Subuh
5:39
Syuruk
7:03
Zuhur
1:10
Asar
4:35
Maghrib
7:15
Isyak
8:30

'Bidan terjun' Carrick mesti kejutkan Chelsea mula era baru

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Sukan
30
0

LIGA PERDANA ENGLAND

'Bidan terjun' Carrick mesti kejutkan Chelsea mula era baru

Cara pengganti Solskjaer layan Ronaldo akan jadi perhatian
Nov 28, 2021 | 05:30 AM

LONDON: Perlawanan antara Manchester United dengan Chelsea biasanya tidak memerlukan elemen drama tambahan untuk menarik perhatian, tetapi pada hujung minggu ini, sebahagian perhatian akan tertumpu kepada Michael Carrick.

Carrick, 40 tahun, yang mempunyai kedudukan taraf 'legenda' di Old Trafford bakal memimpin pasukan keluar ke padang buat pertama kali sebagai pengurus pada malam nanti.

Beliau mengambil alih peranan itu dari seorang lagi lagenda, Ole Gunnar Solskjaer, yang namanya tercalar selepas dipecat oleh lembaga United menyusuli prestasi mengecewakan sejak awal musim di mana.

United, meskipun telah diperkukuh dengan bintang muda dan lama seperti Jadon Sancho, dari Borussia Dortmund dan Cristiano Ronaldo, gagal mencapai prestasi yang diharapkan, dan hanya mampu merebut 17 mata dalam 12 perlawanan liga setakat ini.

Jika tewas sebagaimana yang dijangka kepada Chelsea malam ini, United boleh jatuh ke bahagian bawah liga.

Namun, sejarah menunjukkan perlawanan antara United dengan Chelsea biasanya tidak mengikut 'form' atau ramalan pengamat bola sepak.

Dan dalam era pasca Solskjaer - pemain-pemainnya mungkin lebih bertekad merebut peluang kedua untuk menunjukkan kepada penyokong, prestasi United yang mengecewakan kebelakangan ini lebih disebabkan 'kelemahan' Solskjaer daripada kekurangan mereka.

Justeru, pemain seperti Donny van De Beek, Jesse Lingard dan Edinson Cavani mungkin lebih terdorong untuk bermain lebih bermati-matian di padang latihan supaya mereka boleh dipilih oleh Carrick dalam kesebelasan utama.

Carrick pula, yang pernah dipuji oleh pemain dan bekas rakan sepasukan sebagai seorang yang mudah menjalin hubungan dengan pemain-pemain kini berdepan dengan saat genting dalam kerjaya yang baru bermula sebagai pengurus bola sepak.

Di luar dugaannya sendiri, Carrick telah diberi peluang lebih awal untuk memimpin kelab yang mempunyai matlamat memenangi trofi di pertandingan domestik dan di Eropah.

Beliau juga kini perlu menguruskan skuad dan jangkaan pemain yang ditaburi bintang antarabangsa dan pemain kelas dunia.

Satu kritikan yang pernah dilontar ke arah Solskjaer ialah sikapnya yang kurang rela mengganti keluar Ronaldo meskipun pemain itu bermain di luar jangkaan.

Kesebelasan utama yang dipilih Carrick dalam perlawanan kedua memimpin United ini - beliau telah memimpin United menentang Villareal dalam Liga Juara-Juara Eropah di awal minggu (Man United menang 2-0 hasil jaringan Ronaldo dan Sancho) - akan menunjukkan 'keberaniannya' membuat keputusan yang mungkin tidak disenangi pemain bertaraf bintang dan strateginya bagi United semasa menentang pasukan yang dianggap lebih handal.

Cara beliau menguruskan Ronaldo - bekas rakan sepasukan semasa United memenangi Liga Juara-Juara pada 2008 - juga akan dilihat.

MENENTANG TUCHEL

Pengurus lawan yang akan cuba memporak-perandakan rancangan Carrick dan United pada malam ini adalah Thomas Tuchel.

Tuchel, yang dianggap sebagai antara pengurus bola sepak yang terbaik bagi generasi ini telah memperkukuh namanya dalam senarai tokoh legenda kelab itu selepas ia membantu Chelsea menjulang trofi Liga Juara-Juara pada musim lalu.

Berbanding Tuchel, Carrick mungkin dianggap sebagai sekadar 'pengurus hingusan', tetapi kerana itulah, Carrick boleh mengatasi jangkaan rendah ke atas dirinya malam ini dan memimpin United mengatasi Tuchel dan Chelsea.

Sekurang-kurangnya, Carrick mempunyai seorang 'penyokong' dalam kalangan pengurus kelab utama di EPL.

Pengurus Manchester City Pep Guardiola pernah memuji Carrick sebagai antara pemain 'midfield' yang terbaik di dunia, dan menganggap beliau setaraf dengan pemain Sepanyol seperti Xabi Alonso dan Sergio Busquets.

"Kebolehan Carrick tidak begitu diperkatakan kerana beliau pemain yang tidak minat mencuri perhatian, tetapi sekadar melakukan tugas dan memberi sumbangan kepada pasukan dengan sebaik-baiknya," kata Guardiola.

Bekas pemain dan jurulatih Real Madrid Zinedine Zidane - yang pada awal minggu lalu berkata beliau tidak berminat memimpin United - juga pernah memuji kehandalan Carrick sebagai pemain.

Malangnya, tidak ramai yang pernah memberi ulasan tentang Carrick sebagai pengurus.

Namun, jika Carrick menyusun kesebelasan utama menggunakan pengalamannya sebagai pemain dan jurulatih selama tiga tahun di United, dan kurang bergantung kepada emosi dan jalinan hubungan dengan pemain, Carrick mungkin dapat mendorong pemainnya untuk bangkit dan memberi saingan kuat kepada Chelsea.

Jika Carrick dan United berjaya mengatasi jangkaan menundukkan Chelsea di Old Trafford malam ini, kerjaya Carrick sebagai pengurus yang menjadi sebutan ramai akan bermula. - Agensi berita.


AWAS DUA PEMAIN INI

BRUNO FERNANDES, 27 tahun, 'midfield' Manchester United 

Cara Bruno Fernandes cuba melindungi pengurusnya Ole Gunnar Solskjaer semasa

Solskjaer dikecam peminat sendiri menyusuli kekalahan 1-4 di tangan Watford hujung minggu lalu telah dipuji sebahagian pemerhati bola sepak yang berkata perbuatannya itu adalah tindakan pemain yang bersikap adil dan jujur.

Fernandes telah menyeru penyokong United supaya jangan sekadar mengecam Solskjaer, dan turut mempertanggungjawabkan pemain kelab itu bagi kekalahan itu.

Bersama kehandalannya mengawal bola dan rentak permainan di padang, Fernandes telah menunjukkan beliau layak menjadi ketua pasukan di dalam dan luar padang dan United memerlukan pemain seperti beliau untuk tampil dalam perlawanan dengan Chelsea ini.

Jika Fernandes berjaya bangkit, dan mendorong rakan sepasukannya bangkit, Chelsea akan berdepan dengan pemain yang boleh membuat larian yang berbahaya dari midfield, dan lebih penting lagi, boleh menjaringkan gol untuk menyudahkan larian itu.


ROMELU LUKAKU, 28 tahun, penyerang Chelsea 

LUKAKU telah terlepas beberapa perlawanan kerana mengalami kecederaan, tetapi perlawanan dengan Manchester United ini adalah satu perlawanan yang mungkin telah dinanti-nantikan oleh pemain yang berasal dari Belgium ini.

Tempoh Lukaku menyarung jersi United kurang menyerlah, dan beliau terpaksa berpindah ke Italy di mana beliau memenangi Serie A untuk menyemarak semula kerjayanya.

Pencapaiannya itu telah membantunya meraih ganjaran peluang kedua beraksi dalam Liga Perdana England, dan prestasinya dengan Chelsea sejak kembali ke England memaparkannya sebagai pemain yang lebih matang dan berbahaya di depan gawang.

Jika diturunkan malam ini, Lukaku dijangka tidak akan mensesiakan peluang untuk 'membalas dendam' ke atas United dengan menjaringkan gol dan memastikan United kalah di depan penyokong sendiri.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3