Topik diikuti
Pergi ke BHkuLiverpool kembali bersemangat selepas belasah Rangers
Bekalan baik sebelum turun menentang Man City dalam EPL hujung minggu ini: Klopp
Liverpool kembali bersemangat selepas belasah Rangers
LONDON: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp, berkata kemenangan besar ke atas Rangers dalam Liga Juara-Juara Eropah dinihari semalam telah mengubah 'mood' pasukannya menjelang perlawanan besar domestik menentang Manchester City pada hujung minggu ini.
Liverpool menerima kunjungan juara bertahan Liga Perdana England (EPL) di Anfield pada Ahad nanti, dengan jurang 13 mata antara kededua pasukan, selepas Liverpool memulakan musim dengan mengecewakan.
"Sebenarnya, jika kami bermain mengikut potensi, kami adalah sebuah pasukan yang benar-benar handal," kata Klopp.
"Tapi malangnya, kami tidak beraksi sebaik yang termampu sejak musim bermula. Namun dalam perlawanan dengan Rangers, kami menunjukkan usaha gigih dan tekad semasa memburu keputusan yang diidamkan.
"Tapi saya akur, keputusan ini, yang diraih di padang lawan, memberi kami bekalan yang baik menjelang perlawanan (dengan City) nanti."
Harapan Liverpool bersaing bagi kejuaraan EPL musim ini tampak tipis terutama selepas The Reds tewas 2-3 kepada pendahulu liga Arsenal minggu lalu dan kini ketinggalan 14 mata untuk berada di tangga ke-10.
Nasib mereka dalam pertandingan Eropah pula berbeza.
Liverpool kini hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk menjamin tempat ke pusingan kalah mati - yang bermakna ia akan mara dari pusingan kumpulan bagi musim keenam berturut-turut.
Walaupun tewas besar kepada Napoli dalam perlawanan kumpulan pertama, Liverpool telah memenangi tiga perlawanan berturut-turut yang menyusul termasuk ke atas kelab Scotland dinihari semalam.
Namun malam bermula dengan mengecewakan bagi Liverpool, yang sekali lagi dibolosi gol pertama perlawanan pada minit ke-17.
Kegirangan yang dirasakan oleh pemain Rangers dan penyokongnya di Stadium Ibrox namun hanya berkekalan selama tujuh minit sebelum Roberto Firmino menyamakan kedudukan pada minit ke-24.
Pemain asal Brazil itu menggandakan jaringan peribadi pada minit ke-54, sebelum Darwin Nunez menjaringkan gol keempat Liverpool pada minit ke-66.
Menyusuli itu, Mohamad Salah, yang hanya dimasukkan bagi babak kedua permainan menunjukkan ketajamannya di depan gol dengan menjaringkan hatrik dalam masa enam minit bermula minit ke-71.
Pemain muda, Harvey Elliott, melengkapkan jaringan apabila beliau menyambar bola yang lolos dalam petak penalti untuk menjamin kemenangan besar Liverpool.
Dalam pada itu, Tottenham Hotspur juga bangkit selepas ketinggalan untuk menewaskan Eintracht Frankfurt 3-2.
Bintang asal Korea Selatan, Son Heung-min, menjaringkan dua gol, sementara kapten Harry Kane menjaringkan gol menerusi tendangan penalti.
Frankfurt, yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain dari minit ke-59 apabila Silva Melo dilayangkan kad kuning kedua, berjaya merapatkan jurang pada minit ke-87 menerusi jaringan Faride Alidou, tetapi tidak berdaya menyamakan kedudukan.
Malah, Kane boleh melebar semula jurang dalam masa kecederaan, tetapi sepakan penaltinya tersasar.
Bercakap kepada wartawan di akhir perlawanan, pengurus Spurs, Antonio Conte, berkata pemainnya telah berjuang bermati-matian dan berharap pasukannya boleh beraksi sebegini dalam setiap perlawanan.
Kemenangan itu bermakna Spurs kini mendahului Kumpulan D dengan tujuh mata daripada empat perlawanan.
Kemenangan ke atas Sporting Lisbon - yang kini mempunyai jumlah mata yang sama dengannya - dalam perlawanan minggu depan boleh menjamin tempat Spurs ke pusingan kalah mati. - Agensi berita.