LIVERPOOL: Persembahan yang "memalukan" dan "tidak tentu arah".

Bekas kapten Manchester United, Gary Neville, lantang memberikan pandangan "pedas" selepas melihat bekas pasukannya dibelasah oleh Liverpool awal pagi Isnin.

United tewas 0-7 kepada Liverpool di Anfiedl dan keputusan itu merupakan kekalahan terbesar United - menyamai keputusan ketika mereka ditumpaskan Blackburn Rovers pada April 1926; Aston Villa pada Disember 1930 dan Wolves pada Disember 1931.

Enam gol Liverpool dijaringkan pada separuh masa kedua, dengan pasukan Jurgen Klopp mempamerkan persembahan yang mengagumkan sehingga menyebabkan United tidak mampu bersaing.

Kritikan paling pedas Neville ditujukan kepada kapten United, Bruno Fernandes.

"Separuh masa kedua merupakan persembahan yang sangat memalukan," katanya di Sky Sports.

"Persembahan yang tidak tentu arah, seperti yang ditunjukkan Bruno Fernandes, yang kadang-kala memalukan. Mereka tidak faham akan padah dari perlawanan ini. Pemain Manchester United telah 'dimakan hidup-hidup'."

Persembahan Fernandes yang amat mengecewakan menjadi lebih ketara dengan masa berlalu.

Neville juga berang dengan Fernandes yang kelihatan memberi isyarat kepada bangku simpanan apabila Marcus Rashford digantikan pada minit ke-85, mungkin mempersoalkan mengapa beliau tidak digantikan.

Pemain midfield itu juga kelihatan menolak pembantu pengadil, seperti yang didedahkan beberapa penyokong dalam media sosial.

Seorang lagi bekas kapten United, Roy Keane, turut meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap kelakuan Fernandes.

"Bahasa gerak-geri (body language) Fernandes hari ini adalah sesuatu yang memalukan," kata Keane di Sky Sports.

"Seorang pemain yang berbakat, beliau adalah kapten pasukan, namun gerak-gerinya, dengan melambai-lambaikan tangannya, tidak berlari (untuk membantu pertahanan)...pastinya anda tidak akan berasa gembira dengannya di dalam bilik persalinan."

Sungguhpun begitu, Fernandes masih lagi memberikan pandangannya kepada media selepas perlawanan.

"Ia sangat mengecewakan dan menyedihkan kerana ia adalah keputusan yang sangat teruk," akur beliau.

"Kita pernah melalui beberapa halangan sebelum ini dan kita perlu bangkit semula dengan pantas."

Keane menambah "pemain senior" United "lesap" apabila pertarungan menjadi sukar dan perlu merasa "malu dengan persembahan mereka".

Kekalahan ini berlaku tujuh hari selepas United menjuarai Piala Carabao, menewaskan Newcastle di Wembley, merangkul piala pertama mereka di bawah bimbingan Erik Ten Hag yang mengambil alih sebagai pengurus Mei tahun lalu.

United telah menunjukkan persembahan yang matang dalam saingan Liga Perdana England (EPL), selepas tewas dalam dua perlawanan pertama, mereka bangkit untuk mengumpul 49 mata dari 22 perlawanan sebelum dibelasah di Anfield.

Untuk memberi tumpuan semata-mata kepada kegagalan Manchester United dalam perlawanan tersebut akan mengalihkan tumpuan terhadap persembahan menakjubkan Liverpool.

The Reds menghidupkan semula saingan EPL mereka untuk mendapatkan tempat empat teratas dengan persembahan yang mengimbau kembali beberapa persembahan dominan mereka dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan benteng pertahanan yang kukuh serta barisan serangan yang berbahaya.

Pemain baru, Darwin Nunez dan Cody Gakpo, masing-masing berjaya menjaringkan dua gol, bersama penyerang Mesir, Mohamed Salah.

Bekas pemain midfield Liverpool, Graeme Souness, menambah: "Pada separuh masa kedua. Itulah Liverpool yang kita kenal, Liverpool yang dahulu.

"Apabila anda melihat pasukan terbaik, apabila anda menyaksikan Liverpool dan Manchester City beraksi pada tahap terbaik mereka, anda akan fikir mereka bermain dengan pemain tambahan.

"Itulah yang dapat kita saksikan di separuh masa kedua." - Agensi berita.