Man U lega, Arsenal kecewa
Peluang Red Devils ke separuh akhir cerah
MADRID: Manchester United mengatasi Granada dengan kemenangan 2-0 dalam saingan pertama suku akhir Liga Europa dengan gol Marcus Rashford dan penalti Bruno Fernandes.
Rashford menjaringkan gol selepas menerima hantaran jauh dari Victor Lindelof pada babak pertama dalam persaingan suku akhir pertama di Los Carmenes sebelum Fernandes menjadikan 2-0 pada minit ke-90 selepas disiku Yan Eteki.
Keputusan itu memberikan kelebihan buat United bagi perlawanan kedua di Old Trafford untuk menamatkan persaingan dengan Granada dan menempah tiket ke separuh akhir bagi berdepan sama ada Ajax atau Roma.
Rashford kini sudah menjaringkan lapan daripada 23 gol United dalam kejohanan ini.
Granada meraikan ulang tahun ke-90 Selasa lalu dan tidak pernah beraksi dalam saingan besar dengan kelab berkenaan yang bergelar juara Liga Perdana 20 kali serta tiga Piala Eropah.
Ini ialah sesuatu yang dianggap seperti cerita dongeng bagi kelab Sepanyol itu yang menamatkan saingan di tangga ke-10 divisyen dua hanya tiga tahun lalu sebelum Diego Martinez membantu mereka layak ke Eropah.
Bagi United, Liga Europa menjadi satu-satunya harapan realistik buat Ole Gunnar Solskjaer menang trofi musim ini dan ketika tempat di kedudukan empat teratas sudah dijamin, beliau boleh memberikan tumpuan sepenuhnya.

