LONDON: Penyerang Chelsea, Romelu Lukaku, memohon maaf selepas membuat kenyataan beliau 'tidak gembira' bersama kelab itu di bawah bimbingan Thomas Tuchel.
Sesi temuramah sensasi Belgium itu bersama Sky Sport Italia awal bulan lalu, disiarkan Khamis lalu.
Tuchel kemudian menggugurkan pemain berusia 28 tahun itu yang mengalami kecederaan dan positif Covid-19 musim ini, pada perlawanan bertemu Liverpool.
"Kepada penyokong, saya minta maaf atas rasa kecewa yang saya timbulkan.
"Kini terpulang kepada saya bagi memulihkan kepercayaan anda, dan saya akan melakukan yang terbaik setiap hari untuk menunjukkan komitmen ketika sesi latihan dan pada perlawanan sebenar bagi memastikan kami memenangi perlawanan.
"Kepada pengurus, rakan sepasukan dan pihak pengurusan, saya juga memohon maaf kerana ia berlaku pada masa yang tidak sesuai.
"Saya mahu terus memandang ke depan dan memastikan kami memenangi perlawanan dan saya dapat beraksi pada tahap terbaik," kata Lukaku di laman web Chelsea.
Chelsea membayar £98 juta ($150 juta) kepada bekas penyerang Manchester United itu yang pernah beraksi selama tiga musim di Stamford Bridge dalam awal kerjanya.
Lukaku memberitahu stesen penyiar Italy itu bahawa beliau mahu kembali ke Inter Milan.
"Sesi temuramah itu adalah mahu mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong Inter dan bukannya tidak menghormati penyokong Chelsea, kelab, pemilik kelab, rakan sepasukan dan kakitangan teknikal," katanya.
Lukaku telah menjaringkan tujuh gol dari 18 penampilan sejak beliau menyertai kembali ke skuad Chelsea dari Inter Milan pada Ogos 2021 lalu.
Prestasi beliau telah dihambat dengan beberapa kecederaan serta penyakit Covid-19 sejak kembali ke Stamford Bridge dan kadangkala diketepikan daripada kesebelasan utama meskipun sihat.
Namun, beliau mengalami peningkatan dalam prestasinya baru-baru ini.
Lukaku telah menjaringkan gol dalam dua perlawanan Liga Perdana England sebelum ini selepas perbincangan mengenai peranannya di kelab itu.
Tuchel berkata Lukaku "sedar dengan apa yang telah beliau lakukan" sambil menambah penyerang itu "rasa berkewajipan untuk memulihkan keadaan".
"Beliau masih pemain kami dan kami mempunyai alasan baik bagi beliau untuk bermain bersama kami dan meyakinkannya untuk bekerja lebih keras," jelas Tuchel. - Agensi berita.