UNITED KINGDOM: Sepanjang kerjayanya yang hebat di Liverpool, Sadio Mane tidak boleh dianggap sebagai pemain yang setakat menyokong sahaja, tapi lebih daripada itu.
Malah peranannya dalam pasukan pimpinan Jurgen Klopp seolah-olah tiada ganti.
Pemain asal Senegal berusia 30 tahun itu sememangnya pendiam, dengan personaliti yang kurang menonjol namun jadi penggerak jentera serangan menyengat yang menyumbang kepada kejayaan Liverpool sejak kebelakangan ini.
Mane telah memainkan peranan utama dalam kejayaan Liverpool semasa Liga Juara-Juara pada 2019, dan kemudian Liga Perdana England (EPL) dalam musim selanjutnya, lantas meletakkan Liverpool setanding dengan Manchester City selaku dua pasukan unggul dalam EPL dan Eropah.
Minggu lalu, dengan hanya satu pusingan kepala, Mane memberi sumbangan penting di padang Villa Park sewaktu menentang Aston Villa - sedang usaha Liverpool memburu empat kejuaraan agak tergugat menyusuli keputusan seri dengan Tottenham Hotspur sebelum perlawanan tersebut.
Hanya kemenangan yang mampu menghidupkan terus peluang pasukan Liverpool itu, dan dengan permainan terikat 1-1, ternyata timbul rasa cemas dalam kalangan para pemain Klopp.
Dan Mane muncul selaku wira pasukan Liverpool.
Seorang lagi pemain hebat Liverpool, Luis Diaz, menjadi penyumbang menerusi tendangan silangnya, dan Mane yang begitu tajam memusingkan kepalanya untuk menanduk masuk bola tersebut sehinggakan penjaga gawang Villa, Emiliano Martinez, langsung tidak mampu menyelamatkan bola yang lolos masuk ke sebelah kiri gawangnya.
Ternyata itulah detik penting buat Liverpool, yang berhempas pulas mempamerkan permainan cemerlang dan pulang dengan tiga mata berharga.
Sambil melahirkan rasa gembiranya, Klopp langsung memeluk Mane sejurus wisel penamat ditiupkan.
Ini selah-olah petanda akan masa depan Mane di Liverpool.
Buat masa ini, tumpuan diberi kepada Mohamed Salah sekiranya beliau setuju dengan tawaran baru Liverpool, namun sehingga kini belum ada keputusan rasmi yang dibuat.
Tapi bagaimana pula dengan Mane?
Seperti Salah kontrak Mane di Liverpool berakhir di akhir musim hadapan.
Mane telah beraksi sebanyak 266 permainan dalam semua pertandingan sejak menyertai Liverpool dari Southampton dengan harga £34 juta ($58.2 juta) pada Jun 2016.
Dan golnya di Villa Park itu menjadikan keseluruhan 119 gol yang dijaringkannnya.
Beliau telah menjaringkan 22 gol dalam 48 permainan dalam semua pertandingan musim ini, dengan 15 gol dijaringkan dalam 33 permainan liga.
Ini merupakan statistik berkelas tinggi yang menandakan Mane seorang pemain yang berkualiti hebat.
Beliau terbukti mampu memperkukuh jentera serangan Liverpool di bahagian hadapan.
Sebelum ini timbul berita nama Mane dikaitkan dengan Bayern Munich dan Real Madrid dan tidak mengejutkann mengapa kelab-kelab gergasi Eropah itu ingin mendapatkannya - namun Liverpool masih lagi memerlukan khidmatnya.
Selepas permainan menentang Aston Villa, Mane berkata:
"Secara jujurnya saya rasa amat gembira. Saya hanya ingin menikmati setiap detik permaian dan membantu rakan-rakan sepasukan saya.
"Tanpa mereka, saya juga bukan sesiapa."
Menyentuh tentang pemahamannya dengan rakan sepasukan Luis Diaz, Mane berkata:
"Kami kenali satu sama lain menerusi latihan setiap hari. Apabila beliau dapat bola, saya tahu yang beliau akan mmembuat umpanan, maka saya perlu bersedia menantikannya." - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg