Manchester United kini ditimpa masalah kecederaan di benteng pertahanan dan ini mungkin memudahkan Arsenal menang apabila kededua pasukan itu bertemu pada 12 Mei.
Menurut beberapa laporan media, pemain pertahanan mereka, Harry Maguire, telah disahkan menghadapi masalah kecederaan dan dijangka tidak akan dapat bermain dalam baki permainan Liga Perdana England (EPL).
Pemain antarabangsa England itu kini akan terlepas baki tiga perlawanan menentang Arsenal, Newcastle United dan Brighton.
Namun terdapat juga laporan bahawa Maguire sedang berusaha untuk kembali cergas apabila United bertemu Manchester City dalam final Piala FA pada 25 Mei.
Beliau juga berharap akan terus kembali cergas bagi England, menjelang Euro 2024 yang bermula pada 16 Jun apabila pasukan itu bertemu Serbia.
Kecederaan Maguire itu merupakan satu lagi tamparan buat pengurus United, Erik ten Hag, yang kini ketiadaan para pemain seperti Lisandro Martinez, Victor Lindelof, Raphael Varane dan Willy Kambwala.
Casemiro pula telah dialihkan ke bahagian pertahanan untuk membantu pasukan itu daripada rapuh oleh asakan pasukan lawan, tapi Ten Hag perlu bertindak lebih kreatif dalam hal ini.
Malangnya Casemiro gagal membuktikan kemampuannya memikul tanggungjawab itu ketika United dibelasah teruk 4-0 oleh Crystal Palace pada 7 Mei.
Casemiro yang berperanan di bahagian bek tengah mudah diperdaya oleh para pemain Crystal Palace dalam perlawanan yang berlangsung di Selhurst Park.
Pemain berusia 18 tahun, Louis Jackson, yang bermain di bek tengah, pernah diturunkan ketika United bertemu Burnley dan beliau mungkin seorang pemain yang boleh dianggap sesuai untuk melaksanakan tugas tersebut.
Dalam perlawanan pada 27 April itu, United seri dengan Burnley di Old Trafford.
Tumpuan Ten Hag kini hanya kepada Liga Europa untuk musim akan datang, memandangkan United mungkin tidak lagi berpeluang menduduki empat tempat teratas dalam EPL ( untuk layak ke Liga Juara-Juara).
Beliau juga akan cuba memastikan pasukannya itu dapat menjulang Piala FA apabila bertemu Manchester City kelak.
“Sudah pasti penting kami menduduki empat tangga teratas.
“Namun kami masih mempunyai dua lagi peluang – layak ke Liga Europa dan menang final Piala FA.”
Difahamkan perubahan dalam skuad United boleh dijangkakan dalam musim panas akan datang, sedang syarikat pemilik United, Ineos, berusaha meningkatkan semula pasukan itu ke persada liga.
Belum dapat dipastikan sekiranya Ten Hag akan tetap bersama United. Keputusan itu masih belum dapat dipastikan.
“Kami sedar bahawa kami masih di peringkat lebih rendah daripada yang dijangkakan bagi Manchester United maka kami perlu bekerja keras untuk kembali ke atas,” kata Ten Hag.
Sementara itu Arsenal masih memberikan saingan hebat kepada juara bertahan EPL, Manchester City, buat masa ini.
Arsenal, yang menang 3-0 ke atas Bournemouth pada 4 Mei lalu, kini mempunyai 83 mata daripada 36 perlawanan, sementara City pula mempunyai 82 mata daripada 35 perlawanan.
Ini jauh di hadapan berbanding United yang hanya mengumpul 54 mata daripada 35 perlawanan.
Sudah pasti perlawanan menentang United dianggap paling genting buat Arsenal sekiranya pasukan bimbingan Mikel Arteta itu ingin terus memberi tekanan kepada City dan mengekalkan kedudukan mereka pada masa ini.
Ini meskipun United dilihat sebagai pasukan bukan favorit apabila kededua pasukan itu bertemu.
Prestasi Arsenal ketika ini amat memberangsangkan.
Namun Arteta akan tetap memberi tumpuan kepada bahagian pertahanannya dalam baki perlawanannya termasuk menentang United.
Sejauh ini gawang Arsenal hanya dibolosi 28 kali berbanding United yang melepaskan 51 gol ke gawang mereka.
Sudah pasti jentera pertahanan Arsenal yang mantap dibarisi pemain seperti William Saliba di bahagian bek tengah serta Gabriel yang juga bertindak sebagai bek tengah pasukan tersebut.
Sebuah pasukan itu tidak akan lengkap tanpa penjaga gol yang mampu memastikan bola tidak melepasi gawang mereka dan David Raya sejauh ini telah bermain cemerlang dalam melaksanakan tugas tersebut.
Justeru Arteta dikatakan akan terus memastikan jentera pertahanannya dapat terus menghalang asakan para pemain United yang sudah pasti akan memberi tentangan serta serangan yang bertubi-tubi ke atas Arsenal.
Pernah satu ketika, pengurus legenda pasukan United, Sir Alex Ferguson, menyatakan:
“Serangan akan membantu anda menang perlawanan, tapi bertahan akan memberi anda kejuaraan.”
Mungkin benar kata-katanya itu.
Dan Arteta juga sedar bahawa skuadnya perlu terus mantapkan bahagian pertahanan mereka dalam dua baki perlawanan ini sekiranya mereka berminat menjulang EPL.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg