Topik diikuti
Pergi ke BHkuMampukah Singa tiru formula Jepun kejutkan Brazil yang ‘terluka’?
Brazil lebih semangat untuk bangkit selepas kalah dengan Jepun; Vinicius tetap buktikan diri sebagai pemain paling berbahaya di dunia meski pasukan tewas
Mampukah Singa tiru formula Jepun kejutkan Brazil yang ‘terluka’?
Haiwan yang cedera mungkin lebih berbahaya kerana ia didorong oleh nalurinya untuk mempertahankan diri.
Itulah cabaran yang bakal dihadapi skuad Singa apabila mereka menentang Brazil dalam perlawanan Cabaran Mizuho Blue – Siri Bola Sepak Kallang Singapura di Stadium Negara pada 17 November.
Tersentak dengan kekalahan kepada Jepun, Brazil sudah pasti bersemangat untuk bangkit dengan aksi yang lebih meyakinkan.
Ini biarpun mereka terpaksa beraksi tanpa khidmat bintang Barcelona, Raphinha, dan ketua jurulatih, Carlo Ancelotti, yang kedua-duanya digantung perlawanan susulan layangan kad merah dalam aksi menentang Jepun sebelum ini.
Kekalahan tersebut boleh menjadi motivasi tambahan buat Brazil untuk membuktikan keupayaan sebenar mereka, sekali gus menjadikan tugas jurulatih pasukan Singa, Gavin Lee, semakin sukar.
Sekiranya Singa mahu melakar kejutan, mereka boleh mengambil beberapa pengajaran daripada pendekatan Jepun yang berjaya mendedahkan kelemahan Brazil sebelum mencatatkan kemenangan bersejarah 3-2.
Perkara pertama yang perlu dilakukan Singapura ialah untuk menekan Brazil secara terancang dan berdisiplin.
Jepun tidak sekadar mengejar pemain Brazil tanpa arah.
Mereka menggunakan blok pertahanan yang kompak, menutup ruang di bahagian tengah dan memilih masa yang tepat untuk melakukan tekanan.
Apabila Brazil menerima bola, pemain Jepun segera merapatkan ruang, memberikan tekanan dan menutup laluan hantaran mereka sehingga memaksa lawan melakukan kesilapan.
Pendekatan itu membolehkan Jepun mematahkan rentak permainan Brazil dan melancarkan serangan pantas sebelum pertahanan lawan sempat menyusun semula kedudukan.
Namun, tekanan tinggi tidak boleh dilakukan secara bersendirian atau terburu-buru.
Jika seorang pemain Singapura keluar menekan tanpa sokongan rakan sepasukan, Brazil mempunyai mutu individu untuk melepasi tekanan itu dan mengeksploitasi ruang yang ditinggalkan.
Sebaliknya, tekanan perlu dilakukan secara kolektif dengan pemain tengah dan barisan pertahanan bergerak sebagai satu unit.
Serangan balas pantas menjadi kunci seandainya Singa mahu mendapatkan jaringan.
Pemain seperti Farhan Zulkifli, Shawal Anuar, Ryhan Stewart, serta Ilhan Fandi bakal memainkan peranan penting dalam aspek ini, dengan kepantasan serta pergerakan mereka berpotensi mengancam pertahanan Brazil.
Namun serangan balas itu perlu dilakukan dengan pantas dan tepat.
Singa tidak boleh terlalu lama menguasai bola selepas merampasnya kerana Brazil mempunyai keupayaan untuk kembali menyusun pertahanan.
Lebih penting, peluang yang terhidang perlu dimanfaatkan.
Ketika menentang Paraguay, Singapura berjaya menghasilkan gol penyamaan menerusi tandukan Song Ui-young, hasil hantaran Kyoga Nakamura, selain mempunyai beberapa peluang untuk menambah jaringan.
Namun, kegagalan memanfaatkan peluang itu akhirnya memakan diri apabila Paraguay kembali mendahului dan memenangi perlawanan.
Menentang pasukan seperti Brazil, peluang mungkin lebih terhad.
Justeru, Singapura perlu lebih tajam apabila berada di kawasan berbahaya.
Pemain yang perlu diberikan perhatian ialah pemain bintang Real Madrid, Vinicius Junior.
Walaupun Brazil tewas, Vinicius tetap membuktikan mengapa beliau antara pemain paling berbahaya di dunia apabila menyumbatkan dua gol ketika menentang Jepun.
Gol pertamanya hadir menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran Bruno Guimaraes, manakala jaringan kedua memperlihatkan keupayaannya memotong dari sebelah kiri sebelum melepaskan rembatan lencong jarak jauh yang menerjah gawang.
Kedua-dua jaringan itu menjadi peringatan jelas bahawa Singapura tidak boleh memberikan pemain sepertinya ruang dan masa untuk melepaskan rembatan.
Pemain pertahanan perlu memastikan Vinicius tidak mudah menerima bola, manakala pemain tengah perlu memberikan bantuan bagi menghalangnya daripada bergerak ke kawasan kegemarannya di sebelah kiri.
Namun, menumpukan perhatian kepada Vinicius sahaja juga boleh mengundang masalah kerana Brazil mempunyai pemain lain yang mampu menghukum sebarang kelonggaran.
Oleh itu, pertahanan Singa perlu kekal rapat, saling membantu dan tidak mudah tertarik keluar daripada kedudukan masing-masing.
Sudah tentu, meniru taktik Jepun bukan jaminan Singa mampu mengulangi keputusan yang sama. Jurang mutu dan pengalaman antara kedua-dua pasukan masih besar.
Namun, apa yang mampu ditiru adalah semangat perjuangan dan kesediaan untuk bertarung bagi setiap bola.
Dalam bola sepak, apa-apa boleh terjadi – tetapi Singa harus mempamerkan prestasi yang jauh lebih baik dan berjuang melampaui batas kemampuan mereka.