NAGOYA: Sejarah dalam arena badminton Singapura tetap tercipta meskipun ia tidak berakhir dengan pingat emas apabila pemain di kedudukan ke-13 dunia, Loh Kean Yew, tewas 21-12, 21-16 kepada pemain nombor satu dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn, dalam final perseorangan lelaki Sukan Asia pada 29 September.

Meskipun begitu, Loh boleh berbangga kerana menjadi pemain Singapura pertama yang berjaya melangkah ke pertarungan akhir badminton Sukan Asia.

Kali pertama dan terakhir Singapura meraih pingat badminton dalam temasya itu adalah pada 2006, apabila pasukan wanita memenangi pingat gangsa.

Pertembungan antara Loh dengan Kunlavut turut melakar sejarah kerana ia merupakan kali pertama final perseorangan lelaki Sukan Asia tidak menampilkan wakil dari China mahupun Indonesia.

Sejak acara itu diperkenalkan pada 1962, kedua-dua kuasa besar badminton itu sentiasa membolot gelaran juara perseorangan lelaki, kecuali pada 1970 apabila pemain Malaysia, Punch Gunalan, muncul juara.

Kini, Kunlavut membantu Thailand menjadi negara keempat untuk memenangi acara ini dalam 17 edisi ia dipertandingkan. 

Kempen tanpa kalah beliau berakhir dengan lapan kemenangan berturut-turut merentasi dua acara, selepas turut membantu negaranya meraih gangsa bagi acara berpasukan lelaki.

Sebelum temasya itu bermula, Kunlavut berkata beliau mahu bertemu dengan Loh di final memandangkan mereka merupakan kawan baik dan rakan latihan yang sering meluangkan masa bersama serta makan bersama apabila berkunjung ke negara masing-masing.

Pengetahuan pemain Thailand itu terhadap corak permainan Loh turut terserlah apabila beliau mencatatkan sembilan kemenangan daripada 11 pertemuan lalu menentang pemain Singapura itu.

Namun, pencapaian ini tetap memberi dorongan kepada Loh memandangkan beliau telah menewaskan beberapa nama besar sebelum melangkah ke final.

Loh telah menumpaskan pemain nombor 14 dunia dari India, Lakshya Sen; pemain di kedudukan ke-48 dari Malaysia, Justin Hoh; pemain nombor satu dunia dan juara 2018 dari Indonesia, Jonatan Christie; serta pemain di kedudukan ke-46 dari Korea Selatan, Yoo Tae-bin, berdasarkan kedudukan minggu sebelumnya.

Memandangkan kedudukan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dikemas kini pada setiap Selasa, Loh berdepan situasi agak unik kerana beliau telah bertemu dengan dua pemain berstatus nombor satu dunia – Christie dan Kunlavut – dalam kejohanan yang sama.

Kejayaan pingat perak yang membanggakan ini menambah lagi senarai pencapaian cemerlang Loh dalam kejohanan utama. 

Ini termasuk kejayaan bersejarah memenangi Kejuaraan Dunia 2021, perak (2023) dan gangsa (2025) di Kejuaraan Asia, dua perak (2019 dan 2022) serta satu gangsa (2015) di Sukan SEA, selain mara ke suku akhir Sukan Olimpik 2024.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti