Liverpool perlu kalahkan Chelsea bagi kembalikan keyakinan

LONDON: Sebulan lalu, Liverpool dilihat sebagai pesaing terdekat pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea.

Awal pagi esok (4 pagi 1 Feb waktu Singapura), Liverpool berhadapan pasukan Antonio Conte itu di Anfield dalam keadaan mereka di ambang keruntuhan.

Walaupun penuh bertenaga sedang 2016 hampir menutup tirainya, Liverpool seolah-olah tidak bermaya pada permulaan 2017.

Ia hanya menang sekali dalam lapan perlawanan terakhirnya, itu pun dalam perlawanan ulangan Piala FA menentang pasukan kerdil divisyen empat Plymouth Argyle.

Minggu lalu, ia tersingkir daripada dua kejuaraan dalam empat hari - Piala Liga dalam perlawanan separuh akhir melawan Southampton dan diikuti kekalahan memalukan di tempat sendiri kepada pasukan peringkat kedua Wolverhampton Wanderers pada pusingan keempat Piala FA.

"Kami bercakap mengenai keyakinan beberapa bulan lalu dan saya berkata ia ibarat sekuntum bunga kecil. Jika sesuatu melantun di atasnya, maka ia akan jatuh," kata pengurus Liverpool Jurgen Klopp.

"Jelas sekali itu berlaku, tetapi bukanlah kami tiada keyakinan. Saya dapat melihat banyak detik di mana kami benar-benar masih yakin pada kemahiran kami.

"Ada orang bertanya saya beberapa saat lalu apakah ini titik paling rendah sepanjang tempoh saya di Liverpool. Saya tidak tahu. Tetapi jika benar demikian, ia titik paling sesuai untuk bangkit kerana tidak mungkin kami jatuh lebih rendah," kata Klopp.

Selepas kemenangan 1-0 Liverpool ke atas Manchester City pada malam Tahun Baru, Klopp berkata Chelsea mesti "jengkel" melihat pasukannya masih boleh kelihatan dalam cermin depan mereka walaupun setelah rentetan 13 kemenangan berturut-turut mereka.

Tetapi selepas sebulan berlalu, jurang antara dua kelab itu meluas daripada enam kepada 10 mata dan Liverpool tergelincir dari tempat kedua ke tangga keempat EPL, dan dilanda sedikit kebimbangan mereka mungkin tergelincir daripada saingan empat tempat teratas.

Kekalahan kepada Chelsea awal pagi esok akan menjadikannya empat kekalahan di padang sendiri berturut-turut, sesuatu yang tidak pernah dilihat di Merseyside sejak 1923.

Chelsea, sebaliknya, adalah pasukan berbeza daripada yang dikalahkan 2-1 oleh Liverpool pada September lalu.

Kelab barat London itu memenangi 15 daripada 16 perlawanan liga sejak Conte menggantikan Jose Mourinho sebagai pengurus.

Namun, Conte percaya Liverpool tetap merupakan musuh berbahaya.

"Setiap kali mereka bermain di Anfield, amat sukar untuk pasukan lain. Kami tahu keadaan seperti itu dan pasti akan memberinya perhatian besar. Selepas tiga kekalahan, sesebuah pasukan itu menjadi sangat berbahaya," katanya. - AFP, Reuters