LONDON: Tidak kira apa sahaja rintangan yang muncul di depannya, Graham Potter biasanya akan mampu mengatasi cabaran itu.
Minggu ini, Potter 47 tahun, mencapai satu lagi saat mercu tanda dalam kerjayanya selepas menerima lamaran Chelsea untuk memimpin kelab itu, kurang 48 jam selepas Thomas Tuchel dipecat.
Hampir semalaman, tanggungjawab yang dipikulnya sebagai pengurus Brighton & Hove Albion, di awal musim telah bertambah berlipat ganda.
Beiau kini bersaing di peringkat kelab-kelab elit di Eropah dan akan memimpin pasukan itu di Liga Juara-Juara Eropah yang penuh prestij.
Namun, berdepan dengan cabaran - besar atau kecil - dan mengatasi cabaran itu bukan suatu yang baru bagi Potter.
Semasa memimpin pasukan dari Sweden, Ostersunds, Potter and pemainnya akan berlatih berjam-jam untuk membuat persembahan muzikal pada penghujung musim.
Beliau pernah berlakon di pentas, mengadakan konsert rok dan tidak berapa lama dahulu mementaskan persembahan balet bak Swan Lake.
Semua ini dilakukannya di depan ribuan penonton, kata Jamie Hopcutt, warga England yang Potter bawa masuk dari pasukan bukan liga Tadcaster Albion untuk menyertai Ostersunds.
"Sebenarnya, beliau tidak perlu menerima tawaran untuk berbuat demikian (berlakon, anjur konsert rok dan menari balet).... beliau seorang pengurus yang disegani.
"Tapi beliau yakin beliau perlu berbuat demikian untuk menunjukkan kepada pemain lain beliau mengganggap beliau setaraf dengan mereka di luar padang bola sepak," kata Hopcutt.
Potter bukan sahaja menari balet pada malam persembahan, malah menyanyi dan ketawa bersama pemain-pemainnya yang melakonkan adegan lucu dalam bilik rehat di mana mereka mempersendakan Potter.
"Beliau tidak gentar berbuat demikian kerana beliau tahu ia boleh menyemarak semangat pasukan. Menyusuli peristiwa malam itu, rasa hormat pemain terhadapnya bertambah," kata Hopcutt.
Persembahan itu sebahagian pergerakan 'Akademi Budaya' di Ostersunds, yang bertujuan membangun pemain sebagai satu unit yang bersatu hati dan berjuang untuk satu sama lain.
Pengalaman Potter ini, mungkin antara faktor yang menggerakkan pemilik Chelsea untuk mendapatkan khidmatnya.
Hari-hari terakhir Tuchel di Chelsea dipenuhi dengan khabar angin beliau telah hilang hormat di kalangan pemain dan tidak lagi berbincang dengan para pemainnya.
Pengerusi Ostersunds, Daniel Kindberg, berkata Potter adalah manusia yang hebat di dalam dan luar padang.
"Beliau tidak akan menuntut apa-apa dari pemain yang tidak mampu dilakukannya sendiri.
"Bagi saya itulah sifat beliau yang paling menonjol," ujar Kindberg dalam wawancara dengan Daily Mail baru-baru ini.
Sebenarnya, Kindberg adalah tokoh bola sepak pertama yang membuka peluang bagi Potter menjadi pengurus bola sepak profesional.
Pada 2010, beliau menawarkan kerja sebagai pengurus kepada Potter, yang pada ketika itu masih menjadi jurulatih bola sepak di Universiti Metropolitan Leeds.
"Kindberg berkata nama Potter telah dicalonkan oleh Graeme Jones, yang pada masa itu jurulatih di Newcastle, yang pernah beraksi di sampingnya di Boston.
Pelantikan itu bak meraih manfaat semalaman.
Potter bukan sahaja memimpin Ostersunds dari divisyen keempat bola sepak Sweden ke divisyen utama, malah pasukan itu memenangi Piala Sweden dan melayakkan diri ke pusingan 32 pasukan terakhir di Liga Europa, di mana ia disingkir oleh Arsenal melalui kiraan agregat.
Namun, Ostersunds Potter telah memahat nama dalam sejarah kerana tetap menewaskan Arsenal di Stadium Emirates.
"Kami sama sekali tidak menyangka boleh meraih pencapaian setinggi itu kerana kami hanya kelab kerdil yang berpangkalan di kawasan pergunungan di Sweden.
"Negara kami pula menduduki ranking ke-26 di Eropah," kata Kindberg, rendah hati.
CABARAN BARU DI CHELSEA
JURUTAKTIK, TIDAK SEGAN CUBA TAKTIK BARU
Di Chelsea, Potter dijangka menerapkan strategi dan taktik yang telah digunakan dengan berkesan dengan Brighton musim ini.
Mengatasi jangkaan, kelab itu kini menduduki tangga keempat Liga Perdana England selepas enam perlawanan.
Namun, lebih daripada itu, kemahirannya dan sifatnya sebagai pemimpin yang bijak dan baik budi akan membantu Chelsea.
"Beliau seorang bijaksana berhubung taktik dan beliau mempunyai sifat kepimpinan tertinggi," kata Kindberg.
"Beliau telah membantu ramai pemain memenuhi potensi dan berubah dari pemain biasa-biasa menjadi pemain bertaraf dunia."
Antara pemain sedemikian ialah Modou Barrow, Ken Sema dan Saman Ghoddos, yang pernah menyarung jersi Ostersunds, tetapi selanjutnya masing-masing dilamar beraksi bagi Swansea, Watford and Brentford dalam EPL.
Hopcutt akur, berdasarkan pengalamannya sendiri.
Beliau sangka harapannya untuk beraksi dalam pertandingan Eropah telah berakhir selepas digugurkan oleh York City pada usia 19 tahun.
Namun, di luar dugaannya, beliau mendapat tempat dalam kesebelasan utama semasa Ostersunds menentang Arsenal dalam Liga Europa.
"Sumbangan beliau kepada kerjaya saya amat besar," kata Hopcutt, yang kini berusia 30 tahun dan beraksi bagi IFK Mariehamn di Finland.
"Selepas beraksi di bawah Potter, saya telah beraksi di bawah lapan pengurus lain dan saya kini lebih sedar keistimewaan dan kelebihannya," kata Hopcutt.
Hopcutt memberikan satu contoh 'keistimewaan' Hopper.
"Selepas kami (Ostersunds) melonjak ke divisyen utama Sweden, beliau mengirimkan e-mel kepada semua ibu bapa atau orang yang dikasihi pemain untuk meminta mereka mengutus surat yang ditulis sendiri oleh mereka kepada kami, demi mengucapkan tahniah," kata beliau.
"Menyusuli itu, beliau juga menulis surat sendiri bagi setiap pemain dan pada akhir musim, menyerahkan kededua surat itu kepada pemain. Perkara kecil sebegini melekat dalam ingatan pemain dan mempunyai kesan yang amat besar."
Justeru, Hopcutt berkata beliau yakin Potter akan meraih kejayaan di Chelsea, sebagaimana yang telah diraihnya di Swansea dalam liga Championship dan dengan Brighton dalam EPL.
"Adalah sukar untuk membayangkan bagaimana seorang jurulatih melangkah dari Ostersunds di Sweden ke EPL... tapi Potter telah melakukannya.
"Beliau akan memulakan era baru di Chelsea dan EPL." -Agensi berita.
"Pengalaman Potter (bersemangat menjalin hubungan baik dengan pemain) ini, mungkin antara faktor yang menggerakkan pemilik Chelsea untuk mendapatkan khidmatnya. Hari-hari terakhir Tuchel di Chelsea dipenuhi dengan khabar angin beliau telah hilang hormat di kalangan pemain dan tidak lagi berbincang dengan para pemainnya."
BIODATA
Garaham Stephen Potter, 47 tahun.
Beliau pernah menjadi pemain bola sepak profesional selama 13 tahun dan pernah menyarung jersi Southampton dalam Liga Perdana England.
Beliau memulakan kerjaya dalam bidang pengurusan pada 2011, di kelab Sweden Ostersunds.
Dalam tempoh sekitar tujuh tahun dengan kelab itu, beliau membawa kelab itu dari divisyen keempat ke divisyen utama dan memenangi Piala Sweden.
Ostersunds juga melayakkan diri ke pusingan kalah mati Liga Europa buat julung-julung kali pada musim 2017-18 di mana ia disingkir oleh Arsenal (menang 2-1 di Emirates tapi kalah 0-3 di Sweden).
Menyusuli itu, beliau dilamar ke Swansea City untuk memimpin pasukan itu dalam Liga Championships.
Selang setahun, beliau berpindah ke Brighton & Hove Albion, sebelum menyertai Chelsea pada September 2022.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg