MANCHESTER: Michael Carrick menegaskan beliau akan “meneruskan tugas seperti biasa” selepas Manchester United tewas 3-0 di padang sendiri kepada Bournemouth pada 25 Oktober.

Namun, kedudukan pengurus itu dilihat semakin goyah susulan keputusan teruk yang mencetuskan kemarahan serta rasa kecewa para penyokong di Old Trafford.

Ketika ditanya sama ada beliau masih mengendalikan skuad The Red Devils itu minggu depan, Carrick tidak memberi sebarang jaminan.

“Pastinya saya akan pikul tanggungjawab ini,” katanya.

“Apa sahaja yang bakal berlaku dari segi keputusan – sama ada kami menang, kalah atau seri – apa sahaja yang terjadi... tanggungjawab itu tetap terletak di bahu saya.”

Diasak pertanyaan mengenai kemungkinan dipecat dalam beberapa hari mendatang, Carrick berkata:

“Saya sangat faham situasi ini. Sejujurnya, saya tidak harapkan apa-apa secara khusus. Saya akan teruskan tugas seperti biasa dan saya sangat sayangkan tempat (kelab) ini.

“Saya sentiasa lakukan apa yang saya rasakan terbaik buat kelab ini, tidak kira apa juga keputusan yang diambil.”

Meskipun Carrick berjaya membawa United bangkit ke tangga ketiga musim lalu selepas menggantikan Ruben Amorim, mereka sekadar mencatat dua kemenangan daripada 12 perlawanan dalam semua kejohanan musim ini.

Kekalahan pada 25 Oktober itu menyaksikan United hanya mengumpul tujuh mata daripada lapan aksi liga, sekali gus berada hanya satu mata di atas zon penyingkiran – rekod terburuk mereka pada peringkat musim sebegini sejak kempen 1986-87.

Sebahagian besar penyokong bersimpati dengan nasib Carrick, sambil melaungkan sorakan “It’s Carrick you know!" pada lewat perlawanan.

Namun, sebaik sahaja pengendali berusia 45 tahun itu meletakkan tangan di dada lalu beredar memasuki terowong stadium selepas tamat perlawanan, laungan sokongan itu bertukar menjadi sorakan cemuhan yang ditujukan kepada barisan pemain.

Cara para penyokong berdepan dengan kekalahan itu hampir sama pedih dengan keputusan di papan mata.

Penyokong Bournemouth berulang kali menyindir Carrick dengan melaungkan sorakan “anda akan dipecat esok pagi”, tatkala ribuan peminat United mula berpusu-pusu meninggalkan stadium sebelum wisel penamat dibunyikan.

Bekas pemain sayap United, Ashley Young, menyifatkan persembahan itu sebagai petanda bahawa barisan pemain tidak lagi mengendahkan arahan pengurus mereka.

“Penyokong tetap berdiri di belakangnya dan memberi sokongan kerana beliau seorang legenda kelab,” kata Young.

“Namun, pemain di atas padang langsung tidak menunjukkan apa-apa. Mereka tidak berlari, tidak kelihatan seperti satu pasukan. Hari ini jelas kelihatan seolah-olah mereka sudah berputus asa.”

Tekanan ke atas Carrick kian memuncak menyusuli keputusannya merehatkan kapten pasukan, Bruno Fernandes, di bangku simpanan hanya empat hari selepas pemain itu secara terbuka mengkritik taktik United susulan kekalahan memalukan 4-1 kepada Como dalam aksi Liga Juara-Juara.

Sebelum perlawanan bermula, Carrick menegaskan bahawa keputusan merehatkan Fernandes itu adalah keputusan “taktikal semata-mata”.

Gol ketiga perlawanan menggambarkan kecelaruan yang melanda pasukan.

Selepas United hilang penguasaan bola, penjaga gol Senne Lammens meluru keluar dari kawasannya namun tersilap percaturan ketika cuba memintas hantaran jauh lawan, sekali gus membolehkan Evanilson melambungkan bola ke dalam gawang yang dibiarkan kosong.

Jaringan itu menjadi gambaran tepat buat aksi hambar United petang itu – kucar-kacir, rapuh, dan mudah dibolosi berikutan kelemahan sendiri.

Carrick kelihatan sebak apabila ditanya mengenai sokongan padu para peminat terhadapnya sejurus perlawanan tamat.

Beliau bagaimanapun menolak andaian bahawa lambaian serta tepukannya bagi penyokong selepas wisel penamat merupakan tanda perpisahan, sambil menegaskan ia “hanyalah tanda penghargaan buat peminat atas sokongan yang mereka berikan kepada saya”.

Pengurus Bournemouth, Marco Rose, turut meluahkan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa rakan sejawatnya tu.

“Saya amat memahami perasaan rakan-rakan saya,” katanya. 

“Kami hanyalah manusia biasa, dan kami sentiasa cuba melakukan tugas kami sebaik mungkin. Hakikatnya, tugas ini tidak mudah buat kami, dan saya faham perasaan Michael.” – Reuters.