MANCHESTER UNITED bangkit setelah ketinggalan satu gol di awal babak kedua bagi menewaskan Preston 3-1 pagi Selasa, bagi menempah temu janji dengan Arsenal di suku akhir Piala FA.

Penyokong Preston menjangka malam milik pasukan Liga Satu itu - divisyen ketiga di England - setelah Scott Laird membuka tirai jaringan pada minit ke-47.

Namun United berjaya memperbaiki permainan selepas Radamel Falcao digantikan dengan Ander Herrera yang memimpin United ke garisan penamat sebagai pemenang.

Herrera menjaring gol penyamaan pada minit ke-65 sebelum Marouane Fellaini memberi kelebihan 2-1 kepada United tujuh minit kemudian melalui percubaan jarak dekat.

Anak didi Louis Van Gaal menjamin kemenangan selepas Wayne Rooney menyempurnakan penalti dalam minit ke-88, setelah beliau dijatuhkan dalam petak penalti.

Beliau akan beradu minda dengan Arsene Wenger setelah kededua gergasi Liga Perdana England itu diundi bertemu di suku akhir Piala FA pada 7 Mac.

Dalam perlawanan suku akhir lain, Liverpol diundi menentang Blackburn Rovers dan Aston Villa bakal menentang West Brom, sementara 'pembunuh gergasi' Bradford bertemu Reading. - AFP, REUTERS