Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

TINJU

Langkah diatur untuk 'buat tinju S'pura hebat semula'

Pasukan pemimpin baru dilantik lakar hala tuju Persekutuan Tinju Singapura sepanjang empat tahun
Nov 03, 2022 | 05:30 AM



SEKUMPULAN bekas petinju serta penggemar sukan itu sedang menggembleng tenaga demi "membuat tinju Singapura hebat semula".



Sabtu lalu, sebuah pasukan kepimpinan berwajah baru dilantik untuk melakar hala tuju Persekutuan Tinju Singapura (SBF) sepanjang empat tahun mendatang, menyusuli satu Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di Hab Sukan Singapura.



Lembaga sembilan anggota itu diterajui presiden baru SBF, Faisal Hussain, 42 tahun.



Faisal, seorang pendidik di sekolah menengah, menggantikan presiden yang sudah lama berkhidmat, Syed Abdul Kadir, yang bersara Mei lalu.



Syed Abdul Kadir, 74 tahun, mengetuai SBF - yang sebelumnya dikenali sebagai Persatuan Tinju Amatur Singapura (Saba) - sejak dilantik pada 2009. Legenda petinju negara itu melepaskan jawatan tahun ini akibat keadaan kesihatannya.



Fairuz Mohamed, 35 tahun, pula dipilih selaku naib presiden baru SBF. Faisal dan Fairuz sebahagian daripada jawatankuasa SBF di bawah Syed Abdul Kadir.



"Saya fikir kami kini berpeluang memulakan sukan ini semula...Visi akhirnya sudah pasti untuk Singapura beraksi cemerlang dalam temasya sukan besar dan mempunyai sebuah pasukan kuat untuk bertanding dengan negara mantap dari serata dunia.



"Jadi, kami ingin membuat tinju Singapura hebat sekali lagi. Kami mahu membawa kembali zaman kegemilangannya," kata Faisal kepada Berita Harian.



Usaha mencapai visi itu sudah dijalankan oleh Faisal, Fairuz dan beberapa anggota daripada jawatankuasa lalu sejak November tahun lepas.



Mereka telah melipatgandakan rizab SBF, melancarkan program pembangunan wanita dan belia serta memperbaharui program latihan elit.



Program latihan elit itu dibimbing jurulatih bersama pasukan nasional, Muhamad Ridhwan, 34 tahun, dan Khairul Anuar, 39 tahun - kedua-duanya bekas petinju negara.



Di AGM Sabtu lalu, rancangan 10 tahun SBF dikongsi bersama ahli gabungan persekutuan itu.



Ini termasuk matlamat lembaga itu memenangi pingat emas di Sukan SEA 2025 di Bangkok serta mencapai kejayaan di Sukan Komanwel dan Asia, sebelum menyasarkan kelayakan ke Sukan Olimpik 2032 di Brisbane.



Pingat emas tinju terakhir Singapura dalam Sukan SEA dimenangi Mukhlis Amat di Bangkok pada 1985, dan satu-satunya petinju negara yang layak beraksi di Sukan Olimpik ialah Syed Abdul Kadir pada 1972 di Munich.



Lembaga baru SBF juga menampilkan generasi muda - enam daripada mereka berusia bawah 40 tahun.



Selain Faisal dan Fairuz, ia dianggotai Leona Hui, 36 tahun (setiausaha kehormat); Ibrahim Ahmad, 38 tahun (penolong setiausaha kehormat); Syahirah Sola' Amat, 23 tahun (bendahari); dan empat ahli: David Alexis, 54 tahun; Dzulfadly Jaffar, 45 tahun; Efasha Kamarudin, 31 tahun; dan Rafhana Rosli, 33 tahun.



Hui, Syahirah, Dzulfadly dan Efasha dilantik bagi tempoh dua tahun kerana mendapat undi terendah dalam kalangan sembilan ahli terpilih itu, manakala yang lain akan berkhidmat selama empat tahun.



Fairuz berkata: "Lebih separuh daripada jawatankuasa ini pernah menjadi petinju atau ada kaitan dengan seorang petinju. Jadi, mereka secara langsung telah terlibat dalam tinju Singapura selama 10, 15 tahun lalu.



"Mereka tahu tentang cabaran rakan petinju mereka atau yang mereka sendiri lalui, dan ini akan mendorong mereka memastikan perkara sama tidak berlaku pada generasi seterusnya dan berusaha untuk kebaikan sukan ini."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >