Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Legenda bola sepak negara, atlet Olimpik meninggal dunia

Digelar 'Twinkletoes', Chia Boon Leong menghembus nafas akhir pada usia 97 tahun
Dec 22, 2022 | 5:30 AM
BERBAKAT BESAR: Mendiang Chia pernah dipilih mewakili China di Olimpik London pada 1948, di mana beliau beraksi dalam perlawanan dengan Turkey. Gambar ini dirakam pada Februari lalu. - Foto-foto fail
BERBAKAT BESAR: Mendiang Chia pernah dipilih mewakili China di Olimpik London pada 1948, di mana beliau beraksi dalam perlawanan dengan Turkey. Gambar ini dirakam pada Februari lalu. - Foto-foto fail -

SATU-SATUNYA pemain bola sepak nasional yang beraksi dalam sukan Olimpik, Chia Boon Leong, meninggal dunia kelmarin pada usia 97 tahun.

Chia, yang diberi gelaran Twinkletoes kerana cekap mengawal bola dan menggelecek lawan, dianggap antara pemain bola sepak paling handal pada 1940-an dan 1950an.

Beliau dipilih mewakili China di Olimpik London pada 1948, di mana beliau beraksi dalam perlawanan dengan Turkey.

China tewas 0-4 dalam perlawanan itu.

Dua lagi warga Singapura, pemain pertahanan Chua Boon Lay dan penjaga gawang Chu Chee Seng masing-masing pernah dipilih mewakili China dalam Olimpik Berlin pada 1936 dan Olimpik London pada 1948, tetapi tidak diberi peluang beraksi.

Dilahirkan pada 1 Januari 1925, Chia membesar di Pasir Panjang, di mana ayahnya, dermawan Chia Yew Siang, memiliki hartanah luas dan jalan raya kecil yang dinamakan sempena namanya.

Di sana, Chia mula bermain bola sepak lima sepasuk, menggunakan bola tenis di 'padang' pasir.

Mendiang menuntut di Sekolah Inggeris Pasir Panjang sebelum melanjutkan pengajian ke Raffles Institution.

Pada masa itu, beliau setinggi 1.6 meter dan dianggap terlalu pendek, namun potensinya sebagai seorang pemain bola sepak telah menarik perhatian.

Chia tidak mempedulikan pengkritik dan memulakan pasukan bola sepak bernama Pasir Panjang Rovers pada 1938, dan menyusuli itu, membantu pasukan tersebut memenangi Liga Persatuan Bola Sepak Amatur Singapura.

Nama gelaran Twinletoes yang 'melekat' dengannya itu sebenarnya diberikan kepada Chia oleh jurulatih Gothenburg, John Mahon pada 1951, apabila pasukan dari Sweden itu bertandang ke Singapura untuk beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan.

Difahamkan, beliau telah memberitahu pasukannya agar berwaspada dan sentiasa berjaga-jaga apabila 'pemain kecil dengan kaki ajaib menggelecek bola' dan berkata Chia adalah seorang pemain yang berusaha gigih bagi pasukan dan cemerlang dalam kededua bahagian serangan dan pertahanan.

Semasa mewakili pasukan nasional, Chia memenangi tiga final Piala Malaysia dari 1950 hingga 1952, menjaringkan gol dalam kemenangan 2-0 ke atas Pulau Pinang, sebelum membantu pasukan nasional membelasah Perak 6-0 dan mengatasi Pulau Pinang 3-2.

Bonus yang beliau perolehi selepas memenangi final pada 1950 ialah $10 dan makan malam bersama pasukan di Singapura.

Namun, saat paling diingati dalam kerjayanya sebagai bola sepak adalah apabila beliau dipilih mewakili pasukan Lien Haw - pasukan pilihan Cina - pada 1947.

Pasukan itu menjelajah Asia selama 42 hari pada tahun itu dan beraksi dalam 23 perlawanan.

Ia memenangi 16 perlawanan dan Chia satu-satunya pemain yang ditampilkan dalam setiap perlawanan dan mengakhiri tempoh perlawanan itu sebagai penjaring gol terbanyak.

Pada 2018, mendiang memberitahu laman web Olimpik Singapura cara beliau memikat hati penyokong di China dan bagaimana beliau mungkin telah menyakinkan pemilih pemain bagi Olimpik, apabila beliau menyarung jersi Lien Hwa di Shanghai semasa pasukan itu bertemu juga liga Tung Hwa.

Walaupun beraksi dalam cuaca amat sejuk dengan suhu sekitar lima darjah Celsius, Chia tidak berhenti berlari dan berulang-alik dari bahagian pertahanan dan serangan, di mana beliau menunjukkan kecekapannya mengawal bola.

Walaupun beliau tidak menjaringkan gol, sebahagian besar daripada 12,000 penonton yang hadir di stadium Canidrome itu memberinya tepukan gemuruh.

Dalam sebuah pos Facebook kelmarin, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong melahirkan kata-kata pujian terhadap Chia.

Beliau berkata: "Dalam era di mana pemain bola sepak dinilai menerusi klip video di YouTube, gerak-geri Chia Boon Leong yang cekap menggelecek bola hanya boleh dibayangkan oleh sesiapa yang tidak bertuah untuk melihat aksi beliau itu. Ramai di antara kita yang tidak tergolong dalam kumpulan yang bertuah ini.

"Justeru, mungkin adalah satu pencapaian terakhir bagi beliau, menyaksikan pemain kegemarannya, Lionel Messi, menjulang trofi Piala Dunia sebelum beliau meninggal dunia.

"Walaupun kita tidak akan dapat melihat Boon Leong menggelecek bola turun naik padang dan memporak-perandakan lawan, kita boleh berkongsi semangat dan cintanya pada bola sepak, dan sumbangannya kepada warisan bola sepak negara."

APA KATA EDWIN TONG BOLA SEPAK

"Dalam era di mana pemain bola sepak dinilai menerusi klip video di YouTube, gerak-geri Chia Boon Leong yang cekap menggelecek bola hanya boleh dibayangkan oleh sesiapa yang tidak bertuah untuk melihat aksi beliau itu. Ramai di antara kita yang tidak tergolong dalam kumpulan yang bertuah ini. Justeru, mungkin adalah satu pencapaian terakhir bagi beliau, menyaksikan pemain kegemarannya, Lionel Messi, menjulang trofi Piala Dunia sebelum beliau meninggal dunia. Walaupun kita tidak akan dapat melihat Boon Leong menggelecek bola turun naik padang dan memporak-perandakan lawan, kita boleh berkongsi semangat dan cintanya pada bola sepak, dan sumbangannya kepada warisan bola sepak negara." - Encik Edwin Tong, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg