Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maguire yakin United boleh rangkul 'trofi'

Dec 25, 2020 | 5:30 AM
CAVANI BERBISA: Edinson Cavani (tengah) menjaringkan gol pertama bagi Manchester United sewaktu aksi suku akhir Piala Liga di Goodison Park. - Foto-foto EPA-EFE
CAVANI BERBISA: Edinson Cavani (tengah) menjaringkan gol pertama bagi Manchester United sewaktu aksi suku akhir Piala Liga di Goodison Park. - Foto-foto EPA-EFE -

LONDON: Kapten Harry Maguire berkata Manchester United "harus mula menjulang trofi" susulan kejayaan mereka menempah tempat ke pusingan separuh akhir Piala Liga selepas melakarkan kemenangan 2-0 ke atas Everton awal pagi semalam.

Kali terakhir pasukan itu menjulang trofi domestik adalah pada 2017 apabila mereka digelar juara Piala Liga. Mereka juga berjaya memenangi Liga Europa pada tahun itu.

United yang bakal bertemu musuh tradisi, Manchester City di pusingan seterusnya, menguasai permainan dalam aksi suku akhir di Goodison Park namun terpaksa menunggu hingga minit ke-88 untuk memecah kebuntuan menerusi Edinson Cavani yang menjaringkan gol keempatnya sejak menyertai United pada Oktober lalu.

Penyerang Anthony Martial memastikan kemenangan United dengan menyumbatkan gol kedua dalam waktu kecederaan sekali gus memberi peluang kepada pengurus, Ole Gunnar Solskjaer untuk mendapatkan trofi pertamanya sebagai pengendali kelab itu.

"Kami dijangka untuk memenangi piala," kata Maguire.

"Sangat penting untuk mendapatkan kemenangan dalam perlawanan penting seperti ini tetapi kami harus mula mendapatkan keputusan dan membawa piala pulang ke kelab ini.

"Ia adalah persembahan yang sangat baik dan kami mempunyai tiga atau empat peluang besar. Kami perlu lebih klinikal."

Solskjaer turut memuji pemainnya sambil menyatakan bahawa mereka kini lebih bersemangat untuk mengharungi perlawanan sukar pada musim perayaan nanti.

"Cavani adalah penyerang yang berkualiti. Kami tahu ketika kami bertahan dengan baik kami mempunyai pemain untuk memenangi perlawanan ini," katanya.

"Semangat dalam pasukan baik dan ia memberikan kami dorongan menjelang perayaan Krismas."

Solskjaer, yang memenangi sembilan trofi major sebagai pemain United, mengendali bekas kelabnya sejak tahun 2018 dan tewas dalam tiga aksi separuh akhir musim lalu.

Kekalahan untuk pasukan kendalian Carlo Ancelotti mengakhiri tiga kemenangan berturut-turut yang berjaya menyaksikan mereka menduduki tangga keempat Liga Perdana England (EPL).

Everton gagal memberikan saingan sengit dan membendung ketangkasan United pada minit terakhir perlawanan.

Ancelotti berkata: "Kami kecewa kerana ini merupakan pertandingan penting bagi kami. Kami tidak menyesal kerana pasukan ini telah memberikan persembahan yang baik.

"Kami mempunyai permulaan yang sukar tetapi setelah 20 minit, kami mampu mengawal perlawanan.

"Pada separuh masa kedua, kami tidak memberikan peluang untuk pasukan yang agak kuat. Kami tampil bertahan hingga ke akhir perlawanan, kami hampir membawanya ke penalti penentuan. Bagaimanapun kami tidak kesal." - AFP, Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg