LONDON: Juara Liga Perdana England (EPL), Manchester City, akan berhadapan dengan naib juara Piala Carabao atau Piala Liga musim lalu, Chelsea, dalam pusingan ketiga pertandingan itu di Stadium Etihad.
Itu merupakan satu daripada tujuh perlawanan melibatkan pasukan-pasukan EPL, dengan yang lain termasuk Nottingham Forest menentang Tottenham Hotspur dan Manchester United bertemu Aston Villa.
Juara musim lalu, Liverpool, akan menjadi hos kepada pasukan Liga Satu England, Derby County, sementara dua pasukan dari Liga Dua - Newport County dan Gillingham - masing-masing akan bertandang ke Leicester City dan Brentford.
Arsenal pula akan bertemu Brighton & Hove Albion, Wolverhampton Wanderers menentang Leeds United, Newcastle United bertemu Crystal Palace dan Bournemouth berhadapan Everton.
Brighton yang akan bertemu Arsenal pula menunjukkan taring dengan menundukkan kelab Liga Satu, Forest Green Rovers 3-0 di padang lawan.
Denis Udav yang membuat penampilan sulungnya untuk Brighton, meledakkan gol pembukaan pada minit ke-37.
Steven Alzate menambah jaringan untuk Brighton sejurus sebelum rehat dengan bakat muda, Evan Ferguson, yang baru berusia 17 tahun, melengkapkan kemenangan Brighton dengan gol ketiga di penghujung pertarungan.
Dalam perlawanan lain, Leeds mara ke pusingan ketiga selepas menundukkan kelab Liga Satu, Barnsley, 3-1 di padang sendiri. Luis Sinisterra menjaringkan gol pertama untuk Leeds pada minit ke-21 sebelum Mateusz melebarkan jaringan menerusi tendangan penalti pada minit ke-32.
Mads Andersen berjaya merapatkan jurang bagi Barnsley tiga minit kemudian, namun Klich sekali lagi menunjukkan ketangkasannya dengan tendangan melencong yang cantik pada minit ke-56 bagi kemenangan pasukannya.
Newcastle pula agak bernasib baik selepas ketinggalan satu gol kepada kelab Liga Dua, Tranmere Rovers, untuk bangkit dengan kemenangan 2-1 di padang lawan.
Elliott Nevitt meledakkan gol ke gawang Newcastle pada minit ke-21, sebelum Jamaal Lascelles menyamakan kedudukan buat pasukan pelawat.
Mujur tendangan sudut pemain gantian, Kieran Trippier, ditanduk kemas ke gawang gol Tranmere oleh Chris Wood, pada minit ke-52 bagi memastikan kemengan buat Newcastle yang akan berhadapan dengan Palace dalam pusingan ketiga, kelak. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg