Topik diikuti
Pergi ke BHkuLoh jadi warga S’pura pertama ke final badminton
Loh jadi warga S’pura pertama ke final badminton
NAGOYA (Jepun): Perjalanan bersejarah Loh Kean Yew di Sukan Asia berterusan apabila beliau menjadi warga Singapura pertama mara ke final badminton pada temasya itu selepas menewaskan pemain Korea Selatan, Yoo Tae-bin, 21-19, 19-21, 21-12 dalam separuh akhir perseorangan lelaki pada 28 September.
Pada 29 September, Loh, 29 tahun, akan berdepan pemain nombor dua dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn, yang sebelum ini menewaskan pemain Indonesia, Alwi Farhan, 21-13, 21-15, di Gymnasium Ichinomiya City Municipal,
Sebelum ini dalam saingan tersebut, Loh menewaskan pilihan kelapan dan pemain nombor 14 dunia dari India, Lakshya Sen; pemain Malaysia yang berada di ranking ke-48 dunia, Justin Hoh; serta pemain nombor satu dunia dari Indonesia, Jonatan Christie.
Berdepan Yoo yang setinggi 1.86 meter dan 11 sentimeter lebih tinggi daripadanya, Loh tidak boleh memandang rendah lawannya itu. Yoo hanya berjaya menembusi kelompok 100 pemain terbaik dunia selepas September 2025.
Pada pusingan terdahulu, pemain sensasi Korea itu, yang kini berada di kedudukan ke-46 dunia, sebelum ini menewaskan pemain Taiwan, Lin Chun-yi (No. 11), pemain nombor enam dunia dari China, Shi Yuqi, dan pemain Jepun, Kodai Naraoka (No. 7).
Loh bermain dengan tenang sambil mencari ruang untuk melakukan serangan balas terhadap pukulan deras lawannya serta menangkis beberapa percubaan menyelamat yang mengagumkan, sebelum akhirnya meraih kemenangan dan sekurang-kurangnya merangkul pingat perak.
Pada penampilan sulungnya di Sukan Asia di China tiga tahun lalu, beliau pulang tanpa sebarang kemenangan selepas mengalami dua kekalahan dalam acara perseorangan lelaki dan berpasukan.
Satu-satunya ketika pasukan Singapura menaiki podium badminton Sukan Asia ialah apabila pasukan wanita memenangi pingat gangsa pada 2006.
Sementara itu, dalam acara perseorangan wanita pula, juara bertahan dan pemain nombor satu dunia dari Korea Selatan, An Se-young, meneruskan prestasi cemerlangnya pada 28 September.
Beliau menewaskan pemain nombor empat dunia dari China, Chen Yufei, 21-5, 21-12 untuk merekodkan kemenangan ke-55 dalam 56 perlawanan – dengan 48 daripadanya diraih secara kemenangan terus (straight game) – pada 2026.
Dalam perlawanan akhir pada 29 September, pemain berusia 24 tahun itu akan bertemu pemain nombor tiga dunia dari Jepun, Akane Yamaguchi, yang menewaskan pemain nombor dua dunia dari China, Wang Zhiyi, 21-11, 22-20 dalam satu lagi separuh akhir.