Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

LIGA PERDANA ENGLAND

West Ham yakin, Liverpool mahu tebus kekecewaan minggu lalu

Nov 07, 2021 | 05:30 AM



LONDON: Di tangga ke-empat dengan 20 mata, hanya lima mata di belakang pendahulu liga, Chelsea. West Ham membuktikan bahawa kecemerlangan mereka musim lalu bukanlah kerana nasib.



Pasukan pimpinan David Moyes itu merupakan antara pasukan paling menarik dalam Liga Perdana England dengan 20 jaringan sejauh ini - yang hanya diatasi Liverpool dan Chelsea.



Pada masa yang sama, pasukan bergelar Hammers itu juga antara paling agresif degan statistik menunjukkan kadar tackle yang dimenangi melebihi 50 peratus.



"Chelsea, Liverpool dan Manchester City memang hebat, tapi bagi saya paling menyerlah ialah David Moyes dan West Ham," kata legenda Arsenal, Paul Merson.



"Bagi saya, dengan sumber yang mereka ada, Moyes dan para pemain West Ham telah menunjukkan prestasi yang sungguh cemerlang dan saya harap mereka akan mencapai kejayaan menakjubkan musim ini kerana para penyokong kelab tersohor ini wajar menikmati kejayaan," tambah beliau.



Meskipun akur, kelab tersebut beroperasi dengan sumber yang terhad berbanding kelab-kelab lain, namun bekas penyerang Blackburn dan Chelsea, Chris Sutton, menekankan West Ham mempunyai barisan pemain yang baik.



Malah, menurut beliau, pemain seperti Declan Rice, Michail Antonio, Jarrod Bowen dan Tomas Soucek adalah pemain bertaraf dunia.



"Mereka tidak menerima pengiktirafan sewajarnya kerana mereka bermain untuk kelab seperti West Ham...tapi selepas persembahan yang mereka tunjukkan musim ini dan musim lalu, tidak lama lagi para pemain ini akan mendapat pengiktirafan sewajarnya," ujar beliau.



Lantaran itulah, perlawanan mereka menentang Liverpool malam ini (12.30 tengah malam), begitu menarik, kata Merson.



"Jika dahulu, perbincangan kita ialah bagaimana Moyes akan cuba memastikan pasukannya dapat menyekat Liverpool, namun sekarang saya rasa Moyes akan menggesa pemainnya itu menyerang Liverpool.



"Mengapa tidak? Mereka bermain di padang sendiri dan berdasarkan 'form' mereka, West Ham mampu menyaingi Livepool, saya yakin," ujar beliau lagi.



Moyes juga turut yakin dengan keupayaan anak didiknya dan melahirkan rasa "amat gembira" dengan kemajuan yang telah ditunjukkan West Ham sejak dua musim lalu.



"Persembahan kami mungkin memeranjatkan sesetengah orang tapi bagi saya ia adalah sesuatu yang sudah dijangka.



"Kami menunjukkan peningkatan dari satu permainan ke permainan seterusnya, dari satu musim ke musim seterusnya. Dan itu yang perlu ditekankan dan difahamkan para pemain.



"Iaitu kami hanya sebaik persembahan dalam perlawanan sebelumnya. Mudah," ujar beliau.



Namun, pengurus asal Scotland itu yang pernah memimpin Everton, Manchester United dan Real Sociedad, akur bahawa Liverpool bakal mempersembahkan cabaran yang besar bagi pasukannya.



"Tapi ia juga merupakan peluang terbaik untuk para pemain membuktikan diri. Jika kami mahu menjadi antara pasukan unggul di England, kami harus melihat cabaran seperti ini dengan keghairahan dan seronok untuk menanganinya," tambah beliau.



Sedang West Ham yakin, Liverpool juga sama yakin setelah kekal sebagai satu-satunya pasukan dalam liga dengan rekod tanpa kalah.



Anak buah Jurgen Klopp yang menduduki tempat kedua liga, menunjukkan tahap persembahan yang sama seperti musim di mana mereka menjulang kejuaraan liga pada 2020.



Di benteng pertahanan, Virgil van Dijk, menunjukkan mengapa beliau adalah antara pemain pertahanan terbaik dunia, dan kecederaanya musim lalu adalah sebab utama Liverpool agak mengecewakan.



Di bahagian midfield pula, Naby Keïta dan Fabinho, merupakan tunggak penting yang menjadi tulang belakang bagi penyerang Liverpool untuk menyerlah.



Dan barisan penyerang Jurgen Klopp - Firminho, Sadio Mané dan terutama Mohamad Salah - amat menyerlah musim ini.



"Liverpool mempunyai barisan penyerang yang bagi saya adalah antara yang terbaik di Eropah ketika ini, dan dalam Mohamad Salah mereka mempunyai penyerang terbaik, pada pendapat saya," kata bekas penyerang Liverpool, Michael Owen.



"Saya tidak rasa mereka gentar dengan apa juga benteng pertahanan kerana antara ketiga-tiga mereka, setiap satu mempunyai ciri-ciri unik tersendiri bagi memporak-perandakan pertahanan mana-mana pasukan," ujar beliau.



Bersetuju, Sutton berkata bahagian pertahanan ialah posisi kelemahan West Ham dan jika Hammers bermain secara terbuka - cara yang telah mendukung kejayaan mereka sejauh ini - Liverpool dapat mengambil kesempatan.



"Gerakan ketiga-tiga mereka adalah sesuatu yang begitu menakjubkan bagi saya. Mereka jarang sekali statik di satu-satu posisi. Salah, Mane dan Firminho sentiasa bergerak, sentiasa mencari ruang.



"Jadi ini membingungkan pasukan lawan, dan jika West Ham tidak berhati-hati dan mengunci setiap ruang kosong, mereka akan dihukum Liverpool," kata beliau.



Akur dengan kekuatan pasukannya di barisan serangan, pengurus Liverpool Juergen Klopp berkata beliau mahu melihat pasukannya terus memperkukuh kedudukan mereka di persada liga dan meletakkan tekanan ke atas pasukan di tangga teratas, Chelsea.



"Liga ini terlalu kompetitif. Jika kami bercita-cita untuk terus bersaing, setiap perlawanan itu sama penting.



"Kami tidak mampu leka buat sesaat sekalipun. Kami telah melihat bagaimana Brighton berjaya bangkit dari dua gol untuk seri di Anfield.



"Lantaran itu, kita tidak boleh leka," tegas beliau.



Keputusan seri 2-2 minggu lalu di Anfield itu, kata Owen, hanya akan membakar semangat Liverpool untuk meletakkan keadaan kembali seperti sedia kala dalam perlawanan menentang West Ham.



"Satu keputusan seri, kemudian satu lagi keputusan seri, atau lebih buruk lagi tewas, akan ada kesan kepada semangat dan keyakinan pemain.



"Dan dalam liga yang amat kompetitif, dua atau tiga keputusan yang tidak baik akan melihat kelab itu terus ketinggalan. Saya tidak rasa Liverpool mahu membiarkan keadaan seperti itu daripada berlaku," ujarnya lagi. - Agensi berita.




"Persembahan kami mungkin memeranjatkan sesetengah orang tapi bagi saya ia adalah sesuatu yang sudah dijangka.

Kami menunjukkan peningkatan dari satu permainan ke permainan seterusnya, dari satu musim ke musim seterusnya. Dan itu yang perlu ditekankan dan difahamkan para pemain.

Iaitu kami hanya sebaik persembahan dalam perlawanan sebelumnya. Mudah."

- David Moyes pengurus West Ham.




"Liga ini terlalu kompetitif. Jika kami bercita-cita untuk terus bersaing, setiap perlawanan itu sama penting.

Kami tidak mampu leka buat sesaat sekalipun. Kami telah melihat bagaimana Brighton berjaya bangkit dari dua gol untuk seri di Anfield.
Lantaran itu, kita tidak boleh leka.''

- Juergen Klopp pengurus Liverpool.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >