MANCHESTER (England): Penjaga gol Fulham, Bernd Leno, menyelamatkan dua sepakan penalti ketika menewaskan juara bertahan Piala FA, Manchester United, 4-3 dalam penentuan sepakan penalti.
Ini memastikan tempat mereka ke suku akhir selepas perlawanan dramatik pusingan kelima di Old Trafford berakhir 1-1 selepas masa tambahan.
Perlawanan dibawa ke sepakan penalti selepas pemain United, Bruno Fernandes, menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua menyusuli gol pembukaan Calvin Bassey bagi Fulham pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Selepas masa tambahan tanpa sebarang jaringan, Leno menyelamatkan sepakan penalti Victor Lindelof, memaksa pemain United, Joshua Zirkzee, perlu melakukan jaringan sepakan untuk mengekalkan harapan mereka.
Namun beliau menendang bola terus ke Leno, mencetuskan sorakan gembira pasukan Fulham.
Raul Jimenez, Sander Berge, Willian dan Antonee Robinson sempurnakan sepakan penalti untuk Fulham.
Mereka akan menentang Crystal Palace di suku akhir.
Fulham mengejutkan pertahanan United yang tidak bersedia selepas sepakan sudut Andreas Pereira menyebabkan Rodrigo Muniz menanduk bola kepada Bassey, yang kemudian menjaringkan gol.
Fernandes menyamakan kedudukan pada minit ke-71 apabila Diogo Dalot membuat hantaran dari sebelah kiri.
Kapten United itu melepaskan rembatan kaki kiri yang melepasi dua pemain pertahanan Fulham dan penjaga gol, Leno untuk menyamakan kedudukan pada babak kedua hingga membawa perlawanan itu ke masa tambahan.
“Sukar nak percaya,” kata Leno dengan senyuman kepada BBC.
“Saya rasa kami layak menang selepas 90 minit. Sudah tentu, sepakan penalti kadangkala seperti loteri dan nasib baik kami menang....
“... kredit kepada pengambil penalti kami. Bukan mudah. Kerja yang cemerlang daripada semua,” kata Leno.
United, yang telah 13 kali menang Piala FA, menewaskan Manchester City tahun lalu dan kalah kepada City dalam final 2023.
Pasukan Ruben Amorim menghadapi kesukaran besar musim ini. Ia kini berada di kedudukan ke-14 dalam Liga Perdana England (EPL), lima tempat di bawah Fulham.
“Saya rasa kami mempunyai peluang terbaik dalam perlawanan ini,” kata Amorim.
“Pada akhirnya, penalti boleh berpihak kepada kedua-dua pasukan dan hari ini bukan giliran kami.
“Matlamatnya adalah untuk memenangi Liga Perdana,” tambahnya.
“Saya tahu kami kalah dalam beberapa perlawanan (kebelakangan ini) tetapi matlamatnya adalah untuk memenangi Liga Perdana sekali lagi. Saya tidak tahu berapa lama ia akan mengambil masa. Kami mempunyai matlamat dan kami akan terus maju tidak kira apa pun.”
Kedua-dua pasukan mensia-siakan peluang menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan yang mendebarkan di Old Trafford.
Penjaga gol United, Andre Onana, ‘terbang’ untuk menepis percubaan dari Emile Smith Rowe.
United mempunyai beberapa peluang untuk menang beberapa ketika sebelum wisel berbunyi tetapi banyak percubaan diselamatkan.
Pengurus Fulham, Marco Silva, berkata pasukannya layak menang.
“Saya rasa kami pasukan terbaik di atas padang. Pasukan kami menguasai bola,” katanya. “Kami layak berada di pusingan seterusnya.”
Fulham mencapai satu-satunya final Piala FA mereka pada 1975 tetapi tewas 2-0 kepada West Ham United.
Leno berkata beliau ingin melihat pasukannya kembali ke Wembley untuk final.
“Dua tahun lalu kami tewas di sini dalam suku akhir (kepada Manchester United) dan kini kami berada di suku akhir lagi,” katanya.
“Kami 100 peratus mahu ke Wembley.” – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg