LONDON: Menyusuli keputusan seri yang "dinikmati" mereka ketika menentang pasukan gagah Manchester United, Newcastle United bakal bertembung pula dengan satu lagi pasukan handal, Tottenham Hotspur, di padang lawan, Ahad ini.
Malangnya pasukan pimpinan Eddie Howe itu dijangka menghadapi cabaran lebih besar apabila salah seorang 'ayam tambatan' mereka, Allan Saint-Maximin, dijangka tidak dapat turun padang ke stadium Tottenham Hotspur kerana cedera.
Seorang lagi pemain bintang penyerang mereka yang baru, Alexander Isak, juga dijangka terlepas peluang beraksi dalam sekurang-kurangnya tiga perlawanan juga kerana cedera.
Ini tentu akan memberi kesan, memandangkan kemampuan dan corak permainan Saint-Maximin membuat Newcastle lebih mengancam setiap kali membuat serangan balas.
Sememangnya Howe menarik nafas lega sejurus wisel penamat di akhir perlawanan dengan United yang berkesudahan dengan seri tanpa jaringan.
Dalam perlawanan tersebut, Newcastle membuktikan kemampuan mereka untuk berusaha mengutip mata penuh menerusi tekanan strategi serangan balas.
Malah mereka juga hampir menjaringkan dua gol dalam separuh masa pertama malangnya tiang gol jadi penghalang dalam kededua percubaan.
Dalam separuh masa kedua, Newcastle tidak dapat beraksi sehebat separuh masa pertama, lantas Howe akur yang beliau gembira dengan hanya mengutip satu mata di akhir perlawanan tersebut.
"Dalam separuh masa pertama kami memang bermain baik.
"Joelinton mempunyai dua peluang tetapi kededuanya terkena tiang gol dan kami juga sepatutnya mendapat penalti selepas Callum Wilson dikasari.
"Dalam separuh masa kedua, kami agak hilang tumpuan jadi saya agak berterima kasih selepas wisel penamat ditiupkan," katanya lagi.
Dengan Saint-Maximin yang berasal dari Perancis dijangka tidak beraksi, peminat boleh jangkakan pasukan Tottenham tiada masalah memberi tekanan ke atas Newcastle, seperti yang mereka lakukan ke atas Everton dan menang 2-0.
Meskipun begitu, Tottenham juga tidak terlepas daripada masalah kecederaan.
Penyerang asal Brazil, Richarlison juga mengalami kecederaan menyusuli kemenangan ke atas bekas pasukan yang pernah disertainya sebelum ini, Everton.
Sehinggakan beliau dikatakan mungkin juga akan terlepas sertai Piala Dunia yang bakal menjelang.
Meskipun begitu pengurus Tottenham, Antonio Conte, meredakan kebimbangan itu sambil berkata bahawa Richarlison, yang mempunyai 17 gol daripada 38 penampilannya dengan Brazil, akan pulih sebelum Piala Dunia bermula 20 November depan.
"Pemain ini tidak menghadapi risiko tidak dapat bermain dalam Piala Dunia, kelak.
"Kecederaannya tidak begitu serius seperti yang dijangkakan. Saya gembira di atas berita itu," katanya kepada pemberita.
Seorang lagi pemain yang membantu serangan Tottenham, Dejan Kulusevski, yang berasal dari Sweden, yang tidak bermain sejak bulan lalu menyusuli masalah kecederaan juga, hampir kembali ke tahap kecedergasannya.
"Pasukan perubatan kini sedang bekerja untuk memulihkannya tapi pada masa yang sama kita perlu tidak terburu-buru.
"Kadang kala jika dilakukan sedemikian, ia boleh memburukkan keadaan," tambah pengurus asal Italy itu.
Conte telah membantu mengubah nasib Tottenham sejak mengambil alih memimpin pasukan itu kurang setahun lalu, dengan kontraknya tamat pada akhir musim ini.
Hasilnya musim ini Tottenham beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah.
Tottenham mempunyai pilihan untuk melanjutkan kontrak dengan Conte buat tempoh lagi setahun, namun Conte berkata tumpuan utamanya adalah tempoh berlangsungnya Piala Dunia.
"Perkara paling penting adalah untuk membuat persiapan bagi setiap perlawanan itu dengan baik.
"Saya akan cuba berbincang dengan pihak kelab dan kami akan cuba dapatkan huraian terbaik buat semua orang," katanya.
Malah terdapat desas-desus yang mengaitkan Conte dengan bekas pasukan pimpinannya, Juventus.
Ini meskipun Tottenham mula membuka tirai musim baru Liga Perdana England (EPL) dengan bergaya - hanya satu kekalahan sejauh ini dan hanya tiga mata di belakang pendahulu liga buat masa ini, Arsenal.
Ditanya baru-baru ini sekiranya beliau akan melanjutkan kontraknya dengan Tottenham, beliau berkata:
"Saya fikir kontrak ini bukan perkara penting buat masa ini.
"Perkara lebih penting ialah untuk buat persiapan tentang perlawanan liga kami selanjutnya dan kemudian Liga Juara-Juara Eropah menentang Sporting Lisbon.
"Jadi buat masa ini, biarlah kami berikan tumpuan dalam semua perlawanan ini.
"Dan sekali lagi saya ulangi bahawa saya telah berbincang dengan pihak kelab tentang situasi ini dan kami akan cari huraian terbaik buat semua," katanya. - Agensi berita.
NEWCASTLE BERI TENTANGAN HEBAT PADA MAN U
"Dalam separuh masa pertama kami memang bermain baik. Joelinton mempunyai dua peluang tetapi kededuanya terkena tiang gol dan kami juga sepatutnya mendapat penalti selepas Callum Wilson dikasari. Dalam separuh masa kedua, kami agak hilang tumpuan jadi saya agak berterima kasih selepas wisel penamat ditiupkan.'' - Pengurus Newcastle, Eddie Howe.
BINTANG YANG CEDERA DAN DIJANGKA TIDAK BERAKSI
"Pemain ini (Richarlison, kiri) ) tidak menghadapi risiko tidak dapat bermain dalam Piala Dunia, kelak. Kecederaannya tidak begitu serius seperti yang dijangkakan. Saya gembira di atas berita itu. - Pengurus Spurs, Antonio Conte.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg