Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cabaran Real tergugat tapi... Zidane enggan letak jawatan

Dec 3, 2020 | 5:30 AM
ZIDANE: Masih yakin dengan keupayaan Real Madrid. - Foto EPA-EFE
ZIDANE: Masih yakin dengan keupayaan Real Madrid. - Foto EPA-EFE -

DONETSK (Ukraine): Pengurus Real Madrid Zinedine Zidane berkata beliau tidak akan meletak jawatan selepas pasukannya tewas kepada Shakhtar Donetsk di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah semalam, keputusan yang menjejas teruk peluang Real mara ke pusingan selanjutnya.

Real, juara Eropah 13 kali, kini berada di tangga ketiga dalam Kumpulan B, dengan semua empat pasukan dala kumpulan itu masih berpeluang melayakkan diri ke pusingan kalah mata menerusi perlawanan terakhir masing-masing minggu depan.

Real yang kini terikat tujuh mata dengan Shakhtar perlu menewaskan pendahulu kumpulan Borussia Monchengladbach dalam perlawanan terakhir untuk menjamin tempat di pusingan selanjutnya.

"Tidak sama sekali... saya tidak akan meletak jawatan," kata Zidane, selepas Real tewas 0-2 semalam.

"Sudah pasti kami perlu mengharungi saat-saat sukar dan kami sedang melalui saat sedemikian pada masa ini... tetapi kami tidak boleh mengaku kalah dan terus berjuang," kata Zidane, yang pasukannya turut tewas mengejut 1-2 kepada Alaves dalam La Liga Sepanyol pada Sabtu lalu.

"Saya yakin ada keupayaan untuk mengubah keadaan bagi kami dan saya dan pemain akan berusaha paling gigih untuk berbuat demikian," ujar Zidane.

Kekalahan kepada Shakhtar itu adalah yang kedua dalam pertandingan musim ini bagi Real. Ia turut tewas 2-3 kepada Shakhtar dalam pertemuan pertama di Madrid.

Dalam pada itu, Romelu Lukaku menjaringkan dua gol untuk membantu Inter Milan menewaskan Monchengladbach 3-2 untuk mengekalkan peluang mara ke pusingan selanjutnya dari kumpulan yang sama. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg