Topic followed successfully
Go to BHkuLow Jun Yu pecah rekod nasional kali ketujuh
Low Jun Yu pecah rekod nasional kali ketujuh
Cipta rekod baru 5.34m, raih emas pada Sukan Universiti Asean di Surabaya
Low Jun Yu pecah rekod nasional kali ketujuh
Dengan kemajuan ketara melompat 24 sentimeter lebih tinggi daripada rekod nasionalnya, atlet lompat galah Singapura, Low Jun Yu, berjaya mengatasi rekodnya sebanyak tujuh kali dalam dua tahun.
Dengan itu, beliau sekali lagi meningkatkan pencapaiannya.
Low sebenarnya berminat pada satu lagi sukan berpalang ketika di bangku sekolah dulu.
Semasa di Menengah 1, beliau, yang ketika itu setinggi 1.4 meter, ingin memilih sukan lompat tinggi sebagai kegiatan kokurikulum (CCA).
Namun, Low diberitahu bahawa beliau tidak cukup tinggi untuk sukan itu.
Walaupun impiannya menyertai kegiatan lompat tinggi tidak tercapai, ia membuka laluan untuk Low menceburi sukan lompat galah di bawah bimbingan jurulatih David Yeo.
Beliau mengambil masa enam tahun untuk menyaingi rakan sebayanya dan menang buat kali pertama di Sukan Sekolah Kebangsaan 2019.
Bahkan, Low, yang kini setinggi 1.79 meter, mencatat kemajuan berterusan sejak itu, dan mencatat rekod nasional pada Julai 2022 dengan lompatan melepasi ketinggian 5.03 meter.
Pada 3 Julai, Low memecah rekod tersebut tiga kali dengan melompat melepasi 5.34 meter untuk meraih emas pada Sukan Universiti Asean (AUG) di Surabaya, Indonesia, lapor The Straits Times.
Beliau menyertai pertandingan itu dengan rekod peribadi terbaik melepasi 5.10 meter yang dicatat pada April.
Idan Fauzan Richsan dari Indonesia meraih perak dengan lompatan melepasi 5.15 meter, manakala atlet, Malaysia Naufal Shahrul Afzam (lima meter) membawa pulang gangsa.
Low, 23 tahun, berkata: “Jurulatih saya berkata ia adalah keputusan yang lama dinantikan. Saya mempunyai siri pertandingan baik sebelum ini dan gembira menjadi pemenang.”
Di Padang Olahraga Universiti Surabaya, Low mengatasi rekod peribadinya dengan lompatan melepasi 5.15 meter.
Beliau kemudian melompat melepasi 5.25 meter dan seterusnya 5.34 meter – masing-masing dalam satu percubaan untuk mendahului pertandingan tiga atlet itu.
Namun, beliau bagaimanapun, tidak berjaya melepasi 5.4 meter.
Ia adalah satu kemajuan besar buat Low.
Pencapaian terbarunya itu lebih tinggi daripada lompatan melepasi 5.2 meter yang membolehkan Kasinpob Chomchanad dari Thailand memenangi pingat perak pada Sukan SEA 2023 di Kemboja.
Ernest John Obiena dari Filipina memenangi pingat emas dalam acara tersebut, dengan rekod 5.65 meter.
Low, mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata kejayaannya disebabkan bimbingan jurulatihnya, Yeo dan pasukan yang menyokongnya.
Rakan sepasukan, Koh Wei Shien, juga menjadi sumber inspirasi penting baginya.
Apabila Koh menyertai pasukan tersebut, beliau berhasrat melompat melepasi 5 meter dalam tiga tahun, satu matlamat yang beliau pada mulanya anggap mustahil dicapai hingga Koh membuat lompatan melepasi 4.91 meter pada Disember 2023.
Malah, Low turut mengatasi rekodnya, iaitu 5.03 meter, dengan melompat tiga sentimeter lebih tinggi.
“Meluangkan masa bersamanya (Koh) membuat saya sedar tiada salahnya bermimpi. Masalahnya ialah tidak berani mengejar mimpi,” ujarnya.
Beliau kini menyasar untuk cuba menempa tempat di Sukan SEA Thailand pada 2025.
Ditanya apakah cita-citanya, Low menjawab: “Meningkatkan standard lompat galah Singapura supaya generasi akan datang akan lebih berjaya daripada saya.”
Pengurus besar SA, Shalindran Sathiyanesan, berkata: “Jun Yu telah berkembang secara konsisten sejak memecahkan rekod kebangsaan pertamanya pada 2022, dan prestasinya baru-baru ini, setinggi 5.34 meter, adalah pencapaian yang sangat luar biasa.
“Kami sangat teruja untuk menyaksikan perkembangannya dan komited untuk menyokongnya kerana dia menyasarkan untuk mencapai tahap lebih tinggi pada masa hadapan.”

