Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mahrez tunjuk tajam bantu City menang besar, Minamino jadi wira Liverpool

Watford dan Everton tersingkir dari pertandingan selepas dikejutkan pasukan dari divisyen lebih bawah
Sep 23, 2021 | 5:30 AM
TUNJUK HEBAT: Riyad Mahrez (dua dari kanan) menjaringkan dua gol untuk membantu City bangkit selepas ketinggalan semasa kemenangan besar pasukannya 6-1 ke atas Wycombe. - Foto REUTERS
TUNJUK HEBAT: Riyad Mahrez (dua dari kanan) menjaringkan dua gol untuk membantu City bangkit selepas ketinggalan semasa kemenangan besar pasukannya 6-1 ke atas Wycombe. - Foto REUTERS -

MANCHESTER: Juara bertahan Manchester City membelasah Wycombe 6-1 sementara Liverpool menewaskan Norwich 3-0 kelmarin, untuk melangkah ke suku akhir Piala Liga.

Namun beberapa kelab Liga Perdana England (EPL) yang lain seperti Watford dan Everton pula mengalami kekalahan mengejut di tangan pasukan dari divisyen lebih rendah.

Watford tewas 1-3 kepada Stoke yang beraksi dalam divisyen Championship, sementara Everton kecundangn 7-9 kepada Queens Park Rangers (QPR) melalui tendangan penalti, selepas perlawanan terikat 2-2 di akhir 90 minit.

Namum malam milik Riyad Mahrez yang menjaringkan dua gol untuk membantu City bangkit selepas ketinggalan satu gol kepada Wycombe.

Pasukan Liga Satu itu mendahului perlawanan menerusi jaringan Brandon Hanlan, tetapi Kevin De Bruyne menyamakan kedudukan sekitar tujuh minit selepas itu.

Mahrez menemui sasaran sejurus sebelum waktu rehat, sebelum menggandakan jaringan peribadi selepas separuh kedua bermula.

Gol-gol lain bagi City dijaringkan goleh Phil Foden, Ferran Torres dan Cole Palmer.

Palmer, 19 tahun, berlari dengan bola dari tengah padang untuk menjaringkan gol pertama bagi kelab itu.

Pengurus City Pep Guardiola, yang menurunkan sekurang-kurangnya enam pemain Akademi Man City dalam perlawanan itu - Conrad Egan-Riley, Luke Mbete, Finley Burns, Josh Wilson-Esbrand dan Romeo Lavia - berkata beliau senang hati kerana kelab itu mempunyai ramai pemain muda yang berbakat.

"Kami mempunyai ramai pemain muda... bukan satu, dua sahaja. Dan kini, saya tahu kami boleh bergantung pada mereka. Saya bangga kerana memimpin kelab ini sebagai pengurus," kata Guardiola.

Kerap diletakkan di bangku pemain simpanan, Takumi Minamino, pula menunjukkan keupayaannya apabila diturunkan dalam kesebelasan utama Liverpool kelmarin.

Pemain yang berasal dari Jepun itu memerlukan hanya empat minit untuk membuka tirai jaringan, selepas beliau bergabung baik dengan seorang lagi pemain skuad Divock Origi.

Beliau kemudian menjaringkan gol kedua pada minit ke-80, menyelinap masuk ke petak penalti sebelum meleretkan bola melepasi penjaga gawang Norwich.

Gol kedua Liverpool dijaringkan oleh Origi, yang menanduk masuk hantaran lintang dari Konstantinos Tsimikas, lima minit selepas waktu rehat.

Kededua pengurus Liverpool Juergen Klopp dan Norwich Daniel Farke merombak pasukan masing-masing, dengan Klopp menurunkan tiga pemain muda - Kaide Gordon, Conor Bradley dan Tyler Morton.

"Mereka semua beraksi dengan baik dan saya kagum kerana mereka dapat bertahan sehingga 90 minit," ujar Klopp.

Farke berkata beliau kecewa dengan keputusan itu.

"Kami ingin beraksi lebih baik dalam pertandingan ini dan bersaing bagi trofi, tetapi kini peluang itu telah hangus.

"Saya sedar perkara ini boleh berlaku, tetapi saya terpaksa bertindak bijak dalam memilih pemain kerana kita perlu merehatkan beberapa pemain bagi perlawanan liga."

Dalam pada itu, dua gol oleh Sam Clucas dan Josh Tymon di penghujung perlawanan memberikan kemenangan mengejut 3-1 bagi Stoke City ke atas Watford.

Nick Powell membuka tirai jaringan bagi Stoke dalam separuh masa pertama, sebelum Ashley Fletcher menjaringkan gol penyamaan.

Di akhir perlawanan, pengurus Watford Xisco Munoz berkata nasib tidak menyebelahi pasukannya.

"Perlawanan seperti ini kadang-kala berlaku... Stoke beraksi dengan hampir sempurna tapi kami melepaskan begitu banyak peluang untuk menjaringkan gol," ujar beliau.

Everton juga mengalami nasib yang serupa dengan Watford.

Anak didik Rafael Benitez gagal menyempurnakan beberapa peluang jaringan dan terpaksa berpuas hati mengakhiri 90 minit perlawanan dengan jaringan terikat 1-1 dengan QPR.

Menyusuli itu, tendangan penalti yang diambil kededua pasukan berlanjutan sehingga sudden-death di mana penjaga gawang QPR, Seny Dieng, muncul wira pasukannya, menyelamatkan percubaan Tom Davies.

Jimmy Dune kemudian menyempurnakan sepakan penaltinya bagi menjamin kemenangan QPR. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg