Topik diikuti
Pergi ke BHkuLion City Sailors juara Liga Perdana S'pura 2021
Lion City Sailors juara Liga Perdana S'pura 2021
LION City Sailors mencipta sejarah sebagai kelab swasta pertama untuk mengangkat trofi kejuaraan Liga Perdana Singapura (SPL) selepas menang 4-1 ke atas Balestier Khalsa di padang sendiri Stadium Jalan Besar malam ini (10 Oktober).
Ini setelah pencabar utamanya, Albirex Niigata, hanya mampu seri 4-4 menentang Tanjong Pagar United di Stadium Jurong East.
Sebelum perlawanan penutup liga malam ini, Sailors dan Albirex terikat pada 45 mata selepas 20 perlawanan, dengan Sailors mendahului liga disebabkan perbezaan gol.
Sailors mempunyai kelebihan empat gol. Justeru, The Swans (gelaran Albirex) harus menang perlawanan mereka dan menjaringkan sekurang-kurangnya lima gol atau lebih daripada Sailors.
Sailors, yang dibeli jutawan Forrest Li pada 2020, juga menjadi kelab tempatan pertama untuk dinobat juara liga dalam tujuh tahun.
Warriors FC, yang dilarang Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) bersaing dalam liga sejak lewat 2019 setelah dihimpit masalah kewangan dan undang-undang, merupakan kelab setempat terakhir untuk menjulang trofi kejuaraan satu-satunya liga bola sepak profesional negara.
Kemenangan itu diraih pada 2014.
Sejak itu, liga setempat dijuarai kelab asing, Brunei DPMM FC (2015 dan 2019) dan Albirex (2016, 2017, 2018 dan 2020).
Di Stadium Jalan Besar yang penuh dan riuh dengan sorakan penonton malam ini, Sailors membuka tirai jaringan awal pada minit kelapan menerusi Song Ui-young.
Tendangan percuma Shahdan Sulaiman di luar kotak penalti terkena tiang namun Song bertindak paling cepat untuk membolosi gawang penjaga gol Balestier Zacharial Leong.
Benteng pertahanan Sailors diuji selepas pemain bek tengah Hariss Harun digantikan pemain midfield Adam Swandi, akibat kecederaan, pada minit ke-22.
Gol 'volley' Aidil Johari pada minit ke-31 kemudian menyamakan kedudukan untuk The Tigers (gelaran Balestier).
Gabriel Quak kembali meletakkan Sailors di depan empat minit sebelum waktu rehat. Dua gol dalam babak kedua yang mendebarkan menjamin kejuaraan liga Sailors untuk musim ini.
Pemain berharga jutaan dolar pertama SPL, Diego Lopes meledakkan gol ketiga Sailors dan Quak menyempurnakan hari bersejarah kelab itu dengan gol keduanya malam ini.
Kemenangan Sailors malam ini mengakhiri kemarau kejuaraan liga mereka yang hampir dua dekad.
Home United, yang kemudian dinamakan Lion City Sailors tahun lalu, kali terakhir menjuarai liga pada musim 2003.