DOHA: MaghribI mungkin memasuki padang pada dini hari esok tanpa tekanan keterlaluan, berbekal pencapaian luar dugaannya dalam Piala Dunia Qatar ini.
Selepas menewaskan dua bekas juara Eropah Portugal dan Sepanyol - yang juga bekas juara dunia - Maghribi berpeluang menambah satu lagi sejarah dalam buku rekod Piala Dunia apabila ia menentang juara bertahan Perancis di Stadium Al Bayt.
Ia juga menewaskan Belgium - pasukan yang menduduki ranking kedua terbaik di dunia - di peringkat kumpulan.
Perlawanan menentang anak didik Didier Deschamps ujian paling genting bagi pasukan yang mewakili negara benua Afrika tetapi kebanyakan penduduknya orang Arab. Namun, Maghribi telah membuktikan ia boleh mengatasi sebarang cabaran yang dihadapinya.
Walaupun terpaksa bermain tanpa dua pemain azimat - Nayef Aguerd dan Noussair Mazraoui - jurulatih Mahgribi Walid Regragui bukan berjaya menyusun barisan kesebelasan utama yang berupaya bersaing dengan pasukan terbaik dunia sahaja, malah menewaskan Portugal pada suku akhir.
Ia juga boleh menaruh keyakinan pada penjaga gol Yassine Bounou dengan rekod sempurnanya - gawang Mahgribi belum dibolosi pemain lawan sejauh ini. Satu gol yang gagal diselamatkan Yassine ialah gol sendiri jaringan Nayef.
Hakikat Maghribi belum melepaskan sebarang gol dalam empat perlawanan satu petanda menyakinkan dan mungkin menggembirakan penyokongnya.
Sejarah menunjukkan dua pasukan terakhir yang berjaya mengharungi lima perlawanan Piala Dunia tanpa dibolosi gol - Italy pada 2006 dan Sepanyol pada 2010 - akhirnya menjadi juara dunia.
Dalam pada itu, Perancis melangkah ke separuh akhir ini dengan pengetahuan mereka berkeupayaan menjaringkan gol dan menundukkan lawan mereka yang berada 16 tangga di bawah mereka dalam ranking dunia itu.
'Musuh' utama Perancis untuk meraih kemenangan separuh akhir ini mungkin adalah diri mereka sendiri. Mereka harus menolak sebarang sikap sambil lewa atau menganggap kemenangan sudah dalam tangan mereka.
Ini diakui tunggak pertahanan Perancis Raphael Varane, yang berkata pasukannya tidak harus terjerat dengan pemikiran salah terhadap lawan mereka.
"Kami sebagai sebuah pasukan cukup berpengalaman... dan akan mengelakksn sikap terlalu yakin. Maghribi melayakkan diri ke peringkat ini atas kebolehan mereka," kata naib kapten Perancis itu.
"Mereka boleh bertahan dengan baik, tetapi mereka juga boleh melancar serangan balas berbahaya. Kami, sebagai pemain lebih mapan dalam pasukan harus membantu pemain lebih muda membuat persiapan sebaik- baiknya. Kami semua harus bermain bermati-matian kerana ini adalah separuh akhir Piala Dunia dan kami harus membuktikan kami layak mara ke final," ujar Varane lagi.
Pemain bek kanan Jules Kounde setujut. "Saya tidak hairan Mahgribi mara ke separuh akhir ini kerana mereka memang layak ke peringkat ini. Tapi kami yakin dan tahu apa yang perlu kami lakukan," kata beliau.
Sejarah silam tidak menyebelahi Perancis - ia tewas dalam tiga separuh akhir pertama di Piala Dunia yang ditandinginya. Namun sejak 1998, Perancis telah memenangi tiga separuh akhir dan kini ia memburu sejarah baru.
Jika berjaya ke final, Perancis menjadi pasukan Eropah pertama dalam 84 tahun mara ke final Piala Dunia sebagai juara bertahan. Pasukan terakhir Eropah yang mencipta sejarah itu ialah Italy, pada 1934 dan 1938.
Kali ini, senjata utama Perancis dalam memburu gol ialah Kylian Mbappe, penjaring gol terbanyak di Doha dengan lima gol. Ia juga boleh bergantung pada Olivier Giroud, yang telah menjaringkan empat gol.
Perancis akan berharap pemainnya menjaringkan gol awal, untuk memaksa Maghribi keluar dari benteng pertahanan dan mencari gol penyamaan. Jika Perancis gagal menjaringkan gol hingga lewat perlawanan, kelebihan mungkin pada Maghribi, yang hanya perlukan satu serangan balas sempurna dan satu gol untuk ke final idaman.