Topik diikuti
Pergi ke BHkuMan Utd sesia kelebihan dua gol, kehilangan Martinez akibat cedera

Man Utd sesia kelebihan dua gol, kehilangan Martinez akibat cedera
MANCHESTER: Dua bekas pemain Manchester United, Paul Scholes dan Peter Schemeichel telah mengecam pasukan yang mensesiakan kelebihan dua gol untuk diikat seri dengan Sevilla dalam perlawanan Liga Europa pada Jumaat.
Scholes, yang dianggap sebagai antara pemain midfield terhebat dalam sejarah kelab itu, berkata keputusan itu boleh diibaratkan satu bencana, sementara Schemeichel berkata United kurang kepimpinan di padang.
Menambah kepada kemuraman di Old Trafford ialah kecederaan serius yang dialami oleh Lisandro Martinez di penghujung perlawanan. United melepaskan dua gol sendiri dalam masa 10 minit terakhir perlawanan walau telah menjaringkan dua gol dalam masa 20 minit pertama perlawanan.
Scholes berkata: "Sevilla tidak memberikan banyak tekanan ke atas United, tetapi pemain United mungkin menjadi terlalu yakin selepas menjaringkan dua gol awal."
Schemeichel pula berkata beliau kurang berpuas hati kerana tiada pemain United yang menyekat dua pemain Sevilla daripada mengangkat Martinez keluar padang selepas beliau mengalami kecederaan pada minit ke-86. Martinez rebah tanpa disentuh sebarang pemain dan dua rakan sepasukannya dalam pasukan nasional Argentina, Gonzalo Montiel dan Marcos Acuna mengangkatnya ke luar padang.
"Mungkin mereka ingin memberi sokongan kepada warga sendiri, tetapi bagi saya, pemain Sevilla berbuat demikian kerana tidak mahu kehilangan memomentum dan kita membiarkan sahaja mereka berbuat demikian.
"Jika ada pemimpin yang kuat di padang, beliau pastinya akan menghentikan perbuatan itu dan meminta supaya pasukan perubatan yang mengangkat Martinez keluar," kata Schemeichel.
Pengurus United Erik ten Hag berkata kecederaan yang dialami Martinez itu tampak serius, tetapi tidak boleh memberikan kata putus sehingga pasukan perubatan membuat penilaian lengkap.
Kehilangan Martinez itu membimbangkan, terutama kerana Raphael Varane juga terpaksa digantikan pada waktu rehat kerana mengalami kecederaan. Perlawanan itu telah bermula dengan 'langkah kanan' bagi United, dengan kemenangan bak dalam tangan selepas Marcel Sabitzer menjaringkan dua gol pada minit ke-14 dan ke-21.
Namun, keputusan Ten Hag untuk mengeluarkan Bruno Fernandes, Jadon Sancho dan Anthony Martial pada minit ke-60 membawa padah kerana ia membolehkan Sevilla menguasai sebahagian besar perlawanan dan membina momentum untuk memburu gol penyamaan.
Menyusuli itu, Tyrell Malacia memperdaya David de Gea di gawang sendiri apabila beliau menyepak masuk hantaran lintang dari Jesus Navas, sebelum Youssef en-Nesyri menanduk bola yang mengena Harry Maguire sebelum melantun ke dalam gawang pada masa kecederaan.
Keputusan ini bermakna United bertandang ke Sevilla bagi perlawanan kedua suku akhir ini tanpa berbekal sebarang kelebihan dan dengan tekanan yang bertambah untuk melangkah ke separuh akhir.
Dalam pada itu, Juventus mengatasi Sporting Lisbon 1-0 dalam suku akhir pertama, sementara Feyenoord turut menikmati kemenangan ke atas Roma dengan jaringan yang sama.
Bayern Leverkusen pula diikat seri oleh Union Saint-Gilloise di tempat sendiri. - Agensi berita