Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

FORMULA SATU

Leclerc akhiri kemarau bagi Ferrari; 'mimpi buruk' bagi Verstappen

Ferrari buka saingan musim baru dengan bolot tempat 1-2 di Grand Prix Bahrain; kededua pemandu Red Bull gagal tamatkan perlumbaan
Mar 22, 2022 | 05:30 AM



MANAMA: Charles Leclerc membuka tirai era baru Formula Satu dengan kemenangan bergaya, mendahului rakan sepasukan Carlos Sainz dalam kemenangan satu-dua buat Ferrari yang kelihatan telah bangkit semula dalam perlumbaan pembukaan musim Grand Prix Bahrain kelmarin.



Warga Monaco itu melepasi garisan penamat 5.5 saat di depan Sainz, yang mengisi tempat kedua selepas juara dunia Max Verstappen yang gagal menamatkan perlumbaan gara-gara masalah kereta.



Pemandu Red Bull Verstappen, yang beberapa kali berlumba rapat roda-ke-roda dengan Leclerc dalam pertarungan untuk merebut kedudukan pertama, berada dalam landasan meraih tempat kedua tetapi terpaksa bersara tiga pusingan sebelum tamat perlumbaan manakala dengan rakan sepasukan, Sergio Perez, mengalami nasib yang sama tidak lama selepas itu.



Pasukan Red Bull pulang dari Bahrain tanpa sebarang mata.



Masalah Red Bull bagaimanapun membawa tuah kepada pasukan Mercedes, yang bergelut sepanjang hujung minggu lalu, dengan Lewis Hamilton merampas tempat ketiga dan rakan sepasukan barunya George Russell menduduki tempat keempat, iaitu keputusan terbaik dalam kerjayanya.



Bos pasukan Red Bull, Christian Horner, berkata ia adalah "kesudahan yang kejam" dengan menyifatkan persaraan kedua-dua pemandunya sebagai "mimpi buruk" bagi pasukannya itu.



Kemenangan kelmarin adalah yang ketiga dalam kerjaya Leclerc dan yang pertama buat Ferrari sejak Grand Prix Singapura 2019.



Ia juga merupakan gelaran ketujuh pasukan Italy itu di trek padang pasir Sakhir.



"Seperti yang saya katakan sebelum ini, dua tahun lalu adalah tempoh amat sukar untuk pasukan kami," kata Leclerc, selepas menamatkan kemarau 45 perlumbaan tanpa kemenangan sejak Singapura 2019 untuk pasukan paling berjaya dalam sukan itu.



"Ia adalah peluang besar untuk pasukan - kami tidak mengharapkan yang lebih baik daripada ini."



"Pertama sekali, tahniah kepada Ferrari. Saya gembira untuk melihat mereka kembali cemerlang," ujar pula juara dunia tujuh kali Hamilton, yang untuk sebahagian besar perlumbaan berada jauh di tempat kelima.



"Saya fikir ia adalah perlumbaan yang sukar. Kami mengalami kesukaran sepanjang sesi latihan tetapi kami melakukan yang terbaik yang kami mampu," tambah superstar Britain berusia 37 tahun itu.



Kevin Magnussen, muncul kembali dalam F1 dan membantu Haas meraih semula mata dengan kedudukan kelimanya.



Keputusan itu meletakkan Haas, yang mengakhiri musim 2021 di tangga corot dan merupakan satu-satunya pasukan yang gagal mengutip mata, di tempat ketiga dalam kedudukan keseluruhan.



Valtteri Bottas menduduki tempat keenam dalam perlumbaan pertamanya untuk Alfa Romeo, mendahului Esteban Ocon dari Alpine, yang menerima denda masa kerana menolak pemandu Haas, Mick Schumacher, hingga keretanya berpusing.



Yuki Tsunoda meraih tempat kelapan untuk AlphaTauri, di depan juara dunia dua kali dari Sepanyol, Fernando Alonso.



Zhou Guanyu, yang tampil sebagai pemandu pertama dari China dalam Formula Satu, turut mencatatkan mata apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 pada penampilan sulungnya untuk Alfa Romeo. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >