LONDON: Pengurus baru Manchester United, Erik ten Hag, tidak akan diberikan wang yang banyak untuk membeli pemain baru dan membina semula kelab bola sepak itu, tetapi beliau dijangka diberikan dana yang mencukupi untuk berbuat demikian, kata beberapa media di Britain.
Kelmarin, United mengumumkan Ten Hag akan meninggalkan Ajax di Belanda untuk berpindah ke Old Trafford selepas mempersetujui kontrak tiga tahun dengan United.
Difahami, Ten Hag menganggap skuad yang bakal dipimpinnya telah beraksi di bawah jangkaan musim ini dan tidak akan menunjukkan pintu keluar kepada ramai pemain.
Menurut satu sumber yang dekat dengan beliau, Ten Hag bercadang mengekalkan khidmat pemain yang telah menyerlah musim ini, seperti Bruno Fernandes dan Raphael Varane, selain pemain lebih muda yang berpotensi seperti Marcus Rashford, Scott McTominay dan Jadon Sancho.
Beberapa pemain akademi, Hannibal Mejbri, Alejandro Garnacho dan James Garner juga boleh menjangka diberikan lebih banyak peluang untuk menunjukkan keupayaan mereka.
Namun beliau dijangka melepaskan pemain yang tidak memenuhi jangkaan seperti Paul Pogba, Juan Mata dan Nemanja Matic; serta pemain England Phil Jones dan Jesse Lingard.
Seorang pemain yang kini berada di bawah radar Ten Hag ialah pemain midfield West Ham, Declan Rice, yang menyerlah musim ini.
Beliau juga dijangka memasuki pasaran untuk membeli pemain bek tengah dan seorang penjaring gol yang terbukti kemampuannya.
Dalam pada itu, United difahami akan menamakan Mitchell van der Gaag sebagai penolong Ten Hag.
Van der Gaag ialah jurulatih di Ajax yang memimpin skuad simpanan Jong Ajax selama dua tahun sejak 2019.
Dari England pula, beliau difahami berminat mendapatkan khidmat Steve McClaren sebagai anggota pasukan jurulatihnya.
Mengulas tentang pelantikannya sebagai pengurus di United, Ten Hag berkata beliau berharap peminat dan pasukan memberinya masa untuk membina pasukan yang mampu untuk bersaing bagi kejuaraan utama nanti.
"Ini adalah satu penghormatan besar, untuk dilantik sebagai pengurus Manchester United dan saya ghairah untuk menghadapi cabaran besar ini.
"Saya sedar kelab ini mempunyai sejarah dan penyokong yang hebat. Saya bertekad untuk membangun pasukan yang mampu memberikan kejayaan yang diharapkan," katanya. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg