Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih kecil, dekat penonton, Singa harus manfaatkan Stadium Jalan Besar

Dec 24, 2024 | 5:18 PM
Pemain Singapura berlatih di Hab Bola Sepak Kallang pada 23 Disember.
Pemain Singapura berlatih di Hab Bola Sepak Kallang pada 23 Disember. - Foto BH oleh KHALID BABA

Dengan empat kekalahan dalam lima perlawanan terakhir sebelum Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 bermula, tiada yang menyangka Singapura mampu melangkah ke saingan separuh akhir kejohanan tersebut.

Namun, mereka membuktikan bahawa mereka mampu mencabar gelaran raja Asean dengan melayakkan diri ke saingan separuh akhir.

Singa bakal menghadapi ujian getir apabila menentang Vietnam, yang berada di kedudukan ke-114 dunia dalam senarai Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Walau demikian, Singa, yang kini berada di kedudukan ke-160 Fifa, terpaksa beraksi di stadium yang lebih kecil berbanding Stadium Negara, iaitu Stadium Jalan Besar, pada perlawanan pertama separuh akhir pada 26 Disember.

Perlawanan ini berlangsung di Stadium Jalan Besar kerana Stadium Negara digunakan untuk acara konsert.

Stadium Jalan Besar mampu bawa tuah

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

Begitulah ungkapan sesuai bagi pasukan Singa yang lebih mengenali situasi padang dan suasana di Jalan Besar berbanding stadium yang lain.

Stadium Jalan Besar merupakan stadium ‘tuan rumah’ bagi empat pasukan Liga Perdana Singapura (SPL) – Young Lions, Hougang United, Geylang International dan BG Tampines Rovers – pada musim 2024, lantas tidak asing bagi pemain.

Berkongsi kepada Berita Harian (BH), jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura, turut bersetuju dengan hal tersebut sambil berkata:

“Suasananya sangat padat, seperti stadium bola sepak yang sebenar, direka khas untuk perlawanan bola sepak dan bukan untuk olahraga.

“Para pemain berasakan padangnya lebih kecil, dan ini adalah kelebihan bagi kami. Ia membolehkan kami memberi tekanan dengan berkesan (dan berterusan) serta mengekalkan garisan pertahanan yang kukuh,” ujar beliau.

Stadium Jalan Besar turut menyaksikan beberapa kejutan dengan Singa memenangi perlawanan 2-1 menentang Syria, pasukan yang berada di kedudukan lebih tinggi, di Kelayakan Piala Dunia pada 2013.

Ia juga merupakan stadium yang menyaksikan Singapura memenangi perlawanan pertama di separuh akhir, menentang Filipina dan perlawanan akhir, menentang Thailand, pada Piala AFF 2012.

Menurut pemain pertahanan Singa, Safuwan Baharudin, stadium tersebut sudah memberinya pelbagai memori indah dan ia mampu memberi kelebihan kepada pemain.

“Saya berada di sana (Stadium Jalan Besar) ketika kami memenangi Piala AFF 2012 maka ia pasti membawa kenangan yang indah.

“Bermain di stadium dengan kapasiti yang lebih kecil, lebih dekat dengan penyokong, ia akan memberikan kami permainan yang berbeza,” ujar pemain berusia 33 tahun itu.

Pemain pertahanan Singa, Safuwan Baharudin.
Pemain pertahanan Singa, Safuwan Baharudin. - Foto BH oleh KHALID BABA

Sebelum ini ketika Vietnam menentang Filipina di saingan kumpulan B Piala AFF 2024 di Stadium Rizal Memorial, Manila mereka mengalami kesukaran untuk bermain di rumput tiruan.

Pasukan pendekar bintang emas terpaksa menunggu hingga lewat masa kecederaan separuh masa kedua untuk menyamakan kedudukan 1-1 dengan Filipina.

Kali terakhir Singa menentang Vietnam di Stadium Jalan Besar ialah pada edisi Piala AFF 2022, apabila mereka seri 0-0 di perlawanan kumpulan B.

Ketika itu, Singa gagal melepasi kumpulan tersebut dengan menduduki tangga ketiga manakala Vietnam mengungguli persada kumpulan.

Namun, pertembungan kali ini membawa gambaran yang berbeza.

Penyokong berada di belakang Singa

Stadium Jalan Besar mampu memuatkan sekitar 6,000 penonton berbanding Stadium Negara, yang mempunyai kapasiti sebanyak 55,000.

Namun, stadium yang lebih kecil dan dekat dengan pemain bermakna sorakan penyokong lebih didengari pemain.

Dengan hanya 300 tiket dijual untuk penyokong Vietnam, sorakan penyokong Singa mampu menggegarkan lawan.

Semangat penyokong juga dilihat pada 22 Disember, apabila mereka membanjiri Stadium Jalan Besar untuk membeli tiket perlawanan, dengan ada sudah mula beratur sehari sebelumnya.

Penyokong ingin melihat pemain melangkah jauh dan sanggup berhempas pulas mendapatkan tiket.

Tonggak penyerang, Shawal Anuar, 33 tahun, yang beraksi di perlawanan terakhir menentang Vietnam menghargai sambutan penyokong sambil berkata:

“Saya terkejut kerana tiket habis dijual dalam beberapa jam sahaja.

“Saya benar-benar menghargai usaha mereka yang datang untuk beratur dan membeli tiket walaupun perlu menunggu lama untuk menyokong kami di stadium. Saya rasa penyokong benar-benar mencintai dan meminati bola sepak sekarang.”

Kepercayaan itu seharusnya ‘dibalas’ di atas padang dengan persembahan yang cemerlang daripada pemain.

Dengan pemain dikelilingi ‘keluarga Singa’ yang lain, ia mampu membantu Singa mengaum dengan lebih garang.

Mood positif di kem Singapura

Ketika sesi latihan pertama Singa sejak pulang dari Kuala Lumpur pada 23 Disember di Hab Bola Sepak Kallang, mood di kem Singapura kelihatan sangat positif.

Senyuman dan tawa mengiringi sesi latihan dua jam tersebut.

Hal demikian amatlah penting bagi pasukan yang ingin melakar kejayaan di pentas Asean.

Mereka bakal menghadapi pasukan yang lebih kuat dan memerlukan antara satu sama lain untuk kekal bersama.

Mereka juga memiliki momentum selepas membuat kejutan melangkah ke saingan separuh akhir.

Mood positif melambangkan keyakinan pemain berada pada tahap yang tinggi dan ini mampu menjadi faktor penting dalam beraksi dengan cemerlang menentang Vietnam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg