LIVERPOOL: Apabila penyerang Liverpool, Mohamed Salah, menjaringkan golnya pada babak-babak akhir dalam perlawanan menentang Wolves, raut wajahnya mendamba seribu harapan bahawa golnya dapat membantu pasukan Anfield itu menjadi juara Liga Perdana England (EPL).
Dengan tinggal hanya enam minit, percubaannya dari jarak dekat memberikan Liverpool kelebihan 2-1 - yang perlu memenangi perlawanannya dan berharap pasukan pendahulu, Manchester City, tewas dalam perlawanan dengan Aston Villa - untuk merampas kejuaraan EPL musim ini.
Malangnya, ia tidak mencukupi, kerana beberapa minit sebelum itu City menjaringkan gol ketiga mereka - untuk mendahului Villa 3-2 - setelah ketinggalan dua gol.
City menang perlawanan tersebut, sekali gus ditabal juara England buat kali keempat dalam lima musim.
Kekecewaan itu jelas dapat dirasakan di Anfield, dengan penyokong pasukan The Reds itu mengikuti setiap perkembangan di Stadium Etihad, dan menyalurkannya kepada para pemain di padang.
Klopp mungkin menekankan kemudian beliau hanya fokus kepada perlawanan pasukannya, namun sukar membayangkan beliau tidak mengetahui apa yang berlaku dalam perlawanan pesaingnya bagi kejuaraan musim 2021-22 itu.
Bagaimanapun, Klopp berkata, pada wisel penamat beliau memberitahu anak buahnya untuk berbangga dengan pencapaian mereka.
Ia bukan detik mengecewakan, tegas beliau.
Mengulas, Klopp berkata:
"Tahniah kepada Manchester City dan Pep Guardiola, semua staf dan pemain-pemain mereka... kami hampir memenangi kejuaraan tetapi malangnya usaha kami tidak mencukupi."
Klopp kemudian berikrar para pemainnya akan melupakan kekecewaan ini untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah, dengan pasukan Real Madrid menanti Liverpool di Paris pada Sabtu ini.
Malah, Klopp menambah kegagalan tipis mereka dalam EPL - hanya satu mata membezakan mereka dari City - akan memberikan pemainnya dorongan untuk menewaskan Real.
"Pastinya, kami akan cuba sedaya upaya," kata Klopp.
"Kegagalan liga hari ini meningkatkan azam kami untuk menang (apabila bertemu Real nanti)," tambahnya. - Agensi berita