Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Maghribi punya kelebihan penyokong 'tuan rumah'

Dec 10, 2022 | 05:30 AM



PASUKAN suku akhir Piala Dunia 2022, Maghribi, akan "mempunyai kelebihan sebagai tuan rumah" dalam perlawanan menentang Portugal di Stadium Al Thumama malam ini, meskipun bermain di Qatar, iaitu sebuah negara Timur Tengah.



Maghribi, negara Afrika yang sebahagian besarnya terdiri daripada masyarakat Arab beragama Islam, kini mempunyai ramai "peminat baru" selepas mencatat kejutan menentang juara dunia 2010 Sepanyol dalam aksi 16 pasukan terakhir Selasa lalu.



Ini termasuk warga Singapura, Encik Zamree Mustapha, yang membuat perjalanan ke Doha bagi menyaksikan Piala Dunia.



Encik Zamree, 54 tahun, yang ke sana bersama isteri, tiga anak perempuannya dan seorang rakan, berpeluang menonton dua perlawanan 16 pasukan terakhir - Jepun lawan Croatia dan Maghribi lawan Sepanyol.



Berkongsi pengalamannya bersama Berita Harian, beliau berkata terdapat perbezaan sokongan bagi kedua-dua perlawanan itu.



"Dalam perlawanan Jepun lawan Croatia, peminat di stadium bergilir-gilir menyokong kedua-dua pasukan. Tetapi senjata rahsia Maghribi dalam perlawanan mereka adalah pemain yang ke-12, iaitu peminatnya.



"Seluruh stadium, yang merangkumi warga Arab dan Qatar serta peminat Maghribi, menyokong mereka...Selama 120 minit, seluruh stadium tanpa henti bersorak untuk mereka," ujar penjawat awam itu, yang pergi menonton Piala Dunia buat julung-julung kalinya.



Encik Zamree menambah bahawa pengalaman menonton perlawanan Maghribi juga unik, dengan peminatnya dilihat membaca doa sepanjang perlawanan dan pemain bersujud syukur selepas memenangi perlawanan.



Beliau akan turun padang untuk menyaksikan pertembungan suku akhir Maghribi dengan Portugal, sebelum pulang ke tanah air keesokan hari selepas seminggu di Doha.



"Orang-orang di sini sangat bangga dengan pencapaian Maghribi, satu-satunya negara Islam dan Afrika yang masih bersaing dalam Piala Dunia. Warga Arab bangga melihat Maghribi berjaya ke suku akhir dan begitu juga penyokong dan warga Afrika yang bekerja di sana," tambah beliau.



Seorang lagi warga Singapura yang bertuah menyaksikan kemenangan bersejarah Maghribi ke atas Sepanyol ialah Encik Hamdan Kasimi, 63 tahun.



"Setiap perlawanan yang membabitkan pasukan Afrika atau Arab memang selalu mendapat sokongan peminat yang fanatik," kata beliau, yang menubuhkan sebuah syarikat reka bentuk dalaman di Doha dan telah menetap di sana sejak 2010.



"Suasana kemenangan mereka disambut dengan kereta membawa bendera Maghribi dan bangunan pencakar langit mempamerkan bendera mereka melalui lampu LED. Sungguh meriah.



"Dengan Piala Dunia 2022 dimainkan di tanah negara Islam, semangat perjuangan daripada pemain ke penonton lebih ketara," kongsinya.



Encik Hamdan, yang sudah menonton enam perlawanan Piala Dunia di stadium, berharap Maghribi berjaya mara ke peringkat seterusnya "supaya demam bola sepak di Qatar ini tidak henti sehingga ke perlawanan akhir".



Warga Singapura, Dr Ameen Talib, Ketua Projek Gunaan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), juga berada di Qatar untuk merasakan kehangatan Piala Dunia.



Beliau terlepas mendapat tiket ke stadium bagi perlawanan Maghribi menentang Sepanyol namun turut tumpang rasa bangga terhadap pencapaian negara Afrika itu.



"Saya benar-benar menangis kegembiraan semasa penentuan sepakan penalti Maghribi dengan Sepanyol. Saya menonton perlawanan itu dengan warga Maghribi dan berasa sangat gembira untuk mereka...Seluruh Doha menjadi warga Maghribi," ujar beliau yang sudah menyaksikan tiga perlawanan pusingan 16 pasukan terakhir.



Dr Ameen, yang akan menonton perlawanan akhir dan penentuan tempat ketiga/keempat, menaruh harapan tinggi untuk Maghribi mara ke separuh akhir.



"Saya mahu melihat Maghribi bermain di stadium kelak supaya saya boleh mengucapkan terima kasih kepada mereka untuk perjalanan indah ini," katanya lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >