikhsan Fandi jelas menunjuk taring di depan gol dengan penyerang berusia 22 tahun itu kini menyumbatkan 13 gol dalam 26 penampilan buat Singapura, menjadikan beliau antara penyerang paling berbisa di rantau ini.



Kelompok pemain utama dikekalkan untuk membina asas kukuh, dengan tambahan beberapa pemain berprestasi baik dalam Liga Perdana Singapura dipanggil ke dalam skuad nasional.



Singa nampaknya telah menemui formula dan rentak kejayaan, meskipun pujian harus diberikan kepada Nazri dan kakitangan di sebalik tabir pasukan nasional.



Bagaimanapun, kejayaan bagi menempah kelayakan Piala Asia pertama - Singapura bermain dalam edisi 1984 sebagai tuan rumah - belum lagi pasti, dengan ujian baru menanti pasukan Singapura bersama ketua jurulatih barunya nanti.



Ia juga tidak pasti sama ada bos baru Singa itu akan menerapkan idea dan falsafah bola sepak yang sedia ada.



Tetapi, apa yang pasti, beliau tidak perlu membuat perubahan drastik dalam pasukan yang sudah memaparkan keserasian, membolehkannya fokus dalam membawa Singapura ke tahap yang lebih tinggi.



Benihnya sudah ditanam. Hanya perlu disiram air untuk pokok itu terus mekar berbunga.




"Singa nampaknya telah menemui formula dan rentak kejayaan, meskipun pujian harus diberikan kepada Nazri dan kakitangan di sebalik tabir pasukan nasional... apa yang pasti, beliau (jurulatih tetap baru yang bakal dilantik) tidak perlu membuat perubahan drastik dalam pasukan yang sudah memaparkan keserasian, membolehkannya fokus dalam membawa Singapura ke tahap yang lebih tinggi."
- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >