SELEPAS terpaksa ditunda dua kali disebabkan Covid-19, Liga Super Bola Jaring (NSL) tahun ini akan terus ditunda untuk tempoh tidak tentu, menurut ketua eksekutif Bola Jaring Singapura, Cyrus Medora semalam.
Liga itu awalnya dijadual bermula pertengahan Januari, sebelum Bola Jaring Singapura memutuskan untuk menundakannya selama sebulan, dan kemudian ditunda lagi sehingga 15 Mei.
Langkah-langkah keselamatan Covid-19 kini hanya membolehkan maksimum lapan orang di padang, dan ini bermakna perlawanan tujuh sepasukan NSL tidak boleh dilangsungkan.
Namun, menurut Medora jika Piala Negara-Negara 2021, yang dijadual berlangsung Disember ini tidak boleh diteruskan, persatuan sukan nasional mungkin akan mempertimbang untuk menganjurkan NSL pada September atau Oktober dengan pengesahan pihak berkuasa.
Keputusan itu akan diambil awal Jun nanti.
"Memang sukar tapi saya harap acara domestik boleh dimulakan kerana kes dalam masyarakat sekarang memang rendah dan kita perlu yakin dapat menganjurkannya dalam persekitaran yang terkawal," katanya.
Liga Negara-Negara 3v3 dianjurkan untuk memberi pemain peluang untuk beraksi dalam perlawanan, dan Mannas 2 telah digelar juara Divisyen 1 setelah menewaskan Sneakers Ace 15-12 di Pusat Bola Jaring Kallang malam kelmarin.
Divisyen 1 dan 2, yang bermula pada 23 Februari, dikhaskan untuk pasukan NSL dan kelab yang diundang.
Divisyen 3 hingga 8 adalah untuk kelab lain mulai 5 April.
Format perlawanan 3v3 ini dimainkan di dua pertiga padang bola jaring dan dimainkan dalam dua bahagian yang berlangsung selama 10 minit setiap satu.