Man City tumbangkan Liverpool di Anfield
LIVERPOOL: Manchester City mengakhiri penantian 18 tahun untuk menewaskan Liverpool di Anfield untuk mengekalkan kedudukannya sebagai pendahulu Liga Perdana England (EPL) semalam.
Kelab itu membelasah Liverpool di Anfield dengan empat gol berbalas satu.
Ini adalah kemenangan pertama Manchester City di Anfield sejak 2003.
Ini juga kali pertama sejak 1963 Liverpool kalah tiga kali berturut-turut dalam aksi liga di Anfield, sekali gus ketinggalan 10 mata di belakang Manchester City.
Empat gol kemenangan Manchester City dicetak oleh Ilkay Gundogan (49', 73'), Raheem Sterling (76') dan Phil Foden (83').
Perlawanan ini dianggap mimpi ngeri kepada The Reds, susulan prestasi buruk ditunjukkan penjaga gol, Alisson Becker.
Manchester City menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-49, menerusi Gundogan.
Begitupun, dua kesilapan Becker yang menghantar bola kepada pemain lawan dalam kotak penalti sendiri mengundang padah apabila Gundogan menjaringkan gol kedua Manchester City pada minit ke-73 sebelum Sterling menambah jaringan ketiga pada minit ke-76.
Foden melengkapkan gol keempat pasukan pelawat yang dijaringkan pada minit ke-83 untuk memberi kekalahan terbesar buat pengurus Liverpool Jurgen Klopp di padang sendiri.
Sementara itu, gol tunggal tuan rumah dijaringkan hasil sepakan penalti oleh Mohamed Salah pada minit ke-63.
Kemenangan ini membolehkan Manchester City mendahului Manchester United dengan kelebihan lima mata.
Klopp mengakui bahawa dua kesilapan Becker telah 'membunuh' Liverpool dan menyebabkan mereka tumpas 1-4 kepada Manchester City dalam aksi Liga Perdana semalam.
Bagaimanapun, beliau enggan menghukum penjaga gol Brazil tersebut kerana dia telah banyak kali 'menyelamatkan nyawa' pasukan sebelum ini.
"Dua gol ini (hasil kesilapan Alisson Becker) telah membunuh perlawanan, semua orang tahu tentang perkara itu.
"Saya bercakap dengannya selepas perlawanan. Alisson amat kecewa dan berkata 'bukan hari ini, bukan hari ini.'
"Saya beritahu dia, kita tidak boleh menentukan bila akan membuat kesilapan kerana tidak pilih untuk buat silap.
"Ia satu kesilapan yang besar tapi tidak mengapa, dia pernah menyelamatkan kami banyak kali dengan persembahan kelas dunia. Hari ini dia membuat silap dan kami kena terima," kata Klopp.
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata:
"Kami melakukannya dengan baik, jadi saya tidak menafikan betapa kami sangat gembira. Untuk datang ke sini dan akhirnya menang, ia sangat penting," kata Guardiola.
"Saya sangat bersyukur dengan pemain saya, tapi ini sudah berlalu. Pada Februari tiada siapa bergelar juara." . - AFP.

