LONDON: Selepas menjaringkan 23 gol di EPL musim lalu, penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung-min, tidak mampu menjaringkan sebarang gol dalam enam perlawanan pertamanya musim ini.
Ini menyebabkan pengurus pasukan Lilywhites itu, Antonio Conte, mengambil keputusan menggugurkan penyerang asal Korea Selatan itu di bangku simpanan semasa perlawanan menentang Leicester City, minggu lalu.
Namun apabila masa berdetik minit ke-59, Conte menoleh dan memanggil pemain berusia 30 tahun itu untuk bersiap turun padang.
Ketika itu permainan berpihak kepada Tottenham dengan jaringan 3-2.
Kurang 30 minit kemudian, jaringan berubah menjadi 6-2 selepas Son menjadi pemain Tottenham pertama yang menjaringkan hat-trik dalam Liga Perdana England (EPL) sejurus tutun padang dari bangku simpanan - dalam tempoh 13 minit.
Jaringan pertamanya merupakan tendangan kaki kanan yang melencong ke sudut atas dari jarak 22 meter dan satu lagi tendangan melencong dengan kaki kirinya pula mengena sasaran sudut bawah gawang dari jarak 18 meter.
Dan hat-trik beliau dicapai menerusi tendangan dekat hasil hantaran Pierre-Emile Hojbjerg yang menyentuh penjaga gawang Leicester sebelum bola melantun masuk ke gawang.
Persembahan Son ini membuat bekas pemain tengah Tottenham, Jamie Redknapp, memberitahu agensi berita Sky Sports bahawa pasukan itu "mempunyai peluang mencapai sesuatu" musim ini.
Sementara itu Chris Sutton, yang bercakap kepada BBC Radio 5 Live 606, berkata bahawa pasukan Tottenham mempunyai penyerang terbaik dalam EPL.
Tottenham kini berkongsi mata dengan Manchester City, dengan 17 mata dari tujuh perlawanan dan merupakan tiga pasukan teratas dalam EPL buat masa ini.
Sejauh ini Son mendapati musim kali ini amat mencabar buatnya, apatah lagi selepas 17 percubaan tanpa sebarang gol.
Namun beliau menjaringkan gol buat kali pertama sebagai pemain gantian sejak 2017 - dan ini mengurangkan beban yang dilaluinya ketika ini.
"Sudah pasti saya rasa hebat," katanya kepada BBC Sport.
"Saya tidak percaya (apabila saya menjaringkan gol). Semua rasa geram, kecewa dan perasaan negatif hilang serta-merta.
"Saya tidak mampu bergerak jadi saya berdiri tegak. Ia memang buat saya amat gembira," katanya lagi.
Beliau menambah: "Kadang kala bola sepak memang tak masuk akal.
"Sebanyak mana kita cuba bola tetap tak mahu masuk gawang dan tiba-tiba kali ini tiga kali ia masuk gawang.
"Ia mengubah segalanya. Saya banyak belajar semasa tempoh sukar ini. Saya perlu bekerja keras setiap kali ada peluang.
"Tiga gol dan saya amat bangga."
Beliau memberitahu Sky Sports bahawa beliau terlalu tersentuh dengan sokongan yang diterimanya kerana beliau berasa dirinya telah mengecewakan rakan sepasukannya, peminat dan jurulatihnya sejauh ini.
Bekas pemain pertahanan England Matthew Upson yang memberikan pandangannya dalam komentari radio menganggap Son telah menunjukkan kemampuannya bahawa beliau telah mencapai matlamatnya.
Bekas penyerang Manchester United, Dion Dublin, pula memberitahu BBC Match of the Day:
"Kita semua tahu betapa hebatnya Son, kualiti tidak akan lesap daripada anda. Saya tidak tahu mengapa orang ramai sangsi terhadapnya padahal beliau mempunyai kebolehan yang memang dijangka." - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg