Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

LEGA! Olimpik era pandemik berjaya

Aug 08, 2021 | 05:30 AM



DISATUKAN oleh emosi.



Itulah tema yang diangkat semasa tirai Sukan Olimpik Tokyo 2020 dibuka pada 23 Julai lalu.



Dan sepanjang 17 hari, medan persaingan di pentas terbesar sukan itu dibuka hingga ia menutup tirainya malam ini. Penonton di serata dunia bersatu dan disatukan untuk menyaksikan paparan pelbagai emosi di Tokyo walaupun penonton, domestik mahupun di luar negara, dilarang ke tempat acara sukan secara fizikal dek Covid-19.



Meski jauh di mata, emosi daripada setiap detik manis dan pahit di Sukan Tokyo tetap dekat di hati penonton.



Daripada senyuman kegembiraan kepada tangisan kekecewaan dan sikap prihatin terhadap kesejahteraan atlet, emosi ini sama-sama diraikan.



"Sukan adalah universal," tulis penganjur Sukan Olimpik Tokyo di laman webnya.



"Ia adalah harta yang sangat berharga yang mana Tokyo 2020 percaya memiliki kuasa untuk menyatukan dunia melalui emosi, meskipun kita berjauhan, bertutur dalam bahasa yang berbeza, atau datang daripada budaya yang berbeza."



Tokyo 2020 diadakan di tengah-tengah pandemik, yang pertama dalam sejarah Sukan Olimpik, selepas setahun ditangguhkan akibat Covid-19.



Dengan kebanyakan negara giat berusaha mengatasi cabaran masing-masing melawan Covid-19, termasuk tuan rumah Jepun, temasya sukan itu berharap dapat "merawat" dan membangkitkan semula semangat dunia untuk keluar daripada pandemik ini.



Bersatu teguh, bercerai roboh, bak kata pepatah. Dan sukan sasar menjadi pengikatnya.



KEJAYAAN BAWA SUKA DALAM DUKA



Bagi negara seperti Indonesia, pencapaian pingat emas pasangan regu badminton wanita Greysia Polii dan Apriyani Rahayu - pingat emas yang kelapan untuk negara Asia Tenggara itu - amat dialu-alukan.



Kejuaraan pasangan itu memberi rangsangan kepada negara yang baru-baru ini ditimpa korban Covid-19 paling buruk.



Indonesia telah menyaksikan kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19 melonjak tinggi sejak dua bulan lalu.



Tangisan kegembiraan yang dilihat di raut wajah Greysia dan Apriyani selepas menewaskan pasangan nombor dua dunia dari China, Chen Qingchen and Jia Yifan, di Musashino Forest Sport Plaza pada Isnin lalu, menunjukkan betapa bermakna kemenangan tersebut bagi mereka dan Indonesia.



Filipina turut bersatu menikmati kegembiraan di Sukan Tokyo.



Atlet angkat berat Hidilyn Diaz berjaya mencipta sejarah membawa pulang pingat emas sulung negara itu.



Dengan Filipina dirundung kemelesetan ekonomi akibat pandemik yang menyaksikan ramai kehilangan mata pencarian, Diaz, yang dianggap wira negara, berjaya membawa keceriaan di tanah air.



SEMANGAT SUKAN MENYERLAH



Dalam sukan, kecemerlangan itu penting. Tetapi, apa yang lebih penting adalah semangat sukan, yang akan diingati sampai bila-bila.



Di Tokyo 2020, penonton disajikan dengan pelbagai detik yang menyayat hati.



Sama ada menyaksikan reaksi dua atlet lompat tinggi, warga Italy Gianmarco Tamberi dan warga Qatar Mutaz Barshim ketika bersetuju mengongsi pingat emas, atau dua atlet remaja perempuan papan selaju berusia 13 tahun, berpelukan dan bermesra setelah Momiji Nishiya dari Jepun dinobat juara sementara Rayssa Leal dari Brazil hanya mampu di tempat kedua, ramai pasti tersentuh dan mandapat inspirasi oleh sikap kedua-dua atlet ini.



Reaksi di media sosial yang dibanjiri komen positif jelas membuktikanya.



KEJUTAN DAN KEKECEWAAN



Dalam sukan, kalah menang adalah adat permainan. Dan di sebalik kejutan yang dilakar seorang atlet, tersirat pula kekecewaan di dalam diri seorang atlet lain.



Di Sukan Tokyo, kejutan dan kekecewaan seakan menjadi tema barunya.



Warga Jamaica Hansle Parchment merampas pingat emas daripada juara dunia Grant Holloway dalam final lompat pagar 110 meter lelaki, sementara pasangan beregu campuran Jepun, Jun Mizutani dan Mima Ito, mengakhiri dominasi China dalam sukan tenis meja di Sukan Olimpik.



Pasukan wanita China mengatasi pasukan pilihan ramai, Australia dan Amerika Syarikat, apabila mereka memecah rekod dunia dan menang pingat emas dalam acara renang gaya bebas berganti-ganti 4x200 meter.



Ia merupakan kali pertama pingat emas tidak dimenangi oleh Australia atau Amerika Syarikat sejak acara itu diperkenalkan pada 1996.



Juara dunia bola sepak wanita Amerika Syarikat, yang dibintangi pemain ternama, hanya mampu meraih pingat gangsa.



Nama besar sukan seperti atlet gimnastik Simone Biles, pemain tenis Naomi Osaka dan Novak Djokovic, gagal memenuhi jangkaan apabila mereka sama ada menarik diri atau tersingkir awal dalam pertandingan.



Di Singapura, kegagalan satu-satunya pemenang pingat emas negara Joseph Schooling mempertahankan takhtanya dalam acara kupu-kupu 100 meter lelaki, mengejutkan dan mengecewakan penyokong tanah air.



Di Rio 2016, Schooling menang acara itu dengan masa 50.39 saat. Namun, beliau terkandas di pusingan saringan kali ini selepas mencatat masa 53.12 saat.



EMPATI PADA KESIHATAN MENTAL



Sukan sering menguji tahap fizikal atlet, tetapi ada kalanya kita lupa bahawa atlet juga adalah manusia biasa yang memiliki emosi.



Di Tokyo 2020, kesihatan mental diberikan penekanan selepas juara dunia Biles menarik diri daripada bertanding dalam empat daripada lima acara individu gimnastik.



Perenang dengan lima pingat emas di Tokyo, Caeleb Dressel menganggap dirinya "suka menyendiri" dan "pelik" semasa pertandingan.



Penerjun China Shi Tingmao, yang telah menang empat pingat emas, mendedahkan beliau pernah mengalami kemurungan.



Penerjun Britain Tom Daley pula dilihat mengait ketika tidak bertanding di Tokyo. Beliau mengaku ia adalah cara beliau menghilangkan tekanan, dengan atlet dilarang keluar dari Kampung Sukan Olimpik.



Kisah mereka ini menunjukkan bahawa atlet Sukan Olimpik juga manusia, dan ramai penonton bersikap empati dan tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat kepada mereka di media sosial.



JEPUN BOLEH TARIK NAFAS LEGA



Setelah bertahun-tahun membuat persiapan, mengharungi pelbagai rintangan - ancaman Covid-19, penangguhan dan petisyen oleh puluhan ribu penduduk yang mahu membatalkan acara - Sukan Olimpik Tokyo berjaya mencapai kemuncaknya hari ini.



Meskipun tidak sempurna, dengan kes Covid-19 dikesan dalam Sukan Olimpik dan adanya lonjakan kes di Jepun, negara itu menjadi contoh baik kepada negara lain untuk menganjurkan acara besar.



Oleh itu, matlamatnya untuk menyatukan dunia melalui emosi sudah tercapai.



Penduduk Jepun kini akhirnya dapat "Melangkah Ke Depan" - konsep Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 - disatukan oleh satu emosi - menarik nafas lega.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >